KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pakatan pembangkang sukar untuk menewaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 kelak.
Bekas perdana menteri yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 berkata tanpa sebuah parti pembangkang yang kuat, termasuk kesepakatan pembangkang yang menyeluruh pada masa ini , usaha menandingi UMNO dan BN yang terdiri daripada 13 parti komponen mewakili pelbagai kaum di seluruh negara adalah sukar.
"Kalau nak menang kita mesti ada pakatan kita juga. Sebab itu kita buat Pakatan Harapan," katanya dalam sesi siaran langsung melalui akaun Facebooknya hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan pengguna Facebook berkaitan keputusan PPBM memilih mengadakan hubungan dengan DAP dan PKR -- dua buah parti politik yang menjadi seteru hebat beliau ketika menerajui UMNO dan BN.
Disoal mengapa PPBM tidak bekerjasama dengan PAS, Dr Mahathir berkata PPBM dan rakan-rakan politik termasuk PKR dan DAP telah berkali-kali memujuk PAS untuk menjalin kerjasama, namun PAS enggan dan berterusan menolak tawaran mereka.
Beliau mendakwa PAS sejak akhir-akhir ini dilihat lebih mengutamakan hubungan bersama UMNO, sehinggakan sanggup menolak dan menamatkan hubungan bersama rakan-rakan pembangkang lain, hingga merencatkan usaha PPBM untuk mewujudkan pakatan pembangkang tunggal di negara ini.
"Sehingga kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana mahu mendapat persetujuan PAS, tetapi PAS lebih utamakan hubungan dengan UMNO," katanya.
Dr Mahathir juga meragui bagaimana PAS boleh bekerjasama dengan UMNO sedangkan sejarah politik negara menyaksikan PAS pernah melabel UMNO sebagai parti kafir apabila menjalin kerjasama dengan parti-parti politik bukan Melayu dan Islam seperti MCA dan Gerakan.
Sesi temu bual itu berlangsung selama 30 minit.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment