Thursday, November 16, 2017

MUKHRIZ TAK YAKIN MENANG DI TEMPAT SENDIRI



ALOR STAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sedikit pun tidak berasa tercabar atau tergugat dengan ura-ura bahawa Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu mencabarnya di DUN Bakar Bata pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau berkata bekas menteri besar Kedah itu berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan tetapi persoalan adakah dirinya berasa tergugat dan hilang keyakinan di DUN Ayer Hitam sehingga mahu mencari tapak baru di kawasan lain.










“Dia nak bertanding manapun tidak ada masalah tapi sebagai pemimpin adakah dia tidak yakin akan menang di kawasan sendiri atau mungkin dia sedar selama ini dia memang abaikan DUN Ayer Hitam... ini memang kita tahu.

“Sekarang pun ada ura-ura mengatakan dia mahu bertanding di Parlimen Langkawi tetapi sebagai pemimpin, Mukhriz sepatutnya terus berada di kawasan sendiri... tidak perlu lari.

“Kalau nak kalah pun sepatutnya sanggup kalah dalam kawasan sendiri. Ini baru orang panggil pemimpin. Kalau lari nak selamatkan diri buat apa jadi pemimpin,” katanya yang dipetik portal Umno-Online.

Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar Kedah selepas Mukhriz meletak jawatan pada Februari 2016. Ketika itu, ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad lantang berkempen mahu menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.



Sementara itu, menteri besar berkenaan juga mengulas mengenai hasrat pembangkang yang mahu menjadikan Kedah sebagai sasaran utama menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Ahmad Bashah berkata ini tidak akan menjadi tugas yang mudah.

“Tapi untuk makluman, ia bukan mudah sebab kita buat kerja dan sentiasa berwaspada tambahan pula rakyat sudah merasa bagaimana hidup dalam pentadbiran pembangkang.

“Saya yakin, apa yang dibentangkan oleh pembangkang untuk mengambil sokongan rakyat tidak akan mampu membuat rakyat terpengaruh.

“Saya selalu pesan agar jangan sampai pisang berbuah dua kali sebab dah ada pengalaman. Sebagai pembangkang mereka memang janji bulan dan bintang,” sindirnya.

Justeru, beliau berharap agar rakyat khususnya di negeri Kedah menjadikan apa yang berlaku dahulu sebagai iktibar selain belajar dari pengalaman bagaimana susahnya ketika BN menjadi pembangkang di negeri Kedah.

“Saya tidak rasa rakyat sanggup merugikan masa depan Kedah dan generasi akan datang hanya kerana terpengaruh dengan janji manis pembangkang.




“Kita boleh lihat bagaimana kesungguhan Perdana Menteri sendiri mahu membantu negeri ini dalam Bajet 2018 yang dibentangkan baru-baru ini. Pelbagai peruntukan diberikan dan salah satunya ialah mewujudkan kawasan bebas cukai yang besar di Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Kedah jatuh ke tangan pembangkang yang diterajui oleh PAS pada pilihan raya umum 2008 tetapi BN berjaya merampas semula negeri itu pada pilihan raya 2013.

Kedah juga adalah negeri asal Mahathir, yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu dari tahun 1974 sehingga beliau melepaskan jawatan perdana menteri pada tahun 2003.



No comments:

Post a Comment