Sunday, March 4, 2018

20 PERATUS PERMINTAAN ORANG ASLI BELUM SELESAI

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan telah memenuhi kira-kira 80 peratus keperluan dan permintaan yang disuarakan masyarakat Orang Asli di seluruh negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata baki kira-kira 20 peratus lagi masih dalam usaha untuk direaliasasikan iaitu merangkumi kemudahan infrastruktur, pendidikan dan peluang peningkatan taraf hidup.

"Kerajaan amat mengambil berat mengenai kebajikan, pembangunan sosioekonomi dan pembangunan minda masyarakat Orang Asli seluruh negara dan tidak sesekali akan meminggirkan golongan ini.

Segala kemudahan dan infrastruktur sedang giat dibangunkan di semua perkampungan Orang Asli dan dijangka menjelang 2023, semua (kemudahan dan keperluan) akan lengkap iaitu 100 peratus apa yang diperlukan mereka," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-21 Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di Dewan Komuniti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada POASAM dan meluluskan peruntukan RM100,000 kepada persatuan itu yang menjadi penghubung erat antara kerajaan dan masyarakat Orang Asli dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri turut membidas dakwaan terutamanya dari pihak pembangkang kononnya masyarakat Orang Asli di negara ini dibiar keciciran.

"Mereka (pembangkang) fokus pada yang 20 peratus itu memanglah. Bahagian (banyak) telah dipenuhi oleh kerajaan tidak pula cerita. Sedangkan kerajaan secara progresif telah dan sedang penuhi empat fokus utama pembangunan Orang Asli meliputi prasarana, pendidikan, ekonomi dan pemilikan tanah," jelasnya.

Menyentuh isu pemilikan tanah, Ismail Sabri berkata negeri yang dikuasai pembangkang adalah terkebelakang dalam menyelesaikan masalah ini dan menyebabkan sukar untuk kerajaan pusat berbincang berhubung masalah itu.

"Keseluruhan tanah Orang Asli adalah seluas 134,440.99 hektar. Daripada jumlah itu, seluas 32,779.37 hektar telah diwartakan. Sebanyak 19,870.08 hektar sudah lulus cuma belum diwartakan sementara jumlah tanah dalam permohonan untuk diwartakan ialah 74,838.86 hektar.

Tanah yang didiami tanpa permohonan rasmi pula seluas 5,142.73 hektar dan 1,809.95 hektar telah diberikan hak milik individu. JAKOA hanya berhak mengukur tanah dan serah kepada kerajaan negeri untuk diselesaikan," katanya yang meminta kerajaan negeri masing-masing mempercepatkan pewartaan berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment