Thursday, March 8, 2018

UMNO KELANTAN PERLU PERKASA SUMBANGAN KEPADA PEMBANGUNAN KELANTAN

KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- UMNO Kelantan perlu memperkasa sumbangannya kepada pembangunan negeri itu demi kesejahteraan rakyat, kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata UMNO Kelantan berkeupayaan untuk berbuat demikian kerana mempunyai hubungan yang kuat dengan kerajaan persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN).

"UMNO Kelantan di bawah pimpinan (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan) Datuk Seri Mustapa Mohamed berupaya untuk membangunkan rakyat Kelantan.

"Oleh itu kita patut berganding bahu mencari jalan dengan langkah-langkah yang berkesan untuk menghasilkan cita-cita ini supaya nasib rakyat terbela," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang dipengerusikan oleh Mustapa di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, berkata perpecahan yang berlaku dalam PAS sehingga mewujudkan parti serpihannya Parti Amanah Negara (Amanah) dikhuatiri boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS.

"Kalau PAS sebagai pentadbir menjadi lemah apakah nasib rakyat di Kelantan dan mereka yang sedang merantau di luar negeri ini," katanya.

Beliau menyatakan kesanggupannya untuk terus membantu UMNO Kelantan menghadapi pilihan raya umum ke-14 dan beberapa program untuk menemui rakyat akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment