ALOR SETAR, 1 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menegaskan pihaknya belum terima sebarang cadangan rasmi mengenai pembangunan Projek Bandaraya Baharu Langkawi yang bernilai kira-kira RM30 billion di pulau peranginan itu.
Sehubungan itu Mukhriz berkata pengumuman oleh pemilik pemaju hartanah berkenaan adalah menghairankan kerana projek berkenaan tidak dicadang, dibincang, dipertimbang, apatah lagi diluluskan oleh Kerajaan Negeri pimpinan beliau.
"Saya ingin jelaskan bahawa projek tersebut pernah dicadangkan sewaktu saya memegang jawatan Menteri Besar Kedah kali pertama, di bawah kerajaan Barisan Nasional dahulu. Tan Sri Ting Pek Khiing telah mengemukakan cadangan pembangunan tanah tambak laut bagi membina hartanah yang akan dijual kepada pembeli tempatan dan asing.
"Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak disusuli dengan bayaran deposit yang menepati syarat Kerajaan Negeri bagi projek mega sebesar yang dinyatakan beliau," katanya.
Akhbar hari ini memetik pemaju hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing sebagai mengumumkan bahawa projek itu akan dilancarkan hari ini, merangkumi pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersil dan dermaga kapal di kawasan seluas 81 hektar tanah yang ditebus guna di barat Pulau Langkawi.
No comments:
Post a Comment