SERDANG, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berazam mengubah minda masyarakat tentang bidang pertanian yang sering digambarkan sebagai 'milik orang miskin' dan tidak mampu menjana kekayaan.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sektor agromakanan perlu diberi stigma
baharu supaya masyarakat mula memandang bidang pertanian sebagai sektor yang mampu menjadi satu sumber ekonomi yang dapat menaikkan taraf hidup mereka.
"Kita sering disogokkan sama ada melalui drama atau filem yang mana kehidupan harian sebagai petani, pesawah dan penternak hanya diceburi oleh orang miskin di kampung dan tidak memberi pulangan lumayan.
"Dalam hal ini, kementerian berazam untuk mengubah stigma masyarakat supaya sektor agromakanan dilihat sebagai sumber kekayaan baharu sehinggakan orang berkata, anda tidak perlu menjadi doktor atau jurutera untuk mengumpul kekayaan sebaliknya anda perlu menjadikan usahawan tani sebagai pilihan kerjaya," katanya dalam ucapan perasmian Forum Pertanian Ikatan Profesor Indonesia dan Malaysia (IPIMA) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Dr Ismail Bakar.
Bertemakan "Transformasi Pertanian Ke Arah Kelestarian Kesejahteraan Serantau: Malaysia-Indonesia", forum empat hari anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu bermatlamat mencerna idea baharu dalam menangani cabaran sekuriti makanan kedua-dua negara.
Ahmad Shabery berkata agromakanan merupakan sektor penting dalam merealisasikan usaha kerajaan bagi memacu negara menjadi negara maju berpendapatan.
Beliau berkata selain menjamin sekuriti makanan, sektor itu juga menyediakan pelbagai ruang dan peluang yang boleh diterokai dalam mewujudkan sumber kekayaan baharu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada sosioekonomi pemainnya tetapi juga kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam merealisasikan industri agromakanan menjadi kerjaya pilihan yang berpendapatan tinggi, Ahmad Shabery berkata petani-petani skala kecil seperti petani tradisional dan petani sara diri yang mempunyai keluasan tanaman dan penggunaan teknologi berskala rendah akan dibantu dan dimodenkan.
"Proses transformasi dan pemodenan petani tradisional dan petani sara diri itu akan dibantu oleh jabatan serta agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment