Saturday, November 25, 2017

PAKAT MUNGKIN BINA PADANG GOLF DI TANAH MERAH

DENGKIL : Pakatan Anak Tanah Merah (PAKAT) tidak menolak kemungkinan membina padang golf di Tanah Merah, Kelantan jika mendapat tanah dari kerajaan negeri.

Menurut Penaung PAKAT, Datuk Seri Supardi Mohd Noor kemungkinan itu ada jika ia mendapat kerjasama dari kerajaan negeri dan jika ada pelabur yang berminat membinanya.

"Ramai ahli PAKAT minat bermain golf tetapi kami bermain golf di luar Tanah Merah seperti di Kota Bharu," kata beliau kepada MH Online selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan golf anjuran Aktivis Tanah Merah di Bukit Unggul Golf Resort di sini.

Beliau yang juga bekas Exco Pemuda Umno Malaysia berkata PAKAT sebagai NGO mempunyai seramai 11,000 orang ahli anak Tanah Merah sama ada yang tinggal di Tanah Merah atau di luar Tanah Merah.

Katanya, selain dari bola sepak , golf adalah sukan yang paling popular di Tanah Merah terutamanya kepada golongan yang berumur.

"Oleh itu program kejohanan golf anjuran Aktivis Tanah Merah ini mendapat sambutan dari 40 orang anak Tanah Merah yang berada di Kuala Lumpur dan 40 orang anak Tanah Merah dari Tanah Merah, Kelantan, " katanya yang juga penaung Aktivis Tanah Merah.

Sementara itu Presiden Aktivis Tanah Merah, Datuk Ramli Mohd Zain berkata beliau terkejut dengan sambutan terhadap kejohanan golf yang julung julung kali diadakan oleh NGO tersebut.

Katanya. Aktivis Tanah Merah sudah 22 tahun diwujudkan maka dua program utama yang dijalankan oleh NGO itu ialah kebajikan dan sukan.

"Selain dari bolathon sukan yang popular ialah golf di mana ramai anak Tanah Merah yang berminat main golf sebagai sukan utama mereka," katanya lagi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang menjayakan kejohanan itu terutamanya kepada Datuk Seri Supardi sebagai penaung kejohanan.

No comments:

Post a Comment