Saturday, February 10, 2018

JANGAN MUDAH MENGAUS

KINABATANGAN, 10 Feb (Bernama) -- Pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN) di sini diminta tidak mudah 'mengaus', perkataan dalam loghat Sabah bermaksud berkecil hati, dengan isu-isu dan masalah kecil, kata Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Kinabatangan itu berkata apa juga permasalahan atau isu-isu kecil yang timbul harus diselesaikan secara rundingan.

"Tidak perlu ada sikap mengaus atau kecil hati sebagai pemimpin dan penyokong BN kerana semua isu dan permasalahan kita selesaikan bukannya mengubah haluan."

"Kita mempunyai agenda besar dalam usaha kita memberi kemenangan besar kepada BN sama ada peringkat nasional dan negeri," katanya pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kuamut yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salled Sald Keruak di Tongod dekat sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno menegaskan perjuangan BN bukan untuk kepentingan peribadi tetapi perjuangan untuk parti dan rakyat.

"Parti BN adalah sebuah parti berjuang untuk membela rakyat dan kita dapat lihat sendiri kemajuan di kawasan Kinabatangan yang dahulunya jauh ketinggalan dari arus pembangunan tetapi kini telah berubah," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pemimpin yang sentiasa mengambil perhatian terhadap Parlimen Kinabatangan.

Katanya Najib banyak meluluskan peruntukan pembangunan seperti jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik serta kemudahan lain untuk kesejahteraan rakyat di daerah ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment