Friday, February 2, 2018

JANGAN POLITIKKAN PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA

KEMAMAN, 2 Feb (Bernama) -- Persempadanan semula bukanlah perkara baharu dalam proses perjalanan pilihan raya di negara ini dan ia tidak perlu dipolitikkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengelirukan rakyat.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dakwaan pembangkang kononnya persempadanan semula hanya memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) juga tidak berasas sama sekali kerana ia dibuat berdasarkan beberapa faktor demi kebaikan pengundi di satu-satu kawasan tersebut.

"Sebagai contoh, pengundi di Kapar, Selangor...tanpa persempadanan semula, jumlah pengundinya boleh meningkat sehingga 160,000 orang bagi satu kawasan parlimen.

"Ia tidak munasabah kerana jumlah itu terlalu besar dan tidak praktikal untuk siapa pun (wakil rakyat) melaksanakan tanggungjawab mereka. Saya pergi ke Kapar baru-baru ini, saya pergi ke Pulau Ketam, di sana dikatakan sudah beberapa menteri pergi tapi Ahli Parlimennya tidak pernah sampai ke sana.

"Saya dimaklumkan oleh orang di sana, dikatakan Ahli Parlimen kawasannya (daripada pembangkang) tidak sempat sampai kerana kawasan itu terlalu besar...sebab itu persempadanan semula perlu dilakukan untuk melihat dari segi realiti semasa dan pengurusan kawasan yang berkenaan," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu kononnya persempadanan semula hanya memberi kelebihan kepada BN.

Muhyiddin mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya dibuat untuk memberi kelebihan kepada BN dengan menambah majoriti BN di kawasan yang dimenangi tipis pada PRU13.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata persempadanan semula adalah proses biasa yang berlaku sejak daripada dulu mengikut kesesuaian jumlah pengundi dan demografi kawasan setempat.

Terdahulu, beliau hadir program ramah mesra Pegawai Seranta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Pemaju Masyarakat RISDA, yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment