Saturday, June 23, 2018

PENIPUAN DI UMNO KEMAMAN BERLAKU SEJAK BERTAHUN TAHUN LALU






KEMAMAN: Beberapa calon dan ahli UMNO Bahagian Kemaman mendakwa terdapat ketidaktelusan serta penipuan dalam proses pengundian bagi pemilihan Ketua Pemuda dan Wanita bahagian berkenaan hari ini.

Menurut mereka, ada dalam kalangan perwakilan yang bukan hanya membuat undian untuk diri sendiri malah menandakan lebih daripada satu kertas undian.

Calon Ketua Pemuda, Mohd Zammil Mohd Zuslaini, mendakwa beliau mempunyai bukti gambar dan video mengenai 'penipuan' itu.

"Selain ada individu menandakan banyak kertas undian, terdapat juga orang yang menyuruh dan mempengaruhi perwakilan mengundi calon tertentu ketika proses pengundian sedang berlangsung.

"Saya terima seandainya tewas dengan cara jujur tetapi perkara sebegini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sementara itu, calon Ketua UMNO bahagian sama, Mat Dalam Awang, mendakwa penipuan seperti itu berlaku sejak bertahun-tahun lalu.

"Tapi dulu, kita tak mahu UMNO berpecah-belah dan kerana itu mendiamkan penipuan yang berlaku tetapi sekarang, situasinya sudah berbeza dan sepatutnya perbuatan sebegini tidak lagi berlaku dalam keadaan UMNO dalam keadaan rapuh," katanya.

Menurutnya lagi, seandainya perkara seumpama itu tidak dibendung, tidak mustahil lebih ramai ahli di peringkat cawangan bertindak keluar parti.

"Saya juga berharap biarlah proses pengundian pemilihan Ketua UMNO bahagian minggu depan dikendalikan 100 peratus oleh badan perhubungan negeri dan wakil majlis tertinggi.

"Jika perkara sebegini berlaku dalam pemilihan pemuda dan wanita, tidak mustahil perkara serupa turut berlaku dalam pemilihan ketua UMNO Bahagian Kemaman," kata Ketua UMNO Cawangan Bukit Mentok itu.

Ditanya mengapa bantahan tidak dilakukan ketika proses pengundian sedang berlaku, beliau berkata ia bagi mengelak kekecohan di tempat berkenaan.

Dalam pertandingan semalam, semua calon Kemaman Berubah kalah  kepada kumpulan penyandang di mana bagi calon ketua pemuda, Hashim Ali menang dengan majoriti 122 undi. Hashim mendapat 160 undi manakala Mohd Zammil mendapat 48 undi.

Bagi jawatan ketua wanita, Hajah Rosmiza Mokhtar menang dengan majoriti 346 undi di mana Hajah  Rosmiza mendapat 376 undi manakala Norzamziah mendapat 30 undi.

Bagi jawatan ketua puteri, Hafizah Zakaria menang dengan majoriti 115 undi. Hafizah memungut 162 undi manakala Tuan Noraishah mendapat 47 undi.


No comments:

Post a Comment