Sunday, February 11, 2018

PERAK TENGAH BERPOTENSI JADI HAB BAHARU PENGELUARAN DURIAN

PASIR SALAK, 11 Feb (Bernama) -- Kawasan Perak Tengah di negeri ini berpotensi diketengahkan sebagai hab baharu pengeluaran buah durian bagi menampung permintaan domestik dan eksport negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pengeluaran durian boleh menjadi satu industri baharu dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber kekayaan baharu negara.

Jelasnya Kampung Gajah, Parit, Bota dan sekitarnya di sini yang sememangnya terkenal dengan pengeluaran durian sejak dahulu harus dieksploitasi sebaiknya berikutan potensi pasaran yang luas selain harganya yang tinggi boleh merubah taraf hidup penanam durian.

"Oleh itu, kita akan membuat kajian terperinci dan bancian jumlah pokok durian sedia ada yang telah ditanam di sini.

"Kita juga akan mengadakan lebih banyak program ke arah itu dan menggalakkan mereka lebih minat menanam pokok durian kerana ia merupakan sumber kekayaan baharu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pemulihan Dusun Durian Daerah Perak Tengah di Kampung Pulau Tiga Kiri di sini hari ini.

Terdapat kira-kira 3,800 penanam durian dengan keluasan tanaman durian seluas 2,300 hektar di seluruh negeri ini dan bagi daerah Perak Tengah, ia diusahakan 427 orang.

Dalam pada itu, bagi merancakkan lagi industri durian di daerah ini, Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak berkata Program Pembangunan Kluster Durian ini diteruskan lagi pada tahun ini di mana kementeriannya memperuntukkan RM750,000 untuk negeri ini yang akan disalurkan kepada 202 orang penanam durian dengan keluasan tanaman 245 hektar.

Jelasnya kerajaan persekutuan telah menyalurkan bantuan kepada penanam durian menerusi program Pembangunan Kluster Durian dengan peruntukan RM506,066 bagi tahun 2016 dan 2017 yang menyaksikan 46 penanam durian di daerah Perak Tengah telah dibantu bagi meningkatkan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

"Kerajaan juga sedang berusaha membuka ruang pemasaran yang lebih besar dengan meneroka pasaran di negara China yang telah memberikan sambutan yang sangat baik setakat ini.

Pasaran yang lebih luas di China itu nanti akan dapat memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada penanam durian di Malaysia termasuk kepada penanam durian di Perak Tengah," katanya.

Tajuddin turut menjelaskan dari segi ekonomi, pengeluaran durian ini menguntungkan mereka yang mengusahakannya di sepanjang rantai nilai.

"Selain penanam, terdapat juga orang yang menyediakan baja untuk memperoleh hasil durian yang baik, pengangkutan untuk memasarkan durian ke pasaran luar serta kilang untuk menghasilkan pelbagai produk daripada durian," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment