Showing posts with label pakatan harapan. Show all posts
Showing posts with label pakatan harapan. Show all posts

Tuesday, August 14, 2018

PEMBANTU MAT SABU CEMARI USIA 100 HARI KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pembantu politik seorang Menteri berhubung dakwaan menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan masalah hutang serta dikeluarkan daripada status muflis.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

“Ya, saya sahkan, beliau bukanlah pegawai kanan kepada Menteri sebaliknya merupakan pembantu politik kepada menteri berkenaan.

Ketika ini, SPRM sedang menyiasat kes berkenaan dan berilah ruang kepada kami untuk lengkapkan siasatan,” katanya ringkas.

Monday, January 29, 2018

AZMIN AKUI PAKATAN HARAPAN GAGAL MUKTAMADKAN PENGAGIHAN KERUSI DUN

SHAH ALAM, 29 Jan (Bernama) -- Pakatan Harapan Selangor dilihat masih gagal memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Perkara itu diakui Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan pihaknya masih mempunyai masa untuk berbuat demikian.

Beliau berkata meskipun masih belum memutuskan soal pengagihan kerusi DUN, Pakatan Harapan Selangor bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk sekiranya PRU14 diadakan pada April depan.

"Adalah selamat untuk saya menyatakan bahawa kami sudah bersedia untuk itu (PRU14), sama ada dari segi calon, pengagihan kerusi dan persediaan untuk pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor di sini hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Jamzuri Ardani baru-baru ini yang dilaporkan berkata bahawa beliau (Mohamed Azmin) cuba melengah-lengahkan masa pengagihan kerusi DUN bagi menghadapi PRU14.

Menerusi laporan portal berita, themalaysianinsight.com, Jamzuri mengakui bahawa pengagihan kerusi DUN bagi Pakatan Harapan itu masih gagal diputuskan sehingga kini walaupun tarikh akhir bagi memuktamadkan perkara itu ditetapkan Rabu ini.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU14, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata perkara itu masih belum diputuskan kerana tertakluk kepada perbincangan dengan parti.

-- BERNAMA

Sunday, May 21, 2017

MAHATHIR TAK SETUJU ANWAR JADI PM PAKATAN HARAPAN



SHAH ALAM, 21 Mei (Bernama) -- Agenda untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjadikan ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai calon perdana menteri disepakati perwakilan Kongres Nasional Tahunan parti itu di sini hari ini.

Walaupun pakatan pembangkang belum memuktamadkan calon perdana menteri mereka sekiranya berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak, PKR menyuarakan sokongan dan hasrat semasa perbahasan bahawa Anwar merupakan pemimpin paling layak memegang jawatan itu.

Simbolik kesepakatan itu dipamerkan sejak awal kongres tahunan itu bermula, apabila kira-kira 1,000 perwakilan bangun dan mengangkat plakad tertulis "Anwar PM ke-7" sejurus selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menamatkan ucapan dasarnya.

Beberapa pimpinan pembangkang sekutu PKR termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menghadiri majlis perasmian kongres ke-12 itu turut memegang plakad serupa.

Namun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad bersama presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir sebaliknya tidak mengangkat plakad berkenaan.

Tindakan Mahathir dan Muhyiddin itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sokongan mereka terhadap Anwar sebagai calon perdana menteri.

Mengulas perkara itu, Timbalan presiden PPBM Datuk Seri Muhkriz Mahathir ketika ditemui pemberita berkata: "Saya rasa mereka sibuk mengambil gambar dan disebabkan itu tidak memegang sepanduk."

Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam ucapan penggulungannya berkata DAP dan Amanah telah bersetuju agar Wan Azizah menjadi perdana menteri interim sekiranya pakatan itu menang PRU akan datang.

Katanya, usaha membebaskan Anwar akan dibuat selepas itu dan merancang untuk mengadakan pilihan raya kecil untuk ditandingi bekas ketua pembangkang itu.

Isu calon perdana menteri pembangkang sebelum ini menjadi persoalan banyak pihak berikutan kemasukan PPBM sebagai anggota gabungan dalam pakatan pembangkang.


Wednesday, May 17, 2017

MUHYIDDIN AKUI PAKATAN HARAPAN SUKAR MENANG JIKA PERTANDINGAN TIGA PENJURU

ALOR SETAR, 17 Mei (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu masih berhasrat untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) di Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ini kerana, beliau mendakwa parti itu mempunyai sokongan di negeri ini dan berharap ia dipersetujui rakan-rakan di dalam PH, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, keputusan itu akan ditentukan melalui rundingan dengan pihak pimpinan PH yang lain di peringkat tertinggi atau negeri.

Sementara itu Muhyiddin mengakui agak sukar bagi pakatan pembangkang untuk mencapai kemenangan jika melibatkan pertandingan tiga atau empat penjuru pada PRU14.

"Kita sudah tengok seluruh negara, kita ada data dan kajian telah kita buat yang mana bersetuju ada pertandingan dua penjuru atau satu lawan satu,itu lebih mudah. Tetapi apabila terjadi begitu, kata di Kedah atau mana pun..kita akan berhadapan persaingan," katanya.

-- BERNAMA




Saturday, March 18, 2017

PAKATAN HARAPAN DICABAR DAFTAR SECARA SAH

KEPALA BATAS, 18 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) dicabar agar mendaftar secara sah sebagai sebuah pertubuhan dan melantik pengerusi supaya rakyat dapat melihat dengan jelas hala tuju mereka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata rakyat mahu melihat sebuah pertubuhan yang mampu menawarkan sesuatu yang terbaik untuk mereka dan bukan sekadar menabur janji palsu.

"Kalau Barisan Nasional (BN), kita ada perdana menteri (sebagai pengerusi), BN adalah sebuah pertubuhan yang tulen dan tidak hipokrit," katanya selepas menyampaikan Sijil Kelayakan Subsidi dan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) kepada 28 penerima bagi Parlimen Kepala Batas di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar dan anggota Parlimen Kepala Batas berkata kerajaan BN juga tidak berpecah belah seperti PH dan sentiasa mempunyai kerjasama yang erat di antara parti-parti komponennya sejak sekian lama.

Sementara itu, mengenai RMR1M, beliau berkata bagi Pulau Pinang sebanyak 908 permohonan diterima sejak program itu diperkenalkan pada 2002 dan daripada jumlah itu 426 permohonan diluluskan dengan 293 unit rumah siap dibina.

-- BERNAMA