Monday, January 15, 2018
PEMBANGKANG PERLUKAN MAHATHIR UNTUK DAPATKAN DANA PRU
KUALA LUMPUR 14 Jan. – Gabungan parti-parti pembangkang yang diketuai DAP sanggup mengetepikan ‘kerakusan’ 22 tahun pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad demi mendapatkan dana gerakan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
FAKHRUL AZMAN ABU BAKAR
Ini kerana kata bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mempunyai jaringan kuat untuk mendapatkan dana bagi menggerakkan jentera PRU-14 bagi Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
Malah ujarnya, pemberian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang banyak berbanding DAP, PKR dan PAN selain dicalonkan sebagai Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan adalah sebagai umpan untuk Dr. Mahathir mendapatkan dana bagi pilihan raya.
“Pakatan Harapan sebenarnya mengharapkan keupayaan Dr. Mahathir mendapatkan dana dan bukan disebabkan kepemimpinan serta kebijaksanaannya sebagai seorang cendekiawan.
“Dahulu mereka tentang kerakusan Dr. Mahathir, tetapi sekarang pujanya kerana faktor kewangan untuk menghadapi PRU-14,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Fakhrul Azman berkata demikian susulan tindakan yang dilakukan Pakatan Harapan seolah-olah melakukan pusingan U dalam hal ehwal calon Perdana Menteri termasuk polisi cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pelaksanaan tol.
Menurut beliau, selain pemilihan Perdana Menteri, gabungan pembangkang juga sering menggunakan gimik atau helah menjelang PRU seperti yang dilakukan Dr. Mahathir apabila beliau tiba-tiba mahu menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipenjarakannya dahulu.
“Dahulu mereka gunakan mahasiswa sebagai gimik, kononnya golongan yang lantang bersuara itu diambil tindakan dan kemudian menagih simpati rakyat kononnya kerajaan serta pihak berkuasa zalim. Kini, perkara itu beralih pula pada artis tanah air,” jelasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment