Thursday, November 23, 2017

ADUN DAP TIDAK BERI GAMBARAN YANG BAIK KEPADA GENERASI MUDA

IPOH, 23 Nov (Bernama) -- Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam ceramahnya di Kampung Simee, di sini minggu lepas memberi gambaran tidak baik kepada generasi muda, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Beliau berkata sebagai ahli politik 'senior', Nga sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan bukannya menjadikan sikap mengeluarkan kata-kata kesat sebagai budaya dalam politik.

"Bagaimana kalau generasi muda mahu menceburkan diri dalam politik dan melihat sikap sedemikian, mereka akan tawar hati," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khuzairi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Nga kerana membuat laporan palsu dengan menafikan tindakannya walaupun ia telah dirakam dengan jelas.

"Tindakan Nga yang mendakwa video itu telah disunting juga dilihat sebagai tidak relevan memandangkan video berdurasi 30 minit itu dengan jelas menunjukkan dia menghamburkan kata-kata kesat tersebut," katanya.

Selasa lalu (21 Nov), Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini meminta pihak berkuasa menyiasat kebenaran tuduhan beliau mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap Zambry.

Malah, ADUN Kepayang itu mendakwa rakaman video berkenaan telah disunting dan diubah suai bagi menimbulkan ketegangan kaum.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment