KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Sebuah syarikat swasta tempatan menawarkan lima pakej percutian ke beberapa destinasi di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Australia kepada peserta yang mengikuti program pengembaraan anjurannya, hanya bermodalkan RM200.
Program yang dinamakan JomTravel200 anjuran DUSN Lifestyle Sdn Bhd itu, menawarkan pakej percutian ke Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi di Malaysia; Haatyai, Songkhla dan Krabi di Thailand; Medan dan Danau Toba di Indonesia serta Gold Coast dan Sydney di Australia.
Naib Presiden DUSN Lifestyle Shazlan Abdullah berkata pakej yang ditawarkan syarikatnya menggunakan konsep rangkaian 'member get member' untuk memberi peluang kepada orang ramai bercuti ke beberapa destinasi pelancongan menarik dengan harga serendah RM200.
Beliau berkata kaedah itu melayakkan peserta untuk bercuti ke destinasi yang ditetapkan setelah mereka memenuhi syarat mendapatkan peserta baharu, misalnya bagi melayakkan seseorang itu bercuti ke Pulau Pangkor, peserta terkumpul termasuk dirinya sendiri mesti mencapai tujuh orang.
Pengiraannya ialah seorang peserta perlu mendapatkan tiga peserta baharu dan tiga peserta baharu itu pula mendapatkan sekurang-kurangnya seorang peserta baharu tiap seorang, menjadikan jumlah peserta terkumpul kepada tujuh orang dan peserta asal sudah layak untuk bercuti ke Pulau Pangkor.
Shazlan menjelaskan bahawa peserta itu juga akan layak untuk pakej percutian ke Thailand apabila jumlah peserta terkumpul termasuk dirinya sendiri mencapai 13 orang, pakej Langkawi (peserta terkumpul 28 orang), pakej Indonesia (82 orang) dan pakej Australia (244 orang)
Peserta pakej percutian itu berpeluang melancong ke semua destinasi pelancongan yang ditawarkan itu kerana mereka mendapat insentif bonus pendapatan selain wang saku dan insurans kemalangan diri melalui penambahan peserta baharu yang menyertai JomTravel200 .
DUSN Lifestyle, katanya ialah sebuah syarikat penyedia platform pengiklanan dalam talian selain menjalankan rangkaian perniagaan berteraskan hartanah, pendidikan, pembinaan, pemasaran produk dalam talian berkonsepkan pusat beli-belah dan peluang bisnes global.
Program JomTravel200 diuruskan sepenuhnya oleh De Nur Fatihah Marketing, didaftarkan sebagai panel pemasaran untuk DUSN Lifestyle Sdn Bhd, yang menguruskan segala aktiviti berkaitan termasuk menyediakan perkhidmatan menghantar peserta melancong, katanya.
"Program ini bukan sistem jual barangan atau sesuatu kuota dikenakan kepada anggota, kami cuma mengajak orang ramai pergi melancong dengan selesa," katanya.
JomTravel200 juga ditawarkan untuk penyertaan luar negara namun destinasi percutian dan syarat kelayakan adalah berbeza dengan tawaran kepada peserta tempatan.
Shazlan berkata diperkenalkan tujuh bulan lalu, program berkenaan mencecah penyertaan lebih 20,000 orang dari dalam dan luar negara antaranya dari Indonesia, Thailand, Filipina dan India.
Selain pakej percutian RM200, syarikat itu juga menawarkan dua lagi pakej percutian iaitu pakej RM2,000 dan RM1,000.
Orang ramai yang berminat menyertai pakej percutian JomTravel200 boleh menghubungi JT Darling di talian 0194061118
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment