Thursday, November 30, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN NOVEMBER 2017

Berita Dr Salleh rasmi majlis prapelancaran buku Panduan VVIP Malaysia pada 2 November lalu dalam blog ini mendapat rating tertinggi 225 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan November 2017 ialah:-

1. Dr Salleh rasmi prapelancaran buku Panduan VVIP Malaysia (2 November) - 225 hits
2. Lim Guan Eng tidak insaf (10 November)
3. Pakat mungkin bina padang golf di Tanah Merah (25 November)
4. Gagal adakan mesyuarat agung, jangan salahkan ROS batalkan pendaftaran PBPM (18 November)
5.Kurang ajar hotel larang kakitangan bertudung (14 November)
6. Najib punya 3.3 juta pengikut di Facebook menang anugarah kepimpinan Global (11 November)
7. Setiausaha akhbar TPM dinaikkan pangkat Mejar Jenderal (17 November)
8. Zahid sambut panggilan LGE pada jam 3.34 pagi (5 November)
9. Pelan pengurusan banjir  Kemaman digunakan untuk banjir di Pulau Pinang (6 November)
10. Jack Ma terkejut dengan kepantasan Malaysia (3 November)


Tuesday, November 28, 2017

PASTIKAN MANGSA BANJIR DAPAT LAYANAN DIRAJA

PASIR MAS, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan memastikan mangsa banjir diberikan bantuan terbaik yang diibaratkan 'layanan diraja' ketika berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata pihak berkuasa telah membuat persediaan secukupnya dalam menghadapi bencana itu bagi memastikan mangsa banjir yang berlindung di PPS mendapat keistimewaan dan keselesaan berserta kemudahan-kemudahan tertentu.

"Makanan segar juga akan disediakan kepada mangsa-mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan dan pelbagai kemudahan lain turut disediakan agar mereka dapat duduk dengan selesa."

"Dengan kerjasama semua pihak khususnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita harap segala kelengkapan dapat disediakan dengan sempurna kepada mangsa," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini, hari ini.

Turut serta melawat ialah Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan Zainuddin Hussin.

PPS tersebut menempatkan seramai 185 mangsa daripada 78 keluarga.

Menurut Shahidan proses pemindahan mangsa banjir kini berjalan lancar dengan bantuan penggunaan pelbagai aset pasukan keselamatan.

Beliau juga meminta supaya penduduk yang tinggal berhampiran sungai agar segera berpindah jika paras air mula meningkat bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Katanya beliau mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mangsa banjir.

Sementara itu, banjir dilaporkan kian buruk di Terengganu dan Kelantan dengan menyaksikan jumlah mangsa di kedua-dua negeri itu yang dipindahkan ke PPS meningkat petang ini berbanding pagi tadi.

Setakat 4 petang ini, di Terengganu sejumlah 4,781 orang ditempatkan di 41 PPS manakala di Kelantan seramai 3,033 orang ditempatkan di 52 PPS.

-- BERNAMA

KESEDARAN AMBIL INSURANS KAMPUNGKU PERLU DIPERLUASKAN

KEMAMAN, 28 Nov (Bernama) -- Kesedaran pengambilan polisi Insurans Kampungku bagi menghadapi banjir perlu diperluaskan di seluruh negara agar mangsa tidak terbeban dengan kerugian yang menimpa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pengambilan insurans itu merupakan sebahagian daripada kesiapsiagaan bagi menampung keperluan mereka yang terlibat dengan banjir.

"Mereka yang memiliki polisi ini akan mendapat RM1,000 bagi menampung keperluan sesudah banjir dalam kadar yang cepat. Selain itu, mereka juga boleh mendapat faedah jika rumah mereka terkena ribut atau kebakaran?mereka akan mendapat RM10,000 jika bencana itu berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Simulasi Banjir di Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pasir Gajah di sini hari ini.

Polisi Insurans Kampungku telah diperkenalkan sejak 2014 dengan hanya membayar RM74 setahun tetapi bagi penduduk di sini, mereka hanya perlu membayar RM50 manakala selebihnya akan ditanggung oleh pejabat Parlimen Kemaman.

Monday, November 27, 2017

AHLI POLITIK DIGESA BERHENTI GUNA AGAMA UNTUK TAKUTKAN RAKYAT

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa masyarakat khususnya ahli politik agar berhenti menggunakan agama untuk tujuan menakutkan rakyat.

Beliau berkata adalah malang apabila sesetengah ahli politik menggunakan agama sebagai momok untuk tujuan memecahbelahkan rakyat.

Memetik keunikan di Sabah dan Sarawak, Salleh berkata kedua-dua negeri ini tidak pernah berdepan masalah agama 'tetapi kini sebilangan ahli politik cuba membangkitkan sentimen agama sebagai sebahagian strategi politik mereka'.

"Ini bukan sahaja licik tetapi juga berbahaya. Malah (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang juga memperkatakan mengenai agama dalam catatan blog terbaru beliau," kata Salleh dalam catatan blog beliau hari ini.

Menteri itu berkata banyak contoh dapat dilihat di seluruh dunia tentang apa yang berlaku apabila konflik agama dibangkitkan.

"Mengapa kita mesti memisahkan umat Islam menjadi umat Islam yang moderat dan ekstrem dan seterusnya mengasingkan orang Islam dan bukan Islam? Hanya ahli politik yang cetek idea akan melakukan perkara ini.

"Ia juga ironik apabila mereka yang melakukan pemisahan itu, merungut mengenai masalah tersebut dan berkata Malaysia perlu diselamatkan. Ia seperti 'the fox offering to save the chickens from getting eaten by other foxes' (Harapan diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkannya)," katanya.

Salleh juga menegaskan pembinaan negara tidak dapat dicapai dengan memisahkan rakyat.

"Jadi mari kita dengar penyelesaian daripada mereka yang cuba memecahbelahkan Malaysia. Bercakap mengenai betapa teruknya pemisahan ini, tidak akan menyatukan negara. Ia hanya akan memisahkan rakyat Malaysia.

"Kita terus mendengar mengenai masalah ini tanpa memberi penyelesaian. Dan mereka yang mengkritik itu sebenarnya yang bermasalah," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, November 26, 2017

SPP DAN MPPP BANTU PENUHI CADANGAN PENUBUHAN SURUHANJAYA PENDIDIKAN

PADANG TERAP, 26 Nov (Bernama) -- Pemerkasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) dan Majlis Perkhidmatan Penasihat Pendidikan (MPPP) dapat bantu memenuhi cadangan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan bagi memantapkan aspek pendidikan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya melihat cadangan tersebut sebagai sesuatu yang baik namun peranan dan fungsi kedua-dua badan itu harus diperincikan dan dilihat semula terlebih dahulu.

"SPP yang fungsinya terhad kepada perkhidmatan perguruan seperti temuduga, lantikan dan pengesahan guru mungkin boleh dirombak dan diperkemaskan semula supaya ia menjadi 'regulator' dalam pelaksanaan dasar pendidikan.

"Saya juga ingin nyatakan mengenai MPPP yang diwujudkan sebagai penasihat kepada dasar pendidikan negara. Majlis penasihat ini boleh dikaji semula peranannya dengan diberi mandat yang lebih luas selain menasihati pelaksanaan dasar pendidikan negara,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 tahun Piala Menteri Pendidikan Malaysia 2017 di Sekolah Kebangsaan Padang Terap di sini hari ini

Saturday, November 25, 2017

PAKAT MUNGKIN BINA PADANG GOLF DI TANAH MERAH

DENGKIL : Pakatan Anak Tanah Merah (PAKAT) tidak menolak kemungkinan membina padang golf di Tanah Merah, Kelantan jika mendapat tanah dari kerajaan negeri.

Menurut Penaung PAKAT, Datuk Seri Supardi Mohd Noor kemungkinan itu ada jika ia mendapat kerjasama dari kerajaan negeri dan jika ada pelabur yang berminat membinanya.

"Ramai ahli PAKAT minat bermain golf tetapi kami bermain golf di luar Tanah Merah seperti di Kota Bharu," kata beliau kepada MH Online selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan golf anjuran Aktivis Tanah Merah di Bukit Unggul Golf Resort di sini.

Beliau yang juga bekas Exco Pemuda Umno Malaysia berkata PAKAT sebagai NGO mempunyai seramai 11,000 orang ahli anak Tanah Merah sama ada yang tinggal di Tanah Merah atau di luar Tanah Merah.

Katanya, selain dari bola sepak , golf adalah sukan yang paling popular di Tanah Merah terutamanya kepada golongan yang berumur.

"Oleh itu program kejohanan golf anjuran Aktivis Tanah Merah ini mendapat sambutan dari 40 orang anak Tanah Merah yang berada di Kuala Lumpur dan 40 orang anak Tanah Merah dari Tanah Merah, Kelantan, " katanya yang juga penaung Aktivis Tanah Merah.

Sementara itu Presiden Aktivis Tanah Merah, Datuk Ramli Mohd Zain berkata beliau terkejut dengan sambutan terhadap kejohanan golf yang julung julung kali diadakan oleh NGO tersebut.

Katanya. Aktivis Tanah Merah sudah 22 tahun diwujudkan maka dua program utama yang dijalankan oleh NGO itu ialah kebajikan dan sukan.

"Selain dari bolathon sukan yang popular ialah golf di mana ramai anak Tanah Merah yang berminat main golf sebagai sukan utama mereka," katanya lagi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang menjayakan kejohanan itu terutamanya kepada Datuk Seri Supardi sebagai penaung kejohanan.

Friday, November 24, 2017

ISU GRED GURU BESAR, PENOLONG KANAN DIBAWA KE KABINET

SEPANG, 24 Nov (Bernama) - Isu berkenaan gred jawatan guru besar dan penolong kanan yang dikatakan tidak memuaskan telah dikemukakan untuk perhatian Jemaah Menteri, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya beliau telah menyerahkan butiran berkenaan dua gred berkenaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

"Masih belum dibincang tetapi sudah dimaklumkan kepada timbalan perdana menteri bentuk, jumlah keseluruhan (gred) dan akan dibincangkan dalam Kabinet nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen dan Apresiasi Sekolah Kiblah di sini,pada hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga penasihat tetap Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata isu gred pentadbir di sekolah rendah khususnya guru besar dan penolong kanan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet ekoran permintaan tangga gaji sedia ada dikaji semula untuk perjawatan tersebut.

Thursday, November 23, 2017

ADUN DAP TIDAK BERI GAMBARAN YANG BAIK KEPADA GENERASI MUDA

IPOH, 23 Nov (Bernama) -- Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam ceramahnya di Kampung Simee, di sini minggu lepas memberi gambaran tidak baik kepada generasi muda, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Beliau berkata sebagai ahli politik 'senior', Nga sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan bukannya menjadikan sikap mengeluarkan kata-kata kesat sebagai budaya dalam politik.

"Bagaimana kalau generasi muda mahu menceburkan diri dalam politik dan melihat sikap sedemikian, mereka akan tawar hati," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khuzairi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Nga kerana membuat laporan palsu dengan menafikan tindakannya walaupun ia telah dirakam dengan jelas.

"Tindakan Nga yang mendakwa video itu telah disunting juga dilihat sebagai tidak relevan memandangkan video berdurasi 30 minit itu dengan jelas menunjukkan dia menghamburkan kata-kata kesat tersebut," katanya.

Selasa lalu (21 Nov), Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini meminta pihak berkuasa menyiasat kebenaran tuduhan beliau mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap Zambry.

Malah, ADUN Kepayang itu mendakwa rakaman video berkenaan telah disunting dan diubah suai bagi menimbulkan ketegangan kaum.

-- BERNAMA

Wednesday, November 22, 2017

RUSUHAN BOLEH BERLAKU DENGAN SATU CATATAN MENGHASUT DALAM MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Media sosial kini telah 'dirampas' untuk meraih sokongan terhadap ideologi radikal dan mencetuskan keganasan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

"Jika pada masa lalu kita boleh menguruskan krisis dengan memastikan hanya maklumat tepat dan boleh dipercayai disebarluaskan, hari ini rusuhan boleh berlaku dengan hanya satu catatan yang menghasut," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN mengenai Kebudayaan dan Maklumat (ASEAN COCI) ke-52, di sini hari ini.

Beliau berkata kemudahan akses serta kepantasan adalah suatu yang positif dari segi meningkatkan persefahaman dalam kalangan negara ASEAN namun ia tidak dapat membezakan kandungan bagus dan berfaedah dengan kandungan negatif, contohnya falsafah yang meniupkan lagi api keganasan.

Jailani berkata revolusi akses kepada maklumat ini telah mengecilkan dunia selain turut menyebarkan percambahan berita, perkongsian idea dan kandungan.

"Semuanya berlaku menerusi satu klik yang pantas. Bukan itu sahaja, sekarang setiap orang yang mempunyai peranti secara automatik menjadi penjana kandungan. Perkongsian maklumat tidak lagi terletak di tangan media arus perdana tetapi pada media baharu," katanya.

Jailani berkata perkembangan teknologi telah mengubah persekitaran budaya dan maklumat.

"Saya percaya kita telah mengambil pendekatan yang tepat menerusi pelan Induk Komunikasi ASEAN yang menumpukan kepada penubuhan komuniti yang berkongsi peluang serta manfaat-manfaat lain.

"...dan baru-baru ini, kita beralih ke arah pendekatan yang lebih proaktif dan bertumpu apabila Pemimpin ASEAN menerima Deklarasi ASEAN mengenai 'Budaya Pencegahan' (CoP) pada Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin ASEAN di Filipina," katanya.

Antara lain, ASEAN CoP akan menekankan kepada pemahaman punca dan akibat keganasan, mengubah penetapan minda daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan serta menyemai nilai-nilai yang dikongsi (keamanan, keharmonian, kefahaman antara budaya, hormat, kepercayaan, toleransi, keterangkuman, kesederhanaan, tanggungjawab sosial dan kepelbagaian), kata Jailani.

Mengenai mesyuarat ASEAN-COCI ke-52 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang bermula semalam sehingga esok itu, Jailani berharap ia akan menjadi platform untuk delegasi bertukar-tukar pendapat demi kebaikan bersama.

ASEAN-COCI yang ditubuhkan pada Oktober 1978 bertujuan menggalakkan kerjasama berkesan dalam bidang kebudayaan dan maklumat di samping meneruskan pembangunan serantau serta meningkatkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat ASEAN.

ASEAN-COCI merangkumi dua badan sektoral kecil iaitu jawatankuasa kecil mengenai kebudayaan (SCC) yang bertanggungjawab terhadap sektor kebudayaan dan jawatankuasa kecil mengenai maklumat (SCI) yang menangani aspek penerangan.

SCC dan SCI merupakan platform untuk anggota ASEAN merancang, melaksana dan memantau projek-projek yang diluluskan serta ditaja oleh ASEAN-COCI.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Jailani meminta masyarakat tidak terlalu ghairah berkongsi maklumat peribadi di laman sosial kerana dikhuatiri memudaratkan mereka pada kemudian hari.

Beliau berkata kementerian itu menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung hal tersebut.

-- BERNAMA

Tuesday, November 21, 2017

MOA PERUNTUK RM1 JUTA UNTUK MANGGA HARUMANIS

ARAU, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta khusus bagi perkembangan industri mangga harumanis di Perlis.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata peruntukan berkenaan akan diguna antaranya untuk penambahbaikan saliran, tanaman dan keperluan logistik bagi meningkatkan produktiviti serta pemasaran harumanis.


"Sebelum ini sudah ada peruntukan, tapi untuk tahun ini tidak banyak... Kita juga akan lihat mungkin ada peruntukan tambahan yang boleh disalurkan (untuk industri harumanis), misalnya mungkin ada bajet daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Memperkasakan Harumanis 2017, di Universiti Teknologi Mara Perlis di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan berusaha mendapatkan peruntukan kewangan tambahan khusus untuk penyelidikan bagi meningkatkan kualiti ikon kebanggaan Perlis itu.

Katanya kajian khusus harus dilaksanakan kerana harumanis mempunyai keistimewaan serta nilai eksotika tersendiri dan buah berkenaan merupakan jenama negara yang perlu dikembangkan.


Monday, November 20, 2017

JAWATANKUASA KHAS JENAYAH SIBER BANTERAS JENAYAH SIBER

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Khas Jenayah Siber telah ditubuhkan bagi membanteras dan menangani jenayah siber di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mempengerusikan jawatankuasa khas itu berkata ia perlu agar tindakan penguatkuasaan kesalahan jenayah siber seperti siasatan dan pendakwaan dapat diselaraskan di bawah satu jawatankuasa serta boleh dilaporkan terus kepada Jemaah Menteri.

"Pada masa ini, tidak ada satu agensi khusus yang menerajui penguatkuasaan berhubung isu jenayah siber," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Jenayah Siber di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Katanya penubuhan jawatankuasa khas itu telah dipersetujui oleh mesyuarat Jemaah Kabinet 3 Nov lepas.

Salleh berkata mesyuarat hari ini turut meluluskan fungsi-fungsi bagi Jawatankuasa Khas Jenayah Siber termasuk menjadi 'focal point' kepada Jemaah Menteri dalam urusan berkaitan jenayah siber, memberikan khidmat nasihat berkaitan dasar serta strategi menangani dan membanteras jenayah siber kepada Jemaah Menteri.

Selain itu, katanya ia bagi memastikan perkongsian maklumat yang efisien di antara agensi penguatkuasaan, mengoptimumkan pelbagai sumber terutama kepakaran di antara agensi penguatkuasaan, mengkaji keperluan menilai semula undang-undang sedia ada bagi menentukan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan sesuai dengan perubahan teknologi maklumat; dan menyediakan laporan jawatankuasa untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

"Mesyuarat juga bersetuju bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bertindak yang diterajui NACSA bagi membincangkan perkara-perkara untuk diputuskan pada peringkat jawatankuasa khas," katanya.

Salleh berkata Jawatankuasa Khas Membanteras Penyalahgunaan Media Sosial akan digabungkan dengan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber memandangkan kedua-dua jawatan kuasa itu mempunyai tugas dan tanggungjawab yang hampir sama.

Beliau berkata anggota bagi jawatankuasa khas berkenaan terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

Anggota jawatankuasa tambahan terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Bank Negara Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Menurut kenyataan itu, MCMC telah menerima sebanyak 1,792 aduan pada Januari sehingga September tahun ini berbanding 804 aduan awam diterima dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ini termasuk aduan melibatkan gangguan buli, gangguan seksual, ancaman, tindakan menakut-nakutkan serta penyalahgunaan maklumat, butiran atau gambar peribadi bagi tujuan penganiayaan dan untuk memalukan individu tertentu.

Selain itu, MCMC menerima sebanyak 2,047 aduan berkaitan ancaman kepada rangkaian pada Januari hingga Ogos lalu, menurutnya.

Sunday, November 19, 2017

KERJASAMA UMNO DAN PAS BERI MANFAAT KEPADA PENYATUAN UMMAH

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kerjasama antara UMNO dan PAS sekiranya dimaterialisasi akan memberi manfaat kepada penyatuan ummah, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penyatuan di kalangan pimpinan politik beragama Islam, penting dalam memastikan kelangsungan Islam dan dasar berkaitannya di dalam negara boleh dicapai.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata hal mengenai kerjasama antara kedua-dua parti itu, terutamanya dalam pilihan raya, terserah kepada pucuk pimpinan parti.

"Setakat ini kita tak nampak pergaduhan antara UMNO dan PAS, kalau benar boleh kita bekerjasama dengan lebih jauh, saya kira itu baik kerana kita bercakap tentang penyatuan ummah.

"Daripada kita bergaduh lebih baik kita bersatu," katanya semasa menjadi panel kluster politik di Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di sini, hari ini.

Beliau mengulas soalan daripada peserta konvensyen yang mahu tahu sama ada UMNO dan PAS perlu ada kerjasama politik.

-- BERNAMA


Saturday, November 18, 2017

GAGAL ADAKAN MESYUARAT AGONG, JANGAN SALAHKAN ROS BATALKAN PENDAFTARAN PPBM

KUANTAN, 18 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan bersedia dengan kemungkinan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibatalkan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata perkara itu bukan perkara baharu bagi pembangkang kerana situasi sama pernah dilalui DAP menjelang PRU13 pada 2013.

"Tidak ada masalah...Jika RoS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) buat tindakan mengejut, Pakatan Harapan akan bersama-sama dalam menanganinya. Sebelum ini pun, mereka (RoS) buat masalah dengan DAP.

"...kami sentiasa bermesyuarat dan bersama-sama dalam apa juga keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama rakyat di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung dan ADUN Teruntum Sim Chon Siang.

PPBM berhadapan kemungkinan pendaftarannya dibatalkan RoS kerana melakukan tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti iaitu tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

Ditanya jika beliau akan mengarahkan kepimpinan PPBM supaya segera menyelesaikan konflik dalaman mereka, Wan Azizah berkata beliau yakin dengan kepimpinan parti itu dalam membuat keputusan yang terbaik.

Pada PRU13, DAP berdepan kemungkinan logo 'Roket' tidak boleh digunakan dalam pilihan raya selepas pendaftaran parti itu mungkin terbatal ekoran kemelut berhubung pemegang jawatan yang dibentuk semasa pemilihan parti pada 15 Dis 2012.

Semasa itu, Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP memaklumkan parti itu bercadang menggunakan logo PAS di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah dan Sarawak, jika isu itu tidak diselesaikan sebelum pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun, pada 18 April 2013, RoS mengesahkan bahawa DAP masih boleh menggunakan logo mereka memandangkan pendaftaran parti itu tidak terbatal kerana siasatan masih dijalankan berhubung kemelut dalaman parti itu.

-- BERNAMA



Friday, November 17, 2017

SETIAUSAHA AKHBAR TPM DINAIKKAN PANGKAT MEJAR JENERAL

PUTRAJAYA, 17 Nov (Bernama) -- Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican hari ini dinaikkan pangkat daripada Brigadier Jeneral kepada Mejar Jeneral.

Fadzlette merupakan tentera darat wanita tunggal yang dinaikkan pangkat sebagai jeneral berbintang dua.

Majlis pemakaian pangkat pegawai kanan tentera darat itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Darat , Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Zulkiple sebelum itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri.

--BERNAMA.

Thursday, November 16, 2017

MUKHRIZ TAK YAKIN MENANG DI TEMPAT SENDIRI



ALOR STAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sedikit pun tidak berasa tercabar atau tergugat dengan ura-ura bahawa Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu mencabarnya di DUN Bakar Bata pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau berkata bekas menteri besar Kedah itu berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan tetapi persoalan adakah dirinya berasa tergugat dan hilang keyakinan di DUN Ayer Hitam sehingga mahu mencari tapak baru di kawasan lain.










“Dia nak bertanding manapun tidak ada masalah tapi sebagai pemimpin adakah dia tidak yakin akan menang di kawasan sendiri atau mungkin dia sedar selama ini dia memang abaikan DUN Ayer Hitam... ini memang kita tahu.

“Sekarang pun ada ura-ura mengatakan dia mahu bertanding di Parlimen Langkawi tetapi sebagai pemimpin, Mukhriz sepatutnya terus berada di kawasan sendiri... tidak perlu lari.

“Kalau nak kalah pun sepatutnya sanggup kalah dalam kawasan sendiri. Ini baru orang panggil pemimpin. Kalau lari nak selamatkan diri buat apa jadi pemimpin,” katanya yang dipetik portal Umno-Online.

Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar Kedah selepas Mukhriz meletak jawatan pada Februari 2016. Ketika itu, ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad lantang berkempen mahu menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.



Sementara itu, menteri besar berkenaan juga mengulas mengenai hasrat pembangkang yang mahu menjadikan Kedah sebagai sasaran utama menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Ahmad Bashah berkata ini tidak akan menjadi tugas yang mudah.

“Tapi untuk makluman, ia bukan mudah sebab kita buat kerja dan sentiasa berwaspada tambahan pula rakyat sudah merasa bagaimana hidup dalam pentadbiran pembangkang.

“Saya yakin, apa yang dibentangkan oleh pembangkang untuk mengambil sokongan rakyat tidak akan mampu membuat rakyat terpengaruh.

“Saya selalu pesan agar jangan sampai pisang berbuah dua kali sebab dah ada pengalaman. Sebagai pembangkang mereka memang janji bulan dan bintang,” sindirnya.

Justeru, beliau berharap agar rakyat khususnya di negeri Kedah menjadikan apa yang berlaku dahulu sebagai iktibar selain belajar dari pengalaman bagaimana susahnya ketika BN menjadi pembangkang di negeri Kedah.

“Saya tidak rasa rakyat sanggup merugikan masa depan Kedah dan generasi akan datang hanya kerana terpengaruh dengan janji manis pembangkang.




“Kita boleh lihat bagaimana kesungguhan Perdana Menteri sendiri mahu membantu negeri ini dalam Bajet 2018 yang dibentangkan baru-baru ini. Pelbagai peruntukan diberikan dan salah satunya ialah mewujudkan kawasan bebas cukai yang besar di Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Kedah jatuh ke tangan pembangkang yang diterajui oleh PAS pada pilihan raya umum 2008 tetapi BN berjaya merampas semula negeri itu pada pilihan raya 2013.

Kedah juga adalah negeri asal Mahathir, yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu dari tahun 1974 sehingga beliau melepaskan jawatan perdana menteri pada tahun 2003.



Wednesday, November 15, 2017

KERAJAAN BERSEDIA ROMBAK SEMULA AKTA PERIKANAN 1985

GEORGE TOWN, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan bersedia merombak semula Akta Perikanan 1985 sekiranya terdapat kelemahan berhubung peraturan dan penguatkuasaan sehingga menyebabkan sumber maritim negara dirompak pihak luar, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata mengikut undang-undang perikanan negara, lesen menangkap ikan boleh dikeluarkan kepada pihak luar sekiranya ada perjanjian antara kerajaan dan kerajaan.

"Namun, sehingga kini tidak ada satu lesen pun dikeluarkan kerana tidak ada perjanjian kerajaan dengan kerajaan berhubung perkara itu. Jadi, tidak timbul isu mengatakan bahawa kita bagi lesen pada orang luar untuk datang menangkap ikan di sini (di perairan negara)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat dan mengadakan perjumpaan dengan pesawah yang terjejas akibat banjir di Institut Pertanian Bumbong Lima, di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula Akta Perikanan 1985, terutama Seksyen 19 berkaitan kelulusan permit kepada nelayan yang dilihat sebagai punca sumber maritim negara mudah dirompak nelayan asing.

Tuesday, November 14, 2017

KURANG AJAR HOTEL LARANG KAKITANGANNYA BERTUDUNG

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Dasar larangan bertudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan hadapan sektor perhotelan di sesetengah rangkaian hotel di negara ini adalah satu diskriminasi, tindakan kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

Menegaskan demikian, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebarang larangan seumpama itu melanggar Perlembagaan Malaysia.

"Di setiap negara ada undang-undang tubuh, basic law, mana-mana aktiviti yang dilakukan di negara itu tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan negara terbabit.

"Ini merupakan satu bentuk diskriminasi kerana dalam Perlembagaan jelas menyatakan bahawa tidak boleh berlaku diskriminasi atas apa-apa alasan sekalipun sama ada agama, bangsa, bahasa dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran Festival Kraf Antarabangsa (KLICF) 2017 di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Samuel Cheah Swee Hee bahawa dasar itu diamalkan rangkaian hotel antarabangsa yang menggunakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pemakaian uniform di semua rangkaian hotel mereka di seluruh dunia

SEMUA PIHAK PERLU HENTI DEBAT ISU PERKAUMAN

KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- Semua pihak, terutama portal berita Malaysiakini perlu segera menghentikan penyiaran artikel yang telah mencetuskan perdebatan isu perkauman, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata pengamal media tradisional dan elektronik memegang amanah dan mempunyai tanggungjawab besar dalam menjaga keharmonian dan seharusnya tidak memutarbelitkan sesuatu isu sehingga mendatangkan kegusaran awam.

Beliau merujuk kepada artikel disiarkan Malaysiakini semalam berkenaan dakwaan terhadap Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail yang dikatakan membangkitkan isu perkauman, dan berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku.

Katanya Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi juga telah menghuraikan isu tersebut pada 11 Nov lalu dengan menyatakan apa yang dinyatakan Aidi bukanlah kenyataan rasis.

Ekoran itu katanya, tiada sebab untuk portal terbabit masih berterusan menerbitkan artikel malah menyiarkan komentar-komentar netizen sehingga kepada tahap sesetengahnya mempertikaikan kewibawaan Aidi.

"Mereka sendiri ada menerbitkan penjelasan mengenai perkara itu (kenyataan Mohamad Fuzi) tetapi masih lagi menerbitkan artikel lain selepas itu yang seolah-olah sengaja mengeruhkan keadaan dan mengelirukan masyarakat sehingga maksud sebenar yang disampaikan tidak difahami dengan betul.

"Kenyataan Ketua Polis Terengganu ini telah disalah tafsir dan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memainkan isu pemprofilan kaum. Ini adalah sesuatu tindakan yang tidak beretika sehingga ke tahap telah menimbulkan pelbagai persepsi dan komen negatif daripada netizan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada 8 Nov lepas, Bernama telah melaporkan bahawa Aidi mengesahkan bahawa tiada kegiatan gangsterisme dikesan di Terengganu dan ia mempunyai kaitan dengan sikap masyarakat di negeri itu yang majoritinya orang Melayu, masih menghormati pemimpin setempat seperti ketua kampung dan bilal.

Jailani yang merupakan Anggota Parlimen Hulu Terengganu urut mengingatkan agar semua pihak memikul tanggungjawab dalam menyampaikan berita yang tepat dan mendidik rakyat.

"PDRM dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sentiasa bekerjasama dalam menguatkuasa undang-undang demi menjaga ketenteraman awam di negara ini. Kedua-dua agensi ini perlu terus tegas melakukan segala yang perlu dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) agar polemik ini dihentikan serta-merta, tanpa kompromi.

"Kerajaan dan rakyat secara amnya tidak mahu melihat perkara ini berterusan tanpa tindakan segera dan tegas diambil," katanya



-- BERNAMA

Monday, November 13, 2017

AMALAN KBAT LEBIH BAIK TIGA TAHUN LAGI

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Penguasaan pelajar dan guru terhadap amalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) akan berada pada tahap lebih baik dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sebagai satu proses atau kaedah berfikir yang dimasukkan dalam pengajaran di sekolah, KBAT bukanlah satu program yang kejayaannya boleh berlaku dalam sekelip mata.

Melalui KBAT, katanya pelajar disasarkan mempunyai kebolehan berfikir dan menjawab dengan cepat serta mampu berkomunikasi terhadap perkara yang disoal.

"Contohnya, bila di letakkan gambar labu sayung, kita mahu pelajar segera memberi takrifan kepada labu sayung seperti berasal dari Perak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) di sini hari ini.

Majlis bacaan ikrar itu, yang juga diadakan serentak di sekolah seluruh negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

KKLW HANTAR 1,500 SUKARELAWAN KE PULAU PINANG

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menggerakkan 1,500 sukarelawannya ke Pulau Pinang hari ini bagi membantu pelaksanaan program pasca banjir.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka akan membantu membersih dan mengecat premis bangunan yang terjejas serta mengagihkan 1,400 pek bantuan keperluan seperti makanan, selimut tebal dan barang keperluan diri, termasuk di kawasan terjejas teruk seperti Kepala Batas, Tasik Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

"Fokus kementerian di peringkat pasca banjir iaitu pembaikan infrastruktur dan memastikan kebajikan masyarakat luar bandar diambil perhatian," katanya di majlis pelepasan misi sukarelawan berkenaan di sini, hari ini.

Di samping itu, beliau berkata pelatih GiatMara akan membantu membaiki motosikal, peralatan elektrik dan pendawaian semula secara percuma dalam usaha membantu mangsa banjir di sana.

Ismail Sabri juga berkata terdapat beberapa infrastruktur milik kementerian seperti tadika Kemas di sana terjejas akibat banjir tersebut dengan anggaran kerugian kira-kira RM2 juta.

Pada 5 November lepas, sebahagian besar Pulau Pinang mengalami banjir terburuk, mengakibatkan lebih 10,000 keluarga terjejas dan aktiviti harian di ibu negerinya lumpuh.

-- BERNAMA

Sunday, November 12, 2017

JACK MA BERLAKON FILEM KUNG FU

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Siapa kata bilionair tidak boleh berkung fu? Treler rasmi berdurasi enam minit, filem Gong Shou Dao (Seni Mempertahankan Diri dan Serangan) dibintangi pengasas Alibaba, Jack Ma Yun telah disiarkan semalam yang boleh ditonton di laman Facebook rasmi Jet Li yang telah ditonton lebih 5.9 juta.

Filem itu yang dijadual ditayangkan pada 11 Nov, turut dibintangi pelakon aksi terkemuka Jet Li,
Donnie Yen, Sammo Hung Kam-bo, juara tinju Zou Shiming, aktor Thailand Tony Jaa serta bekas juara sumo warga Mongolia, Asashoryu Akinori dan tayangan filem ini sudah pasti membuatkan peminat filem kung fu di seluruh dunia teruja.

Dalam 40 saat pertama tayangan treler filem ini, beberapa mahaguru seni mempertahankan diri berkumpul di sebuah gudang, mempamerkan kemahiran kung fu mereka mengawal dan membuat lontaran bola sesama mereka dan balingan terakhir disambut dengan tumbukan oleh Ma yang menembusi bola itu.

Babak berikutnya memperlihatkan aksi Ma menentang jagoan kung fu seorang demi seorang, dan menunjukkan kebolehan bilionair itu dalam seni mempertahankan diri.

"Tayangan penuh filem ini dijamin sangat menarik," kata Jet Li yang juga penerbit eksekutif filem tersebut, di laman Facebooknya.


Saturday, November 11, 2017

IBU BAPA DISARAN MANFAATKAN SKIM ADAM50




KOTA BELUD, 11 Nov (Bernama) -- Ibu bapa disaran memanfaatkan sepenuhnya skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50), yang buat julung kali diperkenalkan kerajaan dalam Bajet 2018, bagi menjamin masa depan anak mereka sebagai generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata skim itu merupakan satu lagi pendekatan baharu kerajaan dalam mewujudkan dana simpanan masa depan khusus untuk anak Malaysia yang lahir pada 1 Jan 2018 hingga 2022, dan skim berkenaan akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

ADAM50 adalah Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200, insentif percuma diberikan kepada setiap anak Malaysia yang lahir pada 1 Jan 2018 hingga 2022 melalui unit amanah saham di PNB.

"Jika simpanan dana ini disimpan tanpa diusik, nilainya akan bertambah dan meningkat dari tahun ke tahun kerana ia bukan seperti simpanan biasa dalam akaun bank. Simpanan ini kelak akan membantu anak-anak sama ada untuk pengajian dan memulakan pekerjaan.

"Ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan anak-anak generasi TN50," katanya berucap merasmikan Majlis Mini Konvokesyen Kanak-kanak Taska/Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi parlimen Kota Belud di sini hari ini.

Seramai 748 kanak-kanak daripada 112 Tabika di Kota Belud menerima sijil pada majlis itu.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Musbah Jamli yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tempasuk dan Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas Sabah Muhammad Abu Bakar.

Salleh berkata skim ADAM50 itu juga membukti kerajaan sentiasa berusaha membantu semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia bagi memastikan kesejahteraan dan masa depan mereka terus terjamin.

Kerajaan telah menjalankan kajian dengan teliti selain turut mengambil pandangan rakyat sebelum membentangkan Bajet 2018 yang bersifat menyeluruh dan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik,? katanya.

-- BERNAMA



Friday, November 10, 2017

LIM GUAN ENG TIDAK INSAF






GEORGE TOWN,10 Nov (Bernama) -- Seorang wakil rakyat pembangkang hari ini menyifatkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai tidak insaf apabila masih cuba menuding jari kepada pihak lain sebagai punca banjir di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) belum surut sepenuhnya.

Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata beliau berasa dukacita dengan sikap suka menuding jari ketua menteri itu yang masih mencari salah orang lain .

"Saya ingat dia (Lim) dah insaf dan tidak mahu lagi mencari salah orang, tetapi baru saja dua hari berlalu, air banjir pun belum surut lagi, dia telah menyalahkan air banjir itu kepada negeri Kedah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Semalam, Lim ketika mengumumkan Program Pulau Pinang Bangkit bagi membantu mangsa banjir pada persidangan DUN, berkata air mulai surut kecuali di kawasan SPU dan SPT yang masih menghadapi tempias banjir di Kedah berikutan air daripada negeri itu melimpah keluar ke sungai-sungai di sini.

Selain pemberian secara one-off RM500 kepada mangsa banjir, Lim turut mengumumkan pengecualian bayaran surcaj konservasi untuk pengguna domestik bagi tempoh bayaran satu pusingan (dua bulan), serta diskaun air sebanyak 50 peratus kepada pengguna domestik dan 25 peratus untuk pengguna komersial.



Thursday, November 9, 2017

SEMUA MANGSA BANJIR DI PULAU PINANG AKAN DIBANTU

TASEK GELUGOR, 9 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan menangani isu yang dihadapi oleh semua mangsa banjir di Pulau Pinang termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata kesemua mereka sama ada berpindah atau tidak memerlukan bantuan kerana rumah ditenggelami air dan menyebabkan kerosakan harta benda.

"Orang tidak pindah juga memerlukan bantuan, kelengkapan mereka rosak...semuanya akan ditangani dan akan diurus dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sekolah Agama Nyiur Sebatang, di sini hari ini.

Beliau berkata banjir yang dianggap terburuk dalam sejarah Pulau Pinang itu melibatkan 12,559 orang mangsa dan pihaknya kini membuat anggaran kerosakan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.

Shahidan berkata apa yang penting dalam tempoh pasca banjir ini ialah membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan kediaman mereka serta memastikan tidak berlaku wabak penyakit bawaan air.

MEDIA SOSIAL BERKUASA MEMPENGARUHI KEHIDUPAN HARIAN

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Media sosial merupakan alat pemerkasaan yang berkuasa untuk mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan harian orang ramai, termasuk dari segi ekonomi, sosial dan politik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
.

Beliau berkata bagaimanapun alat yang begitu berkuasa itu mempunyai peranan serampang dua mata yang perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

"Penggunaannya secara salah boleh menyebabkan kemusnahan dan keperitan, manakala penggunaannya secara betul mampu membina masyarakat dan memperkukuhkan ekonomi dan kehidupan.

"Justeru, media sosial perlu digunakan dengan berhati-hati dan penuh tanggungjawab. Hormati undang-undang dan biar kesopanan, adab sosial dan etika menjadi prinsip dan garis panduannya," katanya.

Salleh berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Minggu Media Sosial 2017 anjuran Social Media Chambers (SMC), di sini, malam ini.

Sebanyak 33 kategori dipertandingkan bagi anugerah itu, bertujuan menggalakkan peranan media sosial dengan memberi penghargaan kepada beberapa syarikat media sosial terbaik di Asia.

Sementara itu, Salleh berkata penebusan jalur lebar isirumah di seluruh negara telah mencapai 81.8 peratus pada suku pertama tahun ini.

Beliau berkata bagi tempoh sama, 103.6 bagi setiap 100 penduduk di negara ini mempunyai akses kepada hubungan jalur lebar manakala pemilikan telefon bimbit mencecah 134 bagi setiap 100 penduduk.

"Berdasarkan statistik pada 2016, 77.6 peratus daripada populasi Malaysia atau 24.1 juta ialah pengguna Internet, dan 80 peratus daripada mereka ialah pengguna media sosial.

"Setiap pengguna mempunyai purata empat akaun media sosial, yang hanya menggunakannya untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, November 8, 2017

NAJIB PUNYA 3.3 JUTA PENGIKUT DI FACEBOOK MENANG ANUGERAH KEPIMPINAN GLOBAL

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib menerima Anugerah Kepimpinan Global bagi Hubungan Dalam Media Sosial atas pembabitan aktif beliau dalam media sosial, selepas merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia 2017 hari ini.


Beliau menerima anugerah itu daripada Pengasas dan Presiden Malaysia Social Media Chambers Shahul Hameed Shaik Dawood.

Ketika ini, Najib mempunyai 337,000 pengikut di Instagram, 3.8 juta pengikut di Twitter dan 3.3 juta pengikut di Facebook yang menjadikan beliau antara pengguna nombor satu media sosial bersama-sama 20 juta rakyat Malaysia yang aktif di platform berkenaan.

Najib mula menggunakan Twitter pada September 2008 semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan pada awalnya menyiarkan beberapa dokumen rasmi beliau dan banyak membuat ulasan berkaitan isu tempatan, semasa dan antarabangsa.

Perdana menteri turut menggunakan Facebook untuk berhubung dengan masyarakat Cina dengan mewujudkan laman peminat bahasa Cina dan menggelar dirinya sebagai 'Ah Jib Gor' atau Abang Najib.

Najib menyertai Instagram pada 28 Mac, 2013 dengan catatan; "Akhirnya saya menyertai Instagram. Cara baik untuk menunjukkan gambar-gambar di belakang tabir daripada aktiviti harian saya".

Shahul dalam ucapannya berkata anugerah itu diberikan kepada perdana menteri bagi mengiktiraf peranannya dalam memacu pembangunan industri digital di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif termasuk dengan kalangan pemain tempatan dan global.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Ikon Media Sosial 2017 kepada pelakon dan pelawak Zizan Razak.

Terdahulu, perdana menteri dalam ucapannya menegaskan penyebaran berita palsu perlu dipandang serius termasuk di negara ini.

"Kita tidak mahu sesiapa pun membuat keputusan berdasarkan pembohongan, putar belit dan fitnah," katanya.

Najib berkata pengamal media sosial perlu adil dan bertanggungjawab terhadap apa yang mereka tulis dan siarkan dan tahu membezakan terhadap apa yang mereka baca.

"Jangan percaya bulat-bulat setiap catatan dan tweet. Terdapat begitu banyak berita palsu di luar sana sehinggakan The Economist minggu ini malah bertanya sekiranya media sosial satu ancaman kepada demokrasi," katanya.

Najib dalam pada itu berkata ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada separuh pertama tahun ini tidak sepatutnya dipertikaikan oleh netizen.

-- BERNAMA

Tuesday, November 7, 2017

BANJIR MENYATUKAN PEMIMPIN BERBEZA FAHAMAN POLITIK

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Musibah banjir yang melanda utara Semenanjung khususnya negeri Pulau Pinang telah menyatukan pimpinan pusat dan negeri biarpun berbeza fahaman politilk demi membantu mangsa banjir di kawasan itu yang disifatkan sebagai terburuk
dalam sejarah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata apa yang menarik perhatiannya daripada musibah itu ialah tanggungjawab pemimpin pusat dan negeri bekerjasama menyelesaikan masalah rakyat yang terjejas dengan banjir.

"Senario ini amat menarik. Politik matang diamalkan. Jauh di lubuk hati, saya berkata: Inilah Malaysia. Perbezaan politik tidak menghalang untuk bersama dalam menyelesaikan masalah rakyat. PM Najib adalah seorang yang budiman, " katanya menerusi catatan terbaru blog beliau di http://sskeruak.blogspot.my/.

Salleh berkata beliau tertarik membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa beliau menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi Ahad meminta bantuan dan panggilan diangkat oleh Ahmad Zahid.

"...dan esok paginya mereka berjumpa dan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, " kata Salleh. Salleh berkata beberapa hari lepas banjir teruk telah melanda utara Semenanjung mengakibatkan hampir 7,000 penduduk Pulau Pinang dan 3,000 penduduk Kedah terpaksa dipindahkan.

"Teruk atau tidaknya banjir ini dapat lihat bukan sahaja daripada jalan yang ditenggelami air, tetapi juga rumah yang turut digenangi air, " katanya.

Salleh berkata: "Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor sendiri pula turun ke Pulau Pinang dan sekali lagi disambut oleh Lim serta diberikan taklimat oleh kerajaan negeri".

"Saya lihat mereka mesra bersama berbincang mengatasi masalah rakyat," katanya.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pulau Pinang meningkat kepada 7,294 orang daripada 1,774 keluarga tengah hari ini berbanding 6,080 mangsa membabitkan 1,572 keluarga pagi tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di empat daerah di Kedah setakat 4 petang ini menurun kepada 442 orang berbanding 982 orang pada 9 pagi tadi.

-- BERNAMA