Saturday, March 31, 2018

KEHADIRAN RAMAI TIDAK CERMINKAN JUMLAH UNDI

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Pembangkang tidak boleh beranggapan bahawa kehadiran jumlah besar orang ramai dalam sesi ceramah mereka bermaksud memperoleh undi yang banyak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata masalah dengan pembangkang ialah "mereka beranggapan sesuatu yang dikehendaki itu sudah menjadi milik mereka, sedangkan ia belum lagi menjadi kenyataan dan mengambil kira jumlah orang ramai yang hadir dalam ceramah itu sebagai bentuk undi."

Beliau memberikan beberapa contoh untuk membuktikan perkara ini dalam catatan menerusi blog beliau di sskeruak.blogspot.my.

"Di Sanggang pada 2000, jumlah orang ramai yang menghadiri ceramah pembangkang begitu besar dan kesesakan lalulintas adalah sepanjang berbatu-batu sehingga perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas mengenainya. Bagaimanapun, calon PAS kalah dalam pilihan raya kecil itu kepada calon UMNO," kata beliau.

Beliau berkata, perkara yang sama berlaku di Indera Kayangan apabila 30,000 orang hadir pada ceramah PKR dan di sebelah, hanya 300 berada pada majlis yang dihadiri menteri besar ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Tetapi calon PKR kalah kepada MCA," kata beliau dan menambah bahawa baru-baru ini, Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah dua lagi contoh.

Salleh berkata sejak 1990, pembangkang diberitahu bahawa jumlah orang ramai tidak dianggap sebagai undi tetapi mereka tidak pernah mempedulikannya.

"Mungkin sebaik sahaja PRU14 berakhir, dan undi telah dikira, mereka mungkin mula memahaminya," kata beliau.

-- BERNAMA

ORANG MELAYU TAK BOLEH TERIMA DR MAHATHIR YANG SUKA DAP YANG DIBENCINYA SELAMA 50 TAHUN

KEPALA BATAS, 31 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk menghadapi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yakin rakyat terutamanya orang Melyau tidak mudah percaya dengan janji-janji pembangkang termasuk Dr Mahathir yang kini bekerjasama dengan DAP yang dahulu dibencinya. "Selama 50 tahun Tun Dr Mahathir berada dalam arena politik, selama itulah dia benci DAP dan dia tak pernah suka DAP. Tiba-tiba dalam dua tahun ni dia bekerjasama dengan DAP. Jadi, saya tak fikir orang Melayu boleh terima apa yang dibuat Tun Dr Mahathir, " katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan di Bumbung Lima, di sini. Turut hadir Timbalan Menteri Luar yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata projek sekolah pendidikan khas itu di tapak seluas 8.29 hektar dengan kos RM45 juta dijangka siap pada April 2020.

"Selain akademik, sekolah itu turut menawarkan program kemahiran dan teknikal kepada pelajarnya," katanya.

Thursday, March 29, 2018

JANGAN TAKUT DENGAN RUU ANTI BERITA TIDAK BENAR

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Sikap pembangkang yang membantah Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 menggambarkan seolah-olah takut undang-undang itu digunakan ke atas mereka kelak, demikian pendapat seorang anggota Parlimen.

Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini mengakui hairan dengan pendirian pembangkang itu kerana menyifatkan mereka tidak seharusnya khuatir dengan pelaksanaan akta itu sekiranya tidak berniat menyebarkan berita palsu.

"Kita semua melalui proses dan pengalaman, banyak yang berlaku, suami isteri bercerai, majikan pecat pekerja sebab berita palsu, jadi saya hairan kenapa pembangkang rata-rata tidak bersetuju dengan akta ini."

"Kalau tidak bersetuju, bermakna puak pembangkang ini menjadi kilang memproses berita palsu kah? Sebab kalau kita tidak suka menyebar berita palsu kenapa kita takut, orang yang takut terhadap akta ini sebab dia suka menyebar berita palsu," bahasnya.

Bung Mokhtar turut mencadangkan supaya kerajaan memperhalusi rang undang-undang itu termasuk dengan melihat akta seumpamanya yang digubal di Singapura yang menetapkan akaun media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram perlu menggunakan nama sendiri supaya dapat mengesan individu yang membuat penyebaran berita palsu.

Turut membahaskan rang undang-undang sama, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) berkata penyebaran berita palsu perlu diatasi sebaik mungkin kerana ia boleh membuatkan sesebuah negara itu berada dalam keadaan kucar-kacir dan menuju kehancuran

Wednesday, March 28, 2018

BN JUGA BUAT BANTAHAN BUKTI SPR TIDAK MEMIHAK KEPADA KERAJAAN



SEREMBAN, 28 Mac (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN) juga membuat bantahan terhadap kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukan hanya pembangkang yang berbuat demikian, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.




Beliau berkata di Negeri Sembilan, komponen BN iaitu UMNO, MCA dan Gerakan telah membuat bantahan membabitkan kawasan Jeram Padang, Jelai, Gemas, Gemencheh dan Teluk Kemang.




"Di Negeri Sembilan, bantahan oleh UMNO, MCA, Gerakan serta DAP dan PKR, semua mendapat perhatian SPR dan diberikan pertimbangan. Ada bantahan-bantahan tersebut yang dipersetujui dan diperbetulkan semula," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.




Oleh itu, beliau menegaskan dakwaan bahawa kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya akan mendatangkan kebaikan kepada pihak kerajaan sahaja adalah tidak berasas.




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan usul Laporan Kajian Semula Syor Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Tanah Melayu 2018 di Dewan Rakyat.




Sebelum ini, beberapa anggota Parlimen telah menggesa supaya menunda perbahasan laporan itu sehingga semua notis bantahan berhubung perkara itu di mahkamah telah diselesaikan.




Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan negeri memutuskan fasa pertama dasar perluasan kampung menerusi program 'Desa Sutera' bagi pembangunan luar bandar akan dilaksanakan segera.




Katanya terdapat lima kawasan 'Desa Sutera' dan tanah kerajaan di kawasan berkenaan akan dipecahkan menjadi lot untuk diberikan kepada mereka yang layak mengikut kategori seperti miskin, mereka yang tinggal di kawasan itu serta mereka yang belum mempunyai tanah dan rumah.




"Mereka ini akan diberikan tanah lot untuk didirikan rumah supaya mereka boleh mengikuti program-program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan berkenaan. Ini untuk pastikan supaya kawasan luar bandar tidak terus ketinggalan dan sunyi sepi.




"Kawasan 'Desa Sutera' ini adalah kawasan penempatan baharu (kampung tersusun). Mesyuarat Exco hari ini telah meluluskan program tersebut dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) akan melaksanakannya," katanya.




Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata majlis perasmian penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) secara pentadbiran akan diadakan pada 20 April ini manakala pemasyhuran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir dijadualkan pada 1 Jan 2019.




-- BERNAMA

Monday, March 12, 2018

BANTU RAMPAS KEMBALI SEREMBAN DAN NILAI

NILAI, 12 Mac (Bernama) -- Pengundi di Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai diharap dapat membantu Barisan Nasional (BN) merampas kembali kawasan tersebut daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata walaupun sudah dua penggal pengundi di kedua-dua kawasan tersebut tidak bersama dengan BN, namun kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat di kawasan berkenaan.

"Kita tetap berikan apa sahaja kemudahan yang diperlukan kerana segala bentuk kerja yang kita buat adalah demi keselamatan dan kesenangan serta kesejahteraan rakyat di kawasan ini.

"Jadi tuan-tuan kembalilah kepada kerajaan dan menyokong BN, saya tidak pernah minta tolong sama orang tapi ini kali saya minta tuan-tuan bantu saya untuk kita merampas kembali parlimen Seremban dan DUN Nilai," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Dewan Mantin Batu 8 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Abu Ubaidah Redza dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai Datuk Abd Halim Abd Latif.

Sunday, March 11, 2018

KAJI SELIDIK INVOKE BERAT SEBELAH

GEORGE TOWN, 11 Mac (Bernama) --Kaji selidik Invoke Malaysia yang meramalkan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memenangi lima negeri termasuk Kedah, Perak dan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bersifat berat sebelah.

Menegaskan demikian, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kaji selidik itu tidak menyeluruh kerana menyebelahi pembangkang Pakatan Harapan.

"Semua dia punya, 'inclination report' itu menyebelahi kepada satu pihak, hanya menyebelahi kepada Pakatan Harapan sebab (kaji selidik itu) Invoke Malaysia yang buat. Jadi, tak payah pakailah (kaji selidik) Invoke.

"Carilah (kaji selidik) yang lain untuk tengok dia punya analisis berkaitan pilihan raya umum," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Future Kids & My English Parlimen Bukit Gelugor, di sini hari ini.

Invoke Malaysia, badan penyelidik yang diasaskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli, meramalkan bahawa selain memenangi Kedah, Perak, dan Johor dalam pilihan raya itu, PH akan juga memenangi Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasainya sekarang.....

TINDAKAN ROS KEPADA PPBM BUKAN TINDAKAN POLITIK

JELEBU, 11 Mac (Bernama) -- Permintaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meminta Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengemukakan minit mesyuarat parti itu tidak perlu dilihat sebagai tindakan politik.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata permintaan RoS itu adalah kerana terdapat bantahan dan aduan daripada anggota PPBM sendiri.

"Sebahagian besar daripada akta berkaitan pertubuhan dibuat pada zaman (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) sendiri dan malahan UMNO juga pernah diharamkan kerana keputusan-keputusan RoS pada zaman beliau."

"Beliau (Dr Mahathir) tidak mahu campur tangan apakah keputusan yang dibuat RoS sehingga UMNO pernah diharamkan. Sebab itu kita katakan RoS satu badan bebas dan mempunyai kewibawaan sendiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat yang dikeluarkan RoS kepada PPBM yang meminta parti itu mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian, pusat dan perihal penyata kira-kira kewangan parti, Jumaat lepas.

RoS turut memberi tempoh selama sebulan untuk parti itu mengemukakan segala dokumen berkenaan

Saturday, March 10, 2018

PERJUANGAN PPBM BERSIFAT DENDAM PERIBADI

BERA, 10 Mac (Bernama)-- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lebih kepada bersifat dendam dan permusuhan peribadi Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata hal itu dibuktikan dalam ucapan Dr Mahathir sendiri semasa melancarkan manifesto Pakatan Harapan pada Khamis antara lain menyebut tujuan utamanya adalah untuk menumbangkan Najib.

"Perjuangan dia (Dr Mahathir) hanya untuk menumbangkan Najib, itu sahaja perjuangan PPBM, tidak ada langsung agenda parti itu hendak membangunkan masyarakat Bumiputera.

"Tidak ada cerita tentang apa yang hendak dilakukan untuk memajukan orang Melayu termasuk di luar bandar, baik masyarakat Orang Asli mahupun masyarakat Felda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mendi dan Hari Anugerah Kecemerlangan Sebudi di Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Mendi, di sini, hari ini.

FELDA PERTAMA TANAM DURIAN MUSANG KING DI TERENGGANU

KEMAMAN, 10 Mac (Bernama) -- Felda Neram 1 di sini terpilih sebagai Felda pertama di negara ini untuk pelaksanaan projek perintis penanaman durian 'Musang King' fasa pertama dengan sebanyak 600 pokok.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata durian Musang King adalah sumber kekayaan baharu untuk rakyat negara ini memandangkan permintaan luar biasa untuk dieksport kepada negara luar terutama China.

"Hasil perbezaan anggaran pendapatan per hektar yang dijalankan juga mendapati selain Musang King, nanas MD2 dan kelapa juga adalah tanaman yang menjadi sumber kekayaan baharu kepada pengusahanya.

"Projek rintis di Felda Neram 1 ini akan menjadi satu lagi sumber pendapatan peneroka selain kelapa sawit....selain itu projek ini juga akan dilaksanakan di lima lagi tanah rancangan iaitu Felda Neram 2, Felda Cherul 1 & 2, Felda Seberang Tayor, Felda Kerteh 5 dan Felda Kerteh 6 melibatkan keseluruhan kawasan seluas 20 hektar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Perintis Ladang Durian #sumberkekayaanbaharu di Felda Neram 1 di sini hari ini

PH KENA TUNJUK SUMBER KEWANGAN

ARAU, 10 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) perlu mengemukakan fakta mengenai sumber kewangan untuk merealisasikan setiap janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan oleh pakatan pembangkang itu, Khamis lepas.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PH mudah menabur janji-janji manis untuk meraih undi rakyat tanpa mengemukakan fakta jelas bagi menyokong tindakan mereka.

"Setakat sembang sesiapa sahaja pun boleh, janji macam-macam, nak cari duit dari mana?... Sebut apa pun kena ada fakta, kalau tidak bohong la," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 400 jentera Jalinan Rakyat (JR) Parlimen Arau di sini, hari ini.

Katanya, pakatan pembangkang juga dilihat masih gagal melaksanakan pelbagai janji di negeri-negeri yang ditadbir mereka, malah tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat misalnya ketiadaan air dan banjir.

Antara intipati manifesto PH sempena PRU14 ialah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi individu berpendapatan bawah RM4,000

Friday, March 9, 2018

SEMUA AHLI PEMUDA UMNO KENA JADI PEJUANG SIBER

KOTA BELUD, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Said Keruak mahu setiap anggota pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) menjadi 'cyber trooper' atau 'pejuang siber' yang agresif menangkis dakyah pembangkang termasuk penyebaran berita palsu.

Pengerusi BN Kota Belud itu berkata tanggungjawab sebagai pejuang siber sangat penting untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung sebarang isu agar rakyat khususnya pengundi tidak membuat keputusan salah ketika mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Landskap politik hari ini sudah jauh berubah berbanding dahulu di mana kalau dahulu dakyah dan berita palsu cuma disebarkan melalui surat layang tetapi kini sudah beralih kepada telefon pintar melalui media sosial."

"Jadi setiap anda perlu jadi pejuang siber. Lawan dakwah pembangkang bukan tolong pembangkang sebar berita tidak sahih," katanya.

Salleh yang juga bendahari UMNO berkata demikian pada Program Santai Jentera Briged Gempur Pergerakan Pemuda BN kawasan Dewan Undangan Negeri Kadamaian di sini, hari ini.

Katanya sekiranya pejuang siber pemuda BN berjaya menjelaskan segala isu dan menangkis segala tohmahan dan berita palsu, keyakinan rakyat terhadap keupayaan dan kebenaran BN akan meningkat seterusnya rakyat akan memilih atau mengundi calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Salleh, pilihan individu ketika mengundi biasanya disebabkan faktor parti, isu dan persekitaran.

Katanya pengundi yang mengundi disebabkan parti tidak menimbulkan banyak masalah kerana mereka adalah penyokong setia parti namun pengundi yang mengundi disebabkan isu serta pengaruh persekitaran perlu ditangani dengan bijaksana dan berstrategi.

"Sebab itu, jentera-jentera BN perlu memahami dan mengambil kira sebab-sebab pengundi ini. Jawap dan perjelaskan sebarang isu," katanya.

-- BERNAMA

MANIFESTO PH IBARAT JANJI BULAN DAN BINTANG

KAPIT, 9 Mac (Bernama) -- Manifesto Pakatan Harapan bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan semalam disifatkan sebagai 'janji bulan dan bintang' yang tidak realistik.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika menegaskan perkara itu berkata, manifesto berkenaan diyakini tidak dapat ditunai dalam masa yang singkat sebagaimana yang didakwa dapat dilakukan oleh pembangkang.

"Takkan hari ini umum, esok dah laksanakan. Tak mungkin begitu. Biarlah benda yang (nak) kita buat itu benda yang realistik," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mahdzir berkata ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membuat perancangan teliti bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun sebelum melaksanakannya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggembleng tenaga sejak sembilan tahun lalu sebaik sahaja menerajui pentadbiran negara dalam merancang dan melaksanakan pelbagai pembangunan yang dapat dilihat dan dinikmati rakyat pada masa ini.....

Thursday, March 8, 2018

MB NEGERI SEMBILAN NAFI ANJUR PAKEJ HAJI DAN UMRAH

SEREMBAN, 8 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menafikan ada menawarkan skim mengerjakan ibadah haji dan umrah menggunakan logo 'teamtokmat'.

Sebaliknya beliau menegaskan tiada kaitan dengan skim yang menawarkan pakej berharga RM5,000 itu.

"Saya nak menyatakan bahawa saya tidak ada kaitan langsung dengan skim tersebut. Saya tidak pernah memberi kebenaran kepada sesiapa pun untuk menggunakan logo dan perkataan 'teamtokmat' untuk sebarang tujuan seperti memungut derma, menerima sumbangan dan sebarang bentuk skim yang ada unsur perniagaan dan bayaran.

"Saya harap orang ramai berwaspada. Jika perlu keterangan lebih lanjut atau mengesyaki sesuatu yang tidak betul, sila berhubung terus dengan saya atau kakitangan pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad tidak menolak perbuatan itu sengaja dimanipulasi dengan tujuan untuk memburukkan gelombang 'teamtokmat'.

UMNO KELANTAN PERLU PERKASA SUMBANGAN KEPADA PEMBANGUNAN KELANTAN

KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- UMNO Kelantan perlu memperkasa sumbangannya kepada pembangunan negeri itu demi kesejahteraan rakyat, kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata UMNO Kelantan berkeupayaan untuk berbuat demikian kerana mempunyai hubungan yang kuat dengan kerajaan persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN).

"UMNO Kelantan di bawah pimpinan (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan) Datuk Seri Mustapa Mohamed berupaya untuk membangunkan rakyat Kelantan.

"Oleh itu kita patut berganding bahu mencari jalan dengan langkah-langkah yang berkesan untuk menghasilkan cita-cita ini supaya nasib rakyat terbela," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang dipengerusikan oleh Mustapa di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, berkata perpecahan yang berlaku dalam PAS sehingga mewujudkan parti serpihannya Parti Amanah Negara (Amanah) dikhuatiri boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS.

"Kalau PAS sebagai pentadbir menjadi lemah apakah nasib rakyat di Kelantan dan mereka yang sedang merantau di luar negeri ini," katanya.

Beliau menyatakan kesanggupannya untuk terus membantu UMNO Kelantan menghadapi pilihan raya umum ke-14 dan beberapa program untuk menemui rakyat akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

-- BERNAMA

Wednesday, March 7, 2018

PILIH CALON YANG TIDAK MENDATANGKAN MASALAH KEPADA PARTI

SEREMBAN, 7 Mac (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau amat bersetuju dengan langkah yang diambil pucuk pimpinan parti bagi memastikan calon BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merupakan calon yang bersih daripada isu-isu yang boleh mencemarkan nama calon dan parti.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata kriteria ini perlu diambil oleh setiap bahagian dan negeri untuk memastikan seseorang yang dicalonkan untuk disenarai pendek dan dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti, biarlah calon yang tidak mendatangkan masalah kepada parti.

"Seperti mana yang diberitahu bahawa mereka yang dicalonkan mewakili parti akan ditapis dan akan diselidik latar belakang mereka dengan begitu rapi sekali. Langkah ini bagi memastikan calon ini dapat memberi kelebihan kepada parti dan bukan merupakan calon yang mendatangkan masalah dan kita terpaksa pula menepis isu-isu yang bakal digunakan oleh pihak lawan.

"Jika kita membawa calon yang mempunyai masalah dan yang mempunyai latar belakang yang boleh dipergunakan oleh pihak lawan untuk menjatuhkan kita, itu satu langkah yang tidak baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tuesday, March 6, 2018

NAWAWI TIDAK GENTAR HADAPI DR MAHATHIR DI LANGKAWI

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad tidak gentar menghadapi calon Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad jika bekas Perdana Menteri itu bertanding di pulau tersebut.

Katanya, daripada 103 ketua cawangan, beliau sudah kenalpasti hanya tiga orang ketua cawangan yang hardcore menyokong Dr Mahathir.

"Jadi majoriti ketua cawangan masih mahukan anak tempatan sebagai calon mereka dan bukannya orang luar walaupun bekas Presiden Umno itu banyak berjasa kepada Langkawi," katanya dalam pertemuan eksklusif dengan MHOnline di lobi parlimen semalam.

Sehubungan dengan itu beliau yakin BN dapat mempertahankan kerusi Langkawi kerana penduduk Langkawi mengundi berdasarkan jasa BN dan bukannya kerana emosi menyokong Dr Mahathir.

Katanya, Dr Mahathir membangunkan Langkawi ketika menjadi Perdana Menteri dahulu pun kerana BN dan bukannya atas sifat peribadinya.

"Rakyat Langkawi akan rugi jika Dr Mahathir menang kerana perbalahan sesama parti komponen PH tidak memungkinkan PH memerintah negara," katanya lagi.

Sama ada beliau kekal sebagai calon atau tidak, Ir Nanawi serahkan kedudukannya kepada PM dan beliau yakin kekuatan jentera bahagian Langkawi dapat mempertahankan kerusi tersebut.

"Sebaliknya Parti Bersatu di Langkawi tidak ada jentera untuk menghadapi kekuatan jentera Umno Bahagian," tegasnya lagi.


Monday, March 5, 2018

SALLEH ZAHIR PENGHARGAAN AGONG SOKONG RUU BERITA PALSU

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang menyokong cadangan penggubalan undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.

Salleh berkata sokongan Seri Paduka terhadap undang-undang itu menunjukkan keprihatinan baginda dalam membendung perlakuan tidak bermoral rakyat dalam menggunakan media sosial.

"Saya gembira Yang di-Pertuan Agong menyatakan pendirian baginda dalam hal ini untuk membendung penyebaran berita palsu.

"Pagi tadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengetuai jawatankuasa itu juga memaklumkan bahawa draf akhir berkaitan Rang Undang-undang (RUU) tersebut dijangka dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi," katanya selepas melancarkan Malaysia Fintech Expo 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sultan Muhammad V dalam titah Diraja pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen Ke-13 menyatakan sokongan terhadap undang-undang itu kerana media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai-nilai dan budaya sesuatu masyarakat.

-- BERNAMA

Sunday, March 4, 2018

20 PERATUS PERMINTAAN ORANG ASLI BELUM SELESAI

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan telah memenuhi kira-kira 80 peratus keperluan dan permintaan yang disuarakan masyarakat Orang Asli di seluruh negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata baki kira-kira 20 peratus lagi masih dalam usaha untuk direaliasasikan iaitu merangkumi kemudahan infrastruktur, pendidikan dan peluang peningkatan taraf hidup.

"Kerajaan amat mengambil berat mengenai kebajikan, pembangunan sosioekonomi dan pembangunan minda masyarakat Orang Asli seluruh negara dan tidak sesekali akan meminggirkan golongan ini.

Segala kemudahan dan infrastruktur sedang giat dibangunkan di semua perkampungan Orang Asli dan dijangka menjelang 2023, semua (kemudahan dan keperluan) akan lengkap iaitu 100 peratus apa yang diperlukan mereka," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-21 Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di Dewan Komuniti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada POASAM dan meluluskan peruntukan RM100,000 kepada persatuan itu yang menjadi penghubung erat antara kerajaan dan masyarakat Orang Asli dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri turut membidas dakwaan terutamanya dari pihak pembangkang kononnya masyarakat Orang Asli di negara ini dibiar keciciran.

"Mereka (pembangkang) fokus pada yang 20 peratus itu memanglah. Bahagian (banyak) telah dipenuhi oleh kerajaan tidak pula cerita. Sedangkan kerajaan secara progresif telah dan sedang penuhi empat fokus utama pembangunan Orang Asli meliputi prasarana, pendidikan, ekonomi dan pemilikan tanah," jelasnya.

Menyentuh isu pemilikan tanah, Ismail Sabri berkata negeri yang dikuasai pembangkang adalah terkebelakang dalam menyelesaikan masalah ini dan menyebabkan sukar untuk kerajaan pusat berbincang berhubung masalah itu.

"Keseluruhan tanah Orang Asli adalah seluas 134,440.99 hektar. Daripada jumlah itu, seluas 32,779.37 hektar telah diwartakan. Sebanyak 19,870.08 hektar sudah lulus cuma belum diwartakan sementara jumlah tanah dalam permohonan untuk diwartakan ialah 74,838.86 hektar.

Tanah yang didiami tanpa permohonan rasmi pula seluas 5,142.73 hektar dan 1,809.95 hektar telah diberikan hak milik individu. JAKOA hanya berhak mengukur tanah dan serah kepada kerajaan negeri untuk diselesaikan," katanya yang meminta kerajaan negeri masing-masing mempercepatkan pewartaan berkenaan.

-- BERNAMA

Saturday, March 3, 2018

MUHYIDDIN YANG MANSUHKAN DASAR PPSMI MAHATHIR

KUALA NERANG, 3 Mac (Bernama) -- Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menempelak Pakatan Harapan (PH) yang mahu memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sambil menyatakan ia adalah sebahagian daripada janji 'bulan dan bintang' PH, Mahdzir berkata dasar tersebut yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003, telah dimansuhkan sendiri oleh seorang daripada pimpinan tertinggi PH ketika ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memegang jawatan menteri pelajaran ketika itu.

"Kalau nak kira bantahan pada zaman itu, orang pembangkang pun buat bantahan, kemudian bila datang zaman Tan Sri Muhyiddin jadi menteri dia yang hapuskan PPSMI, hari ini Dr Mahathir cakap pula pasal nak kembalikan PPSMI jadi saya anggap itu sebahagian daripada janji-janji PH, esok lusa janji lain lagi," katanya setelah menyampaikan bantuan persekolahan di SMK Kuala Nerang hari ini.

Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, ketika ini pun sudah terdapat dua program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) yang dilaksanakan di 10,000 sekolah dan Program Dua Bahasa (DLP) yang kini ada di 1,500 sekolah seluruh negara.

"Kalau PH nak buat program yang dia janji, itu hak dia, pada saya kita sudah ada program yang kita laksanakan sekarang ini dan kalau ada apa-apa kita nak buat ke hadapan lagi ia bergantung atas kesesuaian antara masyarakat, sekolah dan kemampuan kita kendalikan sesuatu program," katanya

Friday, March 2, 2018

2,000 UNIT PPR DIBINA DI KEDAH PADA TAHUN INI

ALOR SETAR, 2 Mac (Bernama) -- Sebanyak 2,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di Kedah tahun ini membabitkan kos RM450 juta, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Rumah tersebut akan dibina di tiga lokasi iaitu 1,000 unit di Langkawi, 500 unit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata di sini dan 500 unit lagi di Baling, katanya.

"Kita akan mulakan kerja pembinaan dalam tempoh terdekat ini setelah lokasi sebenar dikenal pasti," katanya kepada pemberita selepas melawat Rancangan Perumahan Awam (RPA) Flat Seri Gemilang di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Dalam pada itu, Noh berkata pihaknya turut bersetuju agar RPA berkenaan dijual kepada penyewa melalui skim sewa beli dengan kelulusan kerajaan negeri bagi memudahkan penyewa memiliki rumah sendiri pada harga yang rendah.

Thursday, March 1, 2018

MAHDZIR INGATKAN GURU JANGAN JADI PRO PEMBANGKANG

LABUAN, 1 Mac (Bernama) -- Guru sekolah seharusnya menyokong kerajaan dan bukan menunjukkan 'sikap melampau' dalam memperlihatkan mereka propembangkang yang jelas melanggar tataetika sebagai penjawat awam, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata masih terdapat segelintir guru yang menunjukkan diri mereka di laman media sosial Facebook sebagai propembangkang secara keterlaluan yang sepatutnya tidak berlaku.

"Saya dah sebut berkali-kali bahawa guru (adalah anggota) dalam perkhidmatan awam... mereka harus ada kesedaran yang mereka itu sedang menggalas tugas sebagai penjawat awam iaitu sebagai guru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini selepas menghadiri Majlis Titian Kasih bersama warga pendidik bersempena lawatan kerja sehari di pulau bebas cukai ini.

Mahdzir turut mengingatkan bahawa sikap keterlaluan dan ekstrem dalam menunjukkan diri mereka propembangkang boleh dikenakan tindakan bergantung kepada keseriusan kes.