Thursday, May 18, 2017

RISDA LANCAR TABUNG JEJAK GELANDANGAN

KUALA LUMPUR: RISDA melancarkan Tabung Jejak Gelandangan mulai semalam oleh Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Katanya, tabung ini dikawal selia oleh University College of Agroscience  Malaysia (UCAM), sebuah IPTS milik anak syarikat RISDA untuk memberi bantuan makanan kepada para gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

"Khidmat ini merupakan satu tindakan tanggungjawab sosial korporat RISDA yang kita laksanakan sebagai tanda prihatin kepada golongan yang memerlukan," katanya ketika berucap di majlis perasmian perhimpunan bulanan RISDA yang keempat di ibupejabat RISDA di sini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada UCAM kerana berjaya mencipta dimensi baru dalam memperkenalkan RISDA di mata masyarakat.

"Saya berharap ianya menjadi contoh kepada semua SMR untuk turut sama menyertai khidmat sosial ini atau mencipta aktiviti yang berbentuk kemasyarakatan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat yang perlu dilaksanakan," katanya lagi.

Pada 10 Ogos nanti, Zahidi akan merasmikan program khidmat masyarakat ini di Anjung Singgah, Kuala Lumpur diiringi oleh Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad dan Naib Canselor UCAM, Prof Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.

Selepas perasmian, akviti mendekati gelandangan dijalankan seterusnya mengagihkan pek makanan dan keperluan asas diri kepada gelandangan yang tinggal di Anjung Singgah dan sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Ia juga akan menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada penghuni Anjung Singgah dan bercadang mengadakan kerjasama dengan Anjung Singgah dengan menawarkan khidmat nasihat pakar, kaunseling dan latihan kemahiran kepada penghuni Anjung Singgah secara berkala.

Zahidi juga menyampaikan cek gergasi kepada Tabung Jejak Gelandangan sebanyak RM10,000. Sejak dua bulan lalu kutipan dana ini telah pun dijalankan di setiap fakulti, jabatan dan bahagian dalaman UCAM di Melaka. Kumpulan band UCAM juga mengadakan persembahan busking di tiga cawangan Mydin di Melaka setiap hujung minggu untuk mengutip dana bagi Tabung Gelandangan ini.

No comments:

Post a Comment