Monday, March 5, 2018

SALLEH ZAHIR PENGHARGAAN AGONG SOKONG RUU BERITA PALSU

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang menyokong cadangan penggubalan undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.

Salleh berkata sokongan Seri Paduka terhadap undang-undang itu menunjukkan keprihatinan baginda dalam membendung perlakuan tidak bermoral rakyat dalam menggunakan media sosial.

"Saya gembira Yang di-Pertuan Agong menyatakan pendirian baginda dalam hal ini untuk membendung penyebaran berita palsu.

"Pagi tadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengetuai jawatankuasa itu juga memaklumkan bahawa draf akhir berkaitan Rang Undang-undang (RUU) tersebut dijangka dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi," katanya selepas melancarkan Malaysia Fintech Expo 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sultan Muhammad V dalam titah Diraja pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen Ke-13 menyatakan sokongan terhadap undang-undang itu kerana media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai-nilai dan budaya sesuatu masyarakat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment