FILEM Ola Bola hasil karya Chiu Keng Guan mendapat sambutan hangat penonton negara ini apabila mencatat pungutan pecah panggung RM16 juta selepas 39 hari ditayangkan pada tahun 2016.
Dua kali saya menonton filem tersebut kerana ia menonjolkan semangat Malaysia yang berbilang kaum. Air mata saya menitis apabila mendengar lagu "Inilah Barisan Kita "apabila para pemain bola sepak Malaysia itu sedang berlatih ala ketenteraan untuk melayakkan pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik.
Tak puas menonton filem tersebut, saya terpanggil untuk menonton teater Ola Bola The Musical yang diarah oleh Puan Seri Tiara Jacquelina di Istana Budaya tiga malam lepas.
Menjayakan babak perlawanan bola sepak untuk pementasan teater bukanlah sesuatu yang mudah, namun di OlaBola The Musical, penonton boleh menyaksikannya lengkap dengan ‘teknik video ulang tayang’.
Ini tidak ubah seperti menonton perlawanan bola sepak yang ditayangkan secara langsung di televisyen yang penonton dapat menyaksikan detik-detik gol dijaringkan dalam gerak perlahan. Bezanya semua itu berlaku di atas pentas teater yang sama.
Menurut pengarahnya, Tiara Jacquelina, itu antara tarikan yang tidak boleh dilepaskan penonton menerusi teater muzikal adaptasi yang dipentaskan bermula semalam sehingga 11 Mac ini.
Tiara berkata walaupun OlaBola The Musical itu bukan sentuhan pertamanya, misi menjadikan pentas Istana Budaya kepada ‘Stadium Merdeka’ merupakan cabaran terbesar lebih 200 kru produksinya sepanjang menjayakan pementasan tersebut.
“Saiz pentas Istana Budaya tidak sampai satu perempat pun berbanding saiz padang bola di stadium, pergerakan pelakon tidak boleh lari walau 1 milimeter .Sebarang kesilapan kecil boleh merubah segalanya,” katanya pada majis pratonton teater tersebut.
Tiara berkata, teknologi pementasan digital baharu yang digunakan seperti latar belakang visual skrin besar LED, penayangan 180 darjah, pemetaan lantai digital, visual animasi, pencahayaan canggih dan bunyi sekeliling 360 darjah turut menaikkan suasana pentas.
Tambahnya teknik-teknik pentas dan pergerakan kreatif digunakan dalam menaikkan mood penonton bagi menampilkan babak perlawanan bola sepak dari sudut berbeza.
OlaBola The Musical, mempunyai jalan cerita yang sama seperti filem, OlaBola yang pernah mencetuskan fenomena pada 2016, mengisahkan pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya dan perjalanannya untuk layak ke Sukan Olimpik 1980.
Biarpun diterajui nama-nama baharu di pentas teater seperti Luqman Hafidz, Brian Chan, Melissa Ong dan Jian Wen namun mereka berjaya memainkan watak masing-masing dengan cemerlang.
Kredit harus diberikan kepada pelakon ledil Putra yang membawa watak Rahman, seorang pengulas sukan yang bersemangat kerana sentiasa memberi kesan di hati penonton setiap kali kemunculannya.
Penampilan pelakon komedi berpengalaman Douglas Lim juga berjaya mencuit hati penonton dengan aksi bersahajanya sebagai Uncle Wong.
Seperti filemnya, OlaBola The Musical mengekalkan mesej yang sama iaitu perpaduan, semangat setia kawan dan kerja sepasukan menerusi sukan bola sepak.
Tak sangka Istana Budaya bertukar menjadi Stadium Merdeka dan paling mengharukan apabila para pemain bola sepak negara menaikki helikopter. Dengan bantuan komputer maka teater Ola Bola The Muzikal tidak menjemukan.
Syabas kepada semua pelakon asal filem Ola Bola yang berjaya menjadi pelakon teater. Berlakon di filem tidak sama berlakon di atas pentas. Nampaknya mereka berjaya membawa watak masing masing. Sudah tentu Iedil Putra yang membawa watak Rahman yang paling mecuri perhatian penonton. Tahniah kepada semua. Tidak rugi membeli tiket yang mahal untuk menonton teater Ola Bola The Musical.
No comments:
Post a Comment