Friday, March 9, 2018

SEMUA AHLI PEMUDA UMNO KENA JADI PEJUANG SIBER

KOTA BELUD, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Said Keruak mahu setiap anggota pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) menjadi 'cyber trooper' atau 'pejuang siber' yang agresif menangkis dakyah pembangkang termasuk penyebaran berita palsu.

Pengerusi BN Kota Belud itu berkata tanggungjawab sebagai pejuang siber sangat penting untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung sebarang isu agar rakyat khususnya pengundi tidak membuat keputusan salah ketika mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Landskap politik hari ini sudah jauh berubah berbanding dahulu di mana kalau dahulu dakyah dan berita palsu cuma disebarkan melalui surat layang tetapi kini sudah beralih kepada telefon pintar melalui media sosial."

"Jadi setiap anda perlu jadi pejuang siber. Lawan dakwah pembangkang bukan tolong pembangkang sebar berita tidak sahih," katanya.

Salleh yang juga bendahari UMNO berkata demikian pada Program Santai Jentera Briged Gempur Pergerakan Pemuda BN kawasan Dewan Undangan Negeri Kadamaian di sini, hari ini.

Katanya sekiranya pejuang siber pemuda BN berjaya menjelaskan segala isu dan menangkis segala tohmahan dan berita palsu, keyakinan rakyat terhadap keupayaan dan kebenaran BN akan meningkat seterusnya rakyat akan memilih atau mengundi calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Salleh, pilihan individu ketika mengundi biasanya disebabkan faktor parti, isu dan persekitaran.

Katanya pengundi yang mengundi disebabkan parti tidak menimbulkan banyak masalah kerana mereka adalah penyokong setia parti namun pengundi yang mengundi disebabkan isu serta pengaruh persekitaran perlu ditangani dengan bijaksana dan berstrategi.

"Sebab itu, jentera-jentera BN perlu memahami dan mengambil kira sebab-sebab pengundi ini. Jawap dan perjelaskan sebarang isu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment