KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) --Program realiti televisyen Cabaran Perniagaan Luar Bandar 'RBC' atau 'RBC Mencari CEO Desa' berjaya menggalakkan golongan belia khususnya di desa memilih bidang keusahawan sebagai kerjaya bagi meningkatkan pendapatan dan seterusnya membangunkan kawasan luar bandar.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program realiti yang pertama kali dilaksana oleh kementerian itu membolehkan juri dan mentor memberi ilmu pengetahuan dan 'tips' kepada peserta, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka.
"Secara tidak langsung, penonton berminat menceburi bidang perniagaan juga dapat menjadikannya sebagai panduan dan membuka minda mereka untuk terlibat dalam perniagaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peringkat akhir rancangan 'RBC Mencari CEO Desa' yang disiarkan secara langsung di TV3, di sini hari ini.
Beliau berkata peserta akan terus dibimbing selepas tamat program oleh kementerian dan agensi yang berkaitan dengan perniagaan mereka agar produk dihasilkan dapat menembusi pasaran global.
Program realiti RBC disiarkan sebanyak 13 episod sejak 28 Okt lalu dan peserta diberikan latihan serta tunjuk ajar berkaitan bidang keusahawanan oleh empat sifu usahawan selebriti.
No comments:
Post a Comment