Saturday, May 20, 2017

RISDA KELANTAN DAPAT RM3 JUTA UNTUK PROGRAM USAHAWAN


KOTA BHARU, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi melaksanakan Program Pembangunan Usahawan di Kelantan tahun ini.

Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Getah Malaysia Datuk Zamri Yaakob berkata peruntukan tersebut merangkumi bantuan bagi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) sebanyak RM2.3 juta untuk melahirkan usahawan dalam pelbagai bidang keusahawanan seperti perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian.


"Sebanyak RM724,390 pula diperuntukkan bagi program pembangunan usahawan seperti program pesijilan halal, program pelabelan, program tokoh usahawan, karnival usahawan, program promosi produk usahawan, vendor burger bakar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan AET di Kelantan sejak 2007 telah melahirkan seramai 1,824 usahawan dalam pelbagai bidang iaitu 72 Usahawan Kadet, 1,741 Usahawan Mikro dan 11 Usahawan Kecil.

"Di seluruh negara kita sudah melahirkan lebih 12,000 usahawan dan kita berharap menjelang 2020 usahawan ini mampu meraih pendapatan sebanyak RM4,000 setiap seorang bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka," katanya.

Beliau berkata Risda bukan sahaja terkenal dengan penanaman getah tetapi kini telah bergerak maju dengan pelbagai transformasi melalui program keusahawanan, perumahan dan pendidikan yang bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pekebun kecil.

"Usaha melahirkan usahawan bumiputera merupakan peranan yang penting dan perlu diberikan perhatian khususnya untuk memperbanyakkan produk halal dan memperolehi sijil halal dengan usaha yang bersungguh-sungguh," katanya.

Mengenai program MyBidan, beliau berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai wanita muda menjadi bidan profesional iaitu menyediakan khidmat mengurut dan menjaga kesihatan ibu bersalin.

"Golongan wanita muda perlu merebut peluang ini kerana majoriti kemahiran mengurut dimiliki golongan warga emas," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment