Showing posts with label shabery cheek. Show all posts
Showing posts with label shabery cheek. Show all posts

Tuesday, April 3, 2018

HENTIKAN ECRL BUNUH HARAPAN RAKYAT PANTAI TIMUR

KEMAMAN, 3 April (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan cadangan Pakatan Harapan untuk menghentikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) umpama membunuh harapan penduduk pantai timur.

Anggota Parlimen Kemaman itu berkata ini kerana penduduk pantai timur telah sekian lama menantikan satu sistem pengangkutan keretapi yang efisien seperti di pantai barat bagi pembangunan dan peningkatan ekonomi setempat.

"Tun Mahathir kini sudah menjadi seperti pembangkang di mana semua projek mega yang mahu dibuat kerajaan (ketika beliau menjadi Perdana Menteri) dibantah termasuk projek Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur, pusat pentadbiran Putrayaja dan Lebuh Raya Utara Selatan."

"Beliau yang dulunya mempunyai pandangan yang jauh dalam memajukan jaringan sistem pengangkutan dan jalan raya seperti mengadakan projek PLUS, Jambatan Pulau Pinang dan sebagainya kini umpama mahu membunuh harapan penduduk pantai timur (jika projek ECRL dihentikan)."

"Sedangkan cadangan pembinaan ECRL ini merupakan satu "game changer" yang bakal merubah keseluruhan lanskap ekonomi Pantai Timur yang banyak ketinggalan berbanding Pantai Barat dan Lembah Klang," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Karnival Usahawanita 2018 Kemaman di Pantai Kuala Kertih, di sini hari ini.

Semalam Tun Mahathir yang kini Pengerusi Pakatan Harapan mendakwa, projek bernilai RM55 bilion itu merupakan satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata dakwaan projek ECRL akan menyebabkan pembaziran juga dipersoalkan memandangkan banyak projek mega yang dijalankan ketika zaman Tun Mahathir turut menelan kos berbilion ringgit

Saturday, March 10, 2018

FELDA PERTAMA TANAM DURIAN MUSANG KING DI TERENGGANU

KEMAMAN, 10 Mac (Bernama) -- Felda Neram 1 di sini terpilih sebagai Felda pertama di negara ini untuk pelaksanaan projek perintis penanaman durian 'Musang King' fasa pertama dengan sebanyak 600 pokok.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata durian Musang King adalah sumber kekayaan baharu untuk rakyat negara ini memandangkan permintaan luar biasa untuk dieksport kepada negara luar terutama China.

"Hasil perbezaan anggaran pendapatan per hektar yang dijalankan juga mendapati selain Musang King, nanas MD2 dan kelapa juga adalah tanaman yang menjadi sumber kekayaan baharu kepada pengusahanya.

"Projek rintis di Felda Neram 1 ini akan menjadi satu lagi sumber pendapatan peneroka selain kelapa sawit....selain itu projek ini juga akan dilaksanakan di lima lagi tanah rancangan iaitu Felda Neram 2, Felda Cherul 1 & 2, Felda Seberang Tayor, Felda Kerteh 5 dan Felda Kerteh 6 melibatkan keseluruhan kawasan seluas 20 hektar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Perintis Ladang Durian #sumberkekayaanbaharu di Felda Neram 1 di sini hari ini

Friday, February 2, 2018

JANGAN POLITIKKAN PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA

KEMAMAN, 2 Feb (Bernama) -- Persempadanan semula bukanlah perkara baharu dalam proses perjalanan pilihan raya di negara ini dan ia tidak perlu dipolitikkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengelirukan rakyat.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dakwaan pembangkang kononnya persempadanan semula hanya memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) juga tidak berasas sama sekali kerana ia dibuat berdasarkan beberapa faktor demi kebaikan pengundi di satu-satu kawasan tersebut.

"Sebagai contoh, pengundi di Kapar, Selangor...tanpa persempadanan semula, jumlah pengundinya boleh meningkat sehingga 160,000 orang bagi satu kawasan parlimen.

"Ia tidak munasabah kerana jumlah itu terlalu besar dan tidak praktikal untuk siapa pun (wakil rakyat) melaksanakan tanggungjawab mereka. Saya pergi ke Kapar baru-baru ini, saya pergi ke Pulau Ketam, di sana dikatakan sudah beberapa menteri pergi tapi Ahli Parlimennya tidak pernah sampai ke sana.

"Saya dimaklumkan oleh orang di sana, dikatakan Ahli Parlimen kawasannya (daripada pembangkang) tidak sempat sampai kerana kawasan itu terlalu besar...sebab itu persempadanan semula perlu dilakukan untuk melihat dari segi realiti semasa dan pengurusan kawasan yang berkenaan," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu kononnya persempadanan semula hanya memberi kelebihan kepada BN.

Muhyiddin mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya dibuat untuk memberi kelebihan kepada BN dengan menambah majoriti BN di kawasan yang dimenangi tipis pada PRU13.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata persempadanan semula adalah proses biasa yang berlaku sejak daripada dulu mengikut kesesuaian jumlah pengundi dan demografi kawasan setempat.

Terdahulu, beliau hadir program ramah mesra Pegawai Seranta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Pemaju Masyarakat RISDA, yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

-- BERNAMA

Tuesday, October 17, 2017

WALAUPUN SAYA AHLI MKT, SAYA TAK TAHU DICALONKAN ATAU TIDAK



KEMAMAN 15 Okt. – Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) yang kononnya bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti tular melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini dipercayai didalangi pihak pembangkang.



Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Sha­bery Cheek berkata, senarai yang turut mengandungi namanya itu merupakan propaganda musuh untuk memecahbelahkan parti.


“Ramai rakan bertanya sama ada saya akan bertanding atau tidak. Nama saya tenggelam timbul, malah ada yang kata saya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan sebagai­nya. Saya tak kisah semua itu kerana saya anggap ia satu propaganda pembangkang.

“Walaupun saya seorang Ahli MT, saya sendiri tidak tahu bila tarikh pilihan raya dan sama ada dicalonkan atau tidak. Yang saya tahu, hanya seorang sahaja yang tahu mengenai perkara ini iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika meras­mikan pelancaran jentera pilihan raya DUN Air Putih di Dewan Terbuka Kampung Pasir Gajah, dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.