Friday, June 15, 2018

TUAN TUAN PANGKAH PH, LUPUT TERUS GST

Putrajaya, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan akan terus berusaha menunaikan janji-janji manifestonya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sebagai permulaan, pelaksanaan kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) setelah Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum 9 Mei lepas telah membolehkan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Sebab itu kami ingin ucap terima kasih kepada tuan-tuan yang undi PH. Insya-Allah kami akan tunaikan janji. "Yang pertama ialah menghapuskan GST. Tuan-tuan dan puan-puan pangkah sahaja, luput undang-undang zalim. Kali ini kita akan nikmati cara hidup yang lebih selesa," katanya ketika berucap di hadapan tetamu pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya di Seri Perdana di sini, hari ini.

Pemansuhan GST adalah antara manifesto pilihan raya PH dan ia mula dilaksanakan dengan kadar sifar GST sebagai langkah awal penghapusannya sejak 1 Jun lepas.

Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang berkunjung ke majlis rumah terbuka itu.

Pada masa sama, perdana menteri turut meminta maaf kerana hanya sempat bersalam dengan kira-kira 55,000 tetamu sahaja serta meminta mereka yang tidak sempat bersalaman untuk datang lagi bagi giliran mereka tahun hadapan.

Sambil berseloroh beliau berkata, "Saya takut tangan saya lekang (tercabut) tadi. Alhamdulillah masih boleh bersalam.

"TPM (timbalan perdana menteri) akan bersalam menggantikan saya. Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam dan bukan Islam. Hari ini hari kemenangan kerana tuan-tuan dan puan-puan." Seramai 80,000 tetamu telah berkunjung ke majlis itu, yang juga kali pertama diadakan bagi kerajaan pimpinan PH.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment