KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S.Ambiga tidak sepatutnya berdiam diri, sebaliknya perlu tampil menjelaskan tuduhan bahawa beliau menjadi sumber maklumat berkenaan dakwaan transaksi kewangan antara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), PAS dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak ketika menegaskan perkara itu berkata langkah memberi penjelasan wajar dibuat kerana orang ramai sudah maklum tentang perkara berkenaan.
"Beliau sebagai seorang peguam dan seorang profesional sepatutnya tak berdiam diri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan prapelancaran Buku Panduan VVIP di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat terhadap dakwaan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada perdana menteri.
Dalam kenyataan pembelaannya pada 11 Okt lepas terhadap saman yang difailkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Rewcastle-Brown mendakwa beliau dan Ambiga bercakap mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.
Sementara itu Ketua Pengarang Buku Panduan VVIP Zabidi Saidi berkata buku itu yang akan dicetak sekitar 3,000 sehingga 5,000 naskhah, bakal mengumpulkan biodata penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran seperti 'Datuk' dan darjah kebesaran utama lain.
Beliau berkata buku terbitan Mysuit Styles Sdn Bhd itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan lagi bagi penerbitan pertama membabitkan 100 orang penerima.
"Kami sasarkan buku ini mampu menjadi rujukan kepada orang ramai untuk mengenal pasti sama ada individu yang menerima darjah kebesaran dengan gelaran tertentu seperti Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri itu benar-benar sah atau sebaliknya," katanya.
Menurutnya penerbitan buku edisi kedua dan seterusnya bagi mengemas kini senarai nama-nama berkenaan akan dibuat dari semasa ke semasa selepas itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment