Sunday, May 21, 2017

MAHATHIR TAK SETUJU ANWAR JADI PM PAKATAN HARAPAN



SHAH ALAM, 21 Mei (Bernama) -- Agenda untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjadikan ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai calon perdana menteri disepakati perwakilan Kongres Nasional Tahunan parti itu di sini hari ini.

Walaupun pakatan pembangkang belum memuktamadkan calon perdana menteri mereka sekiranya berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak, PKR menyuarakan sokongan dan hasrat semasa perbahasan bahawa Anwar merupakan pemimpin paling layak memegang jawatan itu.

Simbolik kesepakatan itu dipamerkan sejak awal kongres tahunan itu bermula, apabila kira-kira 1,000 perwakilan bangun dan mengangkat plakad tertulis "Anwar PM ke-7" sejurus selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menamatkan ucapan dasarnya.

Beberapa pimpinan pembangkang sekutu PKR termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menghadiri majlis perasmian kongres ke-12 itu turut memegang plakad serupa.

Namun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad bersama presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir sebaliknya tidak mengangkat plakad berkenaan.

Tindakan Mahathir dan Muhyiddin itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sokongan mereka terhadap Anwar sebagai calon perdana menteri.

Mengulas perkara itu, Timbalan presiden PPBM Datuk Seri Muhkriz Mahathir ketika ditemui pemberita berkata: "Saya rasa mereka sibuk mengambil gambar dan disebabkan itu tidak memegang sepanduk."

Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam ucapan penggulungannya berkata DAP dan Amanah telah bersetuju agar Wan Azizah menjadi perdana menteri interim sekiranya pakatan itu menang PRU akan datang.

Katanya, usaha membebaskan Anwar akan dibuat selepas itu dan merancang untuk mengadakan pilihan raya kecil untuk ditandingi bekas ketua pembangkang itu.

Isu calon perdana menteri pembangkang sebelum ini menjadi persoalan banyak pihak berikutan kemasukan PPBM sebagai anggota gabungan dalam pakatan pembangkang.


No comments:

Post a Comment