Wednesday, February 21, 2018

FILEM BAHARU AHMAD IDHAM BAKAL MUNCUL MAC DEPAN

Semalam ketika berada di pejabat Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak saya tak perasan pengarah filem Ahmad Idham menunggu gilirannya untuk menemui Dr Salleh.

Saya terus memperkenalkan diri dari MH Online dan menegurnya dan kami berbual panjang. Beliau menceritakan filem terbarunya "Hantu Wangan" yang bakal ditayangkan pada bulan Mac.

Sekali lagi beliau  menyangkal dakwaan kononnya dia sekali lagi meniru tajuk filem apabila bakal menghasilkan filem "Hantu Wangan" yang sama dengan filem arahan Pekin Ibrahim "KL Wangan" yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Menurut Ahmad Idham, dia tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang salah, sebaliknya tajuk yang digunakannya itu boleh dipakai oleh mana-mana pihak selagi ia belum dipatenkan.

"Saya tidak meniru mana-mana pihak, tak salah pun saya pakai tajuk itu kerana ia bukan kepunyaan siapa-siapa selagi ia belum dipatenkan.

"Kalau nak kira begitu, tajuk 'Hantu' pun saya tak boleh sebab abang Mamat Khalid dah buat "Hantu Kak Limah"," ujarnya.

Tambah pengarah "Minah Moto" ini lagi, Pekin tidak perlu bimbang kerana kedua-dua filemnya dan pengarah muda itu berbeza genre yang mana "Hantu Wangan" adalah seram, manakala "KL Wangan" filem aksi.

Jelas Ahmad Idham, filemnya berkisarkan mengenai sekumpulan remaja yang menyesal dengan perbuatan mereka dengan lumba haram apabila terlibat dalam kemalangan.

Terdahulu, kedua-dua pengarah ini pernah mencetuskan kekecohan apabila kedua-dua pengarah ini menghasilkan filem dengan genre dan tajuk filem yang sama iaitu "Mat Moto" serta kedua-dua filem ini ditayangkan dalam tempoh beza sebulan sahaja.

Kedua-dua pengarah enggan menukar tajuk filem masing-masing, namun akhirnya Pekin ambil keputusan untuk menambah tajuk filemnya dari "Mat Moto" kepada "Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit".

Mengenai isu sambutan terhadap filem Melayu makin kurang, Ahmad Idham menegaskan pengarah filem kena tukar formula dengan melihat kehendak penonton dan bukannya membuat filem secara syok sendiri.

Katanya, penonton sudah bosan dengan filem filem komidi maka pengarah kena ubah membuat filem yang disukai penonton.

No comments:

Post a Comment