Wednesday, March 7, 2018

PILIH CALON YANG TIDAK MENDATANGKAN MASALAH KEPADA PARTI

SEREMBAN, 7 Mac (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau amat bersetuju dengan langkah yang diambil pucuk pimpinan parti bagi memastikan calon BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merupakan calon yang bersih daripada isu-isu yang boleh mencemarkan nama calon dan parti.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata kriteria ini perlu diambil oleh setiap bahagian dan negeri untuk memastikan seseorang yang dicalonkan untuk disenarai pendek dan dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti, biarlah calon yang tidak mendatangkan masalah kepada parti.

"Seperti mana yang diberitahu bahawa mereka yang dicalonkan mewakili parti akan ditapis dan akan diselidik latar belakang mereka dengan begitu rapi sekali. Langkah ini bagi memastikan calon ini dapat memberi kelebihan kepada parti dan bukan merupakan calon yang mendatangkan masalah dan kita terpaksa pula menepis isu-isu yang bakal digunakan oleh pihak lawan.

"Jika kita membawa calon yang mempunyai masalah dan yang mempunyai latar belakang yang boleh dipergunakan oleh pihak lawan untuk menjatuhkan kita, itu satu langkah yang tidak baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment