KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jentera UMNO di seluruh negara perlu bertindak segera dan bijak dalam memberi respons terhadap sesuatu isu atau kritikan dalam media sosial, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Ini berikutan maklumat dalam media sosial disalurkan begitu pantas menyebabkan masyarakat yang aktif menggunakan media sosial mengetahui sesuatu isu dengan serta merta, tanpa mengambil kira sama ada ia benar atau tidak, "kata beliau.
"Hari ini media sosial is live' (bersiaran secara langsung). Kita ada maksimum empat jam sahaja untuk memberi respons kepada sesuatu isu. Kalau tidak, isu itu akan dapat naratif yang lain atau diletakkan dalam sudut pandangan berbeza oleh musuh kita.
"Apabila kita nak kejar semula untuk perbetulkan persepsi tersebut, sudah terlambat kerana orang sudah baca dan pindah kepada isu yang baharu. Kita juga akan ketinggalan dan tewas dalam isu tersebut," katanya ketika berucap pada Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan 2017, di sini, hari ini.
Konvensyen anjuran Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO itu bertujuan memberi penerangan berhubung kepentingan, etika media sosial dan gerak kerja yang lebih berkesan kepada semua penggiat media sosial UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut menasihatkan jentera UMNO agar bertenang apabila berhadapan sesuatu isu berbangkit dan melawan semula kritikan itu dengan fakta yang sahih untuk mengekalkan kewibawaan parti.
"Sekiranya mahu melakukan 'serangan' kepada pihak lawan di media sosial, kita mesti berfikiran rasional dan bercakap berasaskan fakta kerana jawapan yang dikeluarkan itu akan digunakan semula kepada kita nanti," katanya.
Khairy turut mengingatkan jentera parti agar tidak menggunakan media sosial sebagai alat serangan peribadi kepada pihak lawan kerana dikhuatiri mengundang simpati orang ramai terhadap pihak tersebut.
Dalam menyampaikan mesej berkaitan parti dan kerajaan pula, beliau berkata anggota UMNO yang aktif di laman sosial perlu lebih informatif dan kreatif selain menerapkan unsur jenaka supaya lebih berkesan di hati masyarakat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment