Showing posts with label nelayan. Show all posts
Showing posts with label nelayan. Show all posts

Sunday, January 21, 2018

ENAM NELAYAN DITAHAN DI INDONESIA DIJANGKA DIBEBASKAN PERTENGAHAN FEBRUARI DEPAN

PONTIAN, 21 Jan (Bernama) -- Enam nelayan tempatan yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu, dijangka dibebaskan selewat-lewatnya pertengahan Februari depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata proses membebaskan mereka mengambil masa sedikit kerana terpaksa melalui proses perundangan.

"Kedua-dua negara setuju untuk pembebasan tetapi dalam proses itu, terdapat prosedur yang tertentu.

"Pihak Indonesia telah memberi jaminan kesemua mereka akan dibebaskan dalam tempoh dinyatakan iaitu pada bulan ini atau pada pertengahan Februari," katanya selepas melawat keluarga seorang daripada nelayan yang ditahan di Kampung Pulai Sebatang di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata semua kos perbelanjaan termasuk untuk urusan dokumentasi ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Kerajaan, katanya, akan terus memantau rapi proses pembebasan tersebut bagi memastikan nelayan itu pulang ke pangkuan keluarga mereka dengan selamat.

Sementara itu, isteri seorang nelayan terlibat, Besah Abu Bakar, 57, berkata dia gembira mendengar khabar suaminya Mahabob Hasimat, 55, dapat dibebaskan tidak lama lagi.

Ini kerana, menurut Besah, suaminya yang kini ditahan di penjara Tanjung Pinang, Indonesia sepatutnya telah dibebaskan pada 11 Jan lalu.

"Harapan makcik biar suami dapat keluar secepat mungkin, anak-anak pun minta macam itu juga, harap dapat kumpul macam dulu. Kalau bebas, makcik ingat hendak buat kenduri sikit.

"Ada juga berhubung dengan pakcik (suami), dia beritahu tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan, layanan yang diterima baik," katanya.

Persetujuan untuk membebaskan kesemua nelayan itu, sebelum ini, dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-12 di Kuching, Sarawak pada November lepas.

Selain Mahabob, lima lagi nelayan ialah Low Siong Huat, 59, yang kini ditahan di penjara Tanjung Pinang; Chua Kee Chan, 63, (ditahan di penjara Labuhan Deli, Medan); Leong Bian Seng, 61, (ditahan di Batam); Abdul Rashid Nik, 53, (ditahan di Lanal Tarempa) dan Kamaruzaman Awi, 47, (ditahan di Lanal Tarempa).

-- BERNAMA

Thursday, January 11, 2018

INDONESIA AKAN BEBASKAN ENAM NELAYAN MALAYSIA

JAKARTA, 11 Jan (Bernama) -- Indonesia hari ini memberi jaminan untuk membebaskan enam nelayan Malaysia yang ditahan kerana menceroboh perairan negara itu.

Jaminan itu dinyatakan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti dalam pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Indonesia memberi jaminan akan membebaskan (nelayan terbabit) (namun) tak boleh dikeluarkan (dibebaskan) serentak, kerana ada beberapa urusan berkaitan pentadbiran, soal undang-undang, dan (proses) untuk membebaskan mereka dari pusat-pusat tahanan," kata Ahmad Shabery, di sini.

Beliau berkata proses untuk membebaskan nelayan terbabit bermula hari ini, dan mereka terbabit akan dibebaskan secara berperingkat dan dijangka selesai selewat-lewatnya Februari ini.

Malaysia juga komited untuk turut membebaskan nelayan Indonesia yang ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia, katanya

Monday, March 27, 2017

ISTERI RAHSIAKAN SUAMI DICULIK DARIPADA ANAK

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Isteri Tayudin Anjut, nelayan Malaysia yang diculik militan Abu Sayyaf, menceritakan bagaimana beliau sedaya upaya cuba menyembunyikan ke

Rustia Sultan, 47, berkata ini kerana beliau tidak mahu mengganggu emosi anak-anaknya terutama Nurerin Farisha, 13, yang menduduki hari pertama peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehari selepas kejadian culik itu berlaku.

Beliau juga cuba menyembunyikan apa yang berlaku daripada anak bongsunya Mohd Fahirin, 5, dengan menjawab ayah mereka keluar menangkap ikan dan masih belum pulang setiap kali ditanya.

"Selalunya, ayahnya akan balik selepas kira-kira seminggu keluar menangkap ikan, tetapi setelah beberapa lama dia masih belum pulang, anak-anak mula kerap bertanya di mana ayah, dan apa yang berlaku.

"Bagaimanapun, saya masih belum beritahu mereka apa yang berlaku, hanya cakap ayah mereka keluar tangkap ikan, nanti dia baliklah," katanya ketika menceritakan keperitan yang terpaksa dilalui setelah Tayudin dan empat rakannya yang merupakan kru kapal tunda Serudong Tiga diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah, pada 18 Julai tahun lalu.

Katanya khabar tentang penculikan berkenaan sampai juga kepada anak-anaknya kira-kira sebulan kemudian setelah guru di sekolah meminta semua pelajar membuat solat hajat memohon keselamatan kesemua mangsa culik berkenaan.

"Selepas solat hajat itu, Fahirin balik dan tanya saya betulkah ayahnya diculik sebab guru tadikanya bagitahu ayah Fahirin antara yang diculik. Selepas itu baharulah saya menceritakan apa yang berlaku," katanya.

Rustia berkata sepanjang tempoh tersebut, suaminya beberapa kali menghubungi beliau menerusi telefon.

Namun, setiap kali itu juga beliau amat gusar kerana setiap kali dihubungi suami melalui telefon, anggota kumpulan berkenaan akan turut mengugut untuk memenggal kepala suaminya dan tahanan lain.

"Alhamdulillah, saya syukur kerana usaha kerajaan yang membantu selamatkan dan bawa mereka balik," katanya kepada pemberita di kediaman perdana menteri di Jalan Duta, di sini.

Tayudin, 45, dan seorang lagi rakannya, Abdul Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang malam tadi.

Kedua-dua mangsa culik itu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, di Jalan Duta, di sini untuk sendiri menyatakan penghargaan terhadap usaha kerajaan membantu menyelamatkan mereka dan tiga lagi rakannya yang dibebaskan malam tadi.

Pada pertemuan itu, Tayudin dan Abdul Rahim menceritakan apa yang terpaksa ditempuhi sepanjang lapan bulan mereka ditahan kumpulan berkenaan, azab dilayan seperti hamba abdi dengan dipaksa memasak untuk anggota kumpulan berkenaan dan hanya diberi sisa-sisa makanan, selain sering kali diugut untuk dipancung kepala.

Abdul Rahim disambut oleh anak keduanya Rasniyati, 40, dan beberapa anggota keluarga lain.

Kedua-dua mangsa culik itu kini menghadapi pelbagai masalah kesihatan antaranya tidak dapat berjalan dengan baik kerana mereka sering dipaksa berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain pada waktu malam di dalam hutan serta mengalami masalah penglihatan berikutan mata mereka sering ditutup.

Kedua-dua mangsa juga mengalami masalah pundi kencing tidak berfungsi akibat terpaksa meminum air masin.

Kedua-dua nelayan itu akan dirawat pakar di Hospital Selayang sebelum dibenarkan pulang ke Sabah di bawah penyeliaan Kelab Putera 1Malaysia.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Wan Abd Bari Wan Abd Khalid, berkata pihak berkuasa Malaysia sedang dalam tindakan untuk membawa pulang tiga lagi rakan Tayudin dan Abdul Rahim yang diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina dalam operasi di kawasan umum Poblacion Punay, Panglima Estino, di Sulu.

Ketiga-tiga mangsa itu Jumadil Rahim, 24, Mohd Ridzuan Ismail, 33, dan Fandy Bakran, 27.

-- BERNAMA
jadian itu daripada pengetahuan kedua-dua anak mereka.