Saturday, November 11, 2017

IBU BAPA DISARAN MANFAATKAN SKIM ADAM50




KOTA BELUD, 11 Nov (Bernama) -- Ibu bapa disaran memanfaatkan sepenuhnya skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50), yang buat julung kali diperkenalkan kerajaan dalam Bajet 2018, bagi menjamin masa depan anak mereka sebagai generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata skim itu merupakan satu lagi pendekatan baharu kerajaan dalam mewujudkan dana simpanan masa depan khusus untuk anak Malaysia yang lahir pada 1 Jan 2018 hingga 2022, dan skim berkenaan akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

ADAM50 adalah Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200, insentif percuma diberikan kepada setiap anak Malaysia yang lahir pada 1 Jan 2018 hingga 2022 melalui unit amanah saham di PNB.

"Jika simpanan dana ini disimpan tanpa diusik, nilainya akan bertambah dan meningkat dari tahun ke tahun kerana ia bukan seperti simpanan biasa dalam akaun bank. Simpanan ini kelak akan membantu anak-anak sama ada untuk pengajian dan memulakan pekerjaan.

"Ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan anak-anak generasi TN50," katanya berucap merasmikan Majlis Mini Konvokesyen Kanak-kanak Taska/Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi parlimen Kota Belud di sini hari ini.

Seramai 748 kanak-kanak daripada 112 Tabika di Kota Belud menerima sijil pada majlis itu.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Musbah Jamli yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tempasuk dan Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas Sabah Muhammad Abu Bakar.

Salleh berkata skim ADAM50 itu juga membukti kerajaan sentiasa berusaha membantu semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia bagi memastikan kesejahteraan dan masa depan mereka terus terjamin.

Kerajaan telah menjalankan kajian dengan teliti selain turut mengambil pandangan rakyat sebelum membentangkan Bajet 2018 yang bersifat menyeluruh dan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik,? katanya.

-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment