PASIR PUTEH, 21 Mei (Bernama) -- Lebih 48,000 pekebun kecil getah yang mengusahakan kira-kira 86,000 hektar kebun di Kelantan layak menerima insentif sempena musim tengkujuh tahun ini.
Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan Rosly Yaacob berkata pekebun kecil ini akan menerima bayaran sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan berturut-turut.
"Pekebun kecil akan menerima sebanyak RM600 sepanjang tiga bulan tersebut dan insentif berkenaan akan diberikan secara berperingkat-peringkat bermula November ini sehingga Januari tahun depan.
Mereka boleh mendaftar di pejabat-pejabat RISDA di kawasan masing-masing mulai sekarang," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Kelantan di Kampung Banggol Telipot di sini, hari ini.
Majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Datuk Zawawi Othman.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM49 juta untuk melaksanakan pelbagai projek terutama tanaman semula getah, pengwujudan usahawan dan aktiviti hiliran dalam usaha kerajaan agar pekebun kecil mampu mencapai pendapatan sehingga RM4,000 sebulan menjelang 2020.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment