Tuesday, February 6, 2018

ROMBONGAN UMRAH KEDUA PENGGIAT SENI PADA APRIL

SEPANG, 6 Feb (Bernama) -- Satu lagi rombongan jemaah umrah di bawah Program Umrah Penggiat Seni akan dibawa untuk mengerjakan ibadah itu di tanah suci pada April nanti.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Perdana Ummah Datuk Rizal Mansor berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu program itu diteruskan bagi memberi peluang terutamanya kepada golongan penggiat seni yang kurang berkemampuan.

"Sekurang-kurangnya 15 orang hingga ke 30 orang penggiat seni akan dipilih bagi rombongan kali kedua selepas kami menerima reaksi positif daripada mereka yang terpilih bagi rombongan umrah yang pertama ini serta daripada pelbagai pihak lain yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyambut ketibaan 23 penggiat seni veteran yang baru menunaikan ibadah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Program anjuran bersama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih itu julung kali diadakan, hasil cetusan idea Perdana Menteri semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Penggiat Seni tahun lepas.

Sementara itu, pengarah drama pada era 90an, Abdul Hamid Abidin Abd Wahab berkata pengalaman mengerjakan ibadah itu sesuatu yang tidak tergambar dengan kata-kata dan bersyukur terpilih menyertai rombongan tersebut.

"Alhamdulillah, kami diberi layanan yang baik termasuk tiket penerbangan kelas perniagaan serta penginapan yang berhadapan dengan Masjidil Haram," katanya.

Penyanyi dangdut popular 80an Zaleha Hamid berkata doa utama yang sering diminta di sana adalah kesejahteraan dirinya dan para wartawan yang memberi bantuan dan liputan mengenai kerjaya seninya.

"Antara doa saya di hadapan Kaabah termasuklah untuk kesejahteraan semua wartawan yang banyak memberi sokongan kepada golongan seni baik ketika di waktu kemuncak ataupun sudah tidak popular," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment