Monday, November 13, 2017

AMALAN KBAT LEBIH BAIK TIGA TAHUN LAGI

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Penguasaan pelajar dan guru terhadap amalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) akan berada pada tahap lebih baik dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sebagai satu proses atau kaedah berfikir yang dimasukkan dalam pengajaran di sekolah, KBAT bukanlah satu program yang kejayaannya boleh berlaku dalam sekelip mata.

Melalui KBAT, katanya pelajar disasarkan mempunyai kebolehan berfikir dan menjawab dengan cepat serta mampu berkomunikasi terhadap perkara yang disoal.

"Contohnya, bila di letakkan gambar labu sayung, kita mahu pelajar segera memberi takrifan kepada labu sayung seperti berasal dari Perak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) di sini hari ini.

Majlis bacaan ikrar itu, yang juga diadakan serentak di sekolah seluruh negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

No comments:

Post a Comment