Showing posts with label bn. Show all posts
Showing posts with label bn. Show all posts

Monday, March 4, 2019

BN TANPA MCA DAN MIC LEBIH KUAT?

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- MCA dan MIC bercadang meneroka perikatan baharu selepas percaya kerjasama dengan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) tidak lagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kalangan parti.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran berkata asas BN dicabar dan diancam kerana sifat saling menghormati sudah tiada selain pecahnya perpaduan dalam kalangan parti komponen.

“Sehubungan itu, MCA dan MIC tidak mempunyai pilihan melainkan meneroka perikatan baharu bagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kepelbagaian menurut hasrat asalnya. MIC dan MCA selaku wakil komuniti masing-masing mengakui metamorfosis BN kepada bentuk sekarang telah ditolak oleh komuniti mereka.

“Sehubungan itu, mereka menggesa pembubaran dan penstrukturan semula untuk kembali kepada semangat dan hasrat asal,” demikian menurut kenyataan itu.

Mereka juga berkata kenyataan bersifat perkauman oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa ceramah politik di Semenyih memburukkan lagi hubungan di antara tiga parti pengasas tersebut.

“Kenyataan bersifat rasis berulang kali oleh Mohamed Nazri dilihat mewakili UMNO dan sikap berdiam diri parti itu meretakkan asas saling menghormati yang dipertahankan oleh BN selama ini,” kata mereka, menambah pelantikan Mohamed Nazri sebagai setiausaha agung itu sendiri tidak sah dan tidak diiktiraf oleh MCA dan MIC.

Sehubungan itu, MCA dan MIC menggesa Dewan Tertinggi BN segera mengadakan mesyuarat bagi memutuskan nasib gabungan tersebut memandangan MCA pada mesyuarat agungnya 2 Dis lalu membuat resolusi pembubaran BN bagi membentuk perikatan baharu, demikian menurut kenyataan tersebut.

Baru-baru ini Mohamed Nazri dikecam susulan kenyataannya berhubung pelantikan bukan Melayu ke jawatan ketua hakim negara, peguam negara dan menteri kewangan.

Beliau juga membuat kenyataan kematian anggota bomba Mohammed Adib Mohd Kassim tidak diperjuangkan kerana peguam negara bukan Melayu.

Pada 25 Feb lalu, polis dilaporkan berkata mereka menyiasat Mohamed Nazri menurut Akta Hasutan.

-- BERNAMA

Sunday, December 2, 2018

LEBIH BAIK BUBAR MCA

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) – Perhimpunan Agung MCA ke-65 sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran Barisan Nasional (BN) dan membentuk perikatan baharu.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata BN telah mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara dan setiap parti komponen memerlukan penghayatan dan penilaian semula bagi mentransformasikan parti masing-masing.

"Justeru demi kebangkitan semula, BN perlu dibubarkan dalam suasana persefahaman dan persetujuan bersama supaya dapat memberi ruang yang bebas dalam usaha transformasi dan pembinaan semula,"katanya.

Ulasan saya, daripada bubar BN lebih baik bubarkan MCA kerana masyarakat Cina sudah menolak MCA sebagai parti yang mewakili kaum mereka.

Sunday, November 11, 2018

MOHON JADI AHLI TERUS BN JIKA UMNO TERBUBAR

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Anggota UMNO di seluruh negara diminta menjadi anggota terus Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO terbubar, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata langkah menjadi anggota terus BN itu hanyalah bersifat sementara bagi menunggu kepimpinan UMNO memulihkan kembali parti tersebut.

“Kalau terbubar UMNO ada empat cara untuk kembalikan keadaan seperti biasa, jika perlu kita jadikan BN rumah tumpang sekejap. BN (boleh) ambil ahli terus jadi (anggota UMNO) masuk (BN) terus sementara pulihkan UMNO,” katanya di sini hari ini.

Sunday, July 8, 2018

BN TAK PERLU MASUK PRK SUNGAI KANDIS



KUALA TERENGGANU, 8 Julai (Bernama) -- PAS hanya akan meletakkan calon dari parti itu sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei (PKR) pada 2 Julai lepas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pencapaian PAS di DUN Sungai Kandis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) hanya sederhana sahaja dengan mendapat 7,573 undi.

"Jadi apa yang kita harapkan, kalaulah parti pembangkang yang lain umpamanya Barisan Nasional tidak berhasrat hendak bertanding dan menjadikan pertandingan itu satu lawan satu, kemungkinan besar PAS akan meletakkan calon.

"Tapi keputusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat tadi, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, kemungkinan (meletakkan calon) akan dipertimbangkan. Kita kaji balik lah kerana kita tak mahu perpecahan banyak undi dan akan mengulangi semula keputusan pada PRU 14 yang lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri PAS Pusat dan PAS Terengganu di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pimpinan tertinggi parti itu.

Ulasan saya, dalam suasana Umno mahu pulihkan semula imejnya berikutan kekalahan dalam PRU bulan Mei lalu, maka BN tak perlu bertanding dalam PRK Sungai Kandis. 

Amat sukar untuk BN menang kerana arwah Mat Shuhaimi menang dengan majoriti 12,000 lebih. Maka lebih baik BN beri laluan kepada PAS untuk bertanding dalam PRK tersebut kerana jika BN masuk tapi kalah lagi maka imej Presiden baharu Umno akan terjejas.

Berundur setapak ke belakang bukan bermakna BN sudah hancur. Biar imej Umno pulih terlebih dahulu baru masuk PRK.

Wednesday, April 18, 2018

UNDI LUAR BANDAR TETAP JADI DEPOSIT TETAP BN

JITRA, 18 April (Bernama) -- Undi masyarakat luar bandar diyakini tetap akan terus menjadi deposit tetap buat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana rata-rata golongan berkenaan menghargai segala kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), antaranya melalui pelaksanaan transformasi 'Membandarkan Luar Bandar'.

"Walaupun banyak fitnah dilemparkan kepada kerajaan, masyarakat luar bandar tidak akan mempercayainya kerana golongan ini merupakan penyokong kuat BN, undi luar bandar merupakan antara faktor kita (BN) mampu menawan Putrajaya.

PKR gagal bantu DAP perintah negara pada PRU13 sebab orang kampung masih bersama BN dan sebab itu pembangkang gunakan bekas presiden UMNO untuk tarik pengundi luar bandar," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Desa Digital peringkat kebangsaan di Kampung Bemban di sini hari ini.

Ismail Sabri dalam sidang media selepas itu turut menzahirkan rasa kesal atas sikap sesetengah kepimpinan negeri pembangkang yang seolah bersifat lepas tangan dalam soal membela nasib rakyat di luar bandar.

Sunday, April 15, 2018

NILAI BN BERDASARKAN PRESTASI PARTI

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kini sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia merenung kembali apa yang kerajaan telah capai dalam tempoh lima tahun lalu ketika tinggal hanya tiga minggu sebelum pilihan raya umum ke-14 berlangsung.

Selepas berkempen selama lima tahun, Salleh menyeru rakyat untuk menilai Barisan Nasional (BN) berdasarkan prestasi parti dan bukan pada retorik kosong.

Beliau berkata selepas memenangi pilihan raya umum ke-13, BN lebih tertumpu kepada mentadbir negara daripada menyerang pihak lawan seperti apa yang pembangkang lakukan.

"Kita tidak boleh 'main politik' setiap hari dalam kehidupan kita. Masanya akan tiba apabila kita perlu melakukan beberapa kerja," kata Salleh menerusi catatan dalam blog beliau, malam ini.

Beliau berkata BN adalah sebuah kerajaan yang mesra rakyat dan mengakui bahawa rakyat adalah bos yang akan mengadili mereka melalui peti undi.

"Kerana itulah kebajikan rakyat sentiasa di hati kita,: kata Salleh dan menambah membuat janji palsu dan janji yang tidak boleh ditunaikan memang mudah tetapi menunaikan janji itu tidak begitu mudah.

Beliau berkata BN menunaikan apa yang dijanjikannya dan ini terbukti berdasarkan rekod prestasi kami.

Friday, February 16, 2018

PERMUAFAKATAN TERPIMPIN JADIKAN BN TERUS RELEVAN

KOTA BELUD, 16 Feb (Bernama) -- Permuafakatan terpimpin yang menjadi teras kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara sejak merdeka menjadikan BN terus kukuh dan
relevan hingga ke hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya walaupun ada beberapa negara di dunia seperti Belanda dan Ireland Utara (antara Protestan dan Katolik), Belgium (antara orang Walloon berbahasa Perancis dengan Flemish berbahasa Belanda), Lubnan (antara puak Syiah, Sunni dan Kristian Maronit), Bosnia Herzegovina (antara orang Islam, Croat dan Serb), dan Macedonia (antara keturunan Slav dan Albania) turut mengamalkan politik permuafakatan namun mereka tidak mampu menandingi permuafakatan politik jitu diamalkan BN.

"Namun, tiada satu pun negara tersebut yang dapat menandingi rekod kejayaan politik permuafakatan BN, sedangkan struktur sosial masyarakat Malaysia jauh lebih rencam berbanding negara-negara di atas.

"Apakah formula kejayaan Malaysia? Pertama, BN bukanlah hanya sekadar gabungan parti politik yang mewakili pelbagai etnik, tetapi juga sebuah muafakat politik bersifat holistik dan integratif, yakni merentas ras dan tidak terbatas di Semenanjung sahaja, tetapi di seluruh wilayah Malaysia," katanya.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN Kota Belud di Dewan Terbuka Datuk Haji Jamli di sini, hari ini. Semua ketua parti komponen BN Kota Belud menghadiri majlis berkenaan.

Menurut Salleh permuafakatan politik yang diamalkan BN juga menggalakkan penyertaan aktif akar umbi, tidak hanya terbatas kepada kerjasama elit sahaja.

Beliau berkata kekukuhan permuafakatan BN adalah terletak pada parti terajunya iaitu UMNO yang telah berjaya membina kerjasama kukuh dengan semua parti komponennya.

"Kejayaan BN yang diterajui UMNO ini menyebabkan parti pembangkang cuba memplagiat formula ini, namun ternyata kesemuanya tidak mampu bertahan sepertimana berkuburnya Angkatan Perpaduan Ummah (APU) Gagasan Rakyat, dan Pakatan Rakyat (PR).

"Mengapa? Pertama, pakatan pembangkang hanya tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain kerana mereka mempunyai ideologi politik yang terlalu berbeza. Kedua, pakatan pembangkang bergantung kepada personaliti seorang pemimpin sahaja. Misalnya, APU bergantung kepada Tengku Razaleigh Hamzah, PR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kini Pakatan Harapan (PH) bergantung pula kepada Tun (Dr) Mahathir (Mohamad). Ketiga, pakatan pembangkang tidak mempunyai sebuah parti dominan yang memimpinnya sepertimana UMNO memimpin BN," tegasnya.

Justeru, Salleh berkata hanya BN satu-satunya pakatan politik yang jitu permuafakatannya.

Katanya permuafakatan BN di era pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah yang paling baik ekoran kehebatan beliau sebagai seorang pemimpin transformatif multikulturalis.

"Pendekatan kepimpinan Najib berkenaan telah membolehkan UMNO dan BN mendapat sokongan setiap lapisan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, pengundi tua dan muda, pengundi bandar dan luar bandar, penjawat awam dan pekerja swasta, rakyat Sabah dan Sarawak.

"Permuafakatan holistik dan integratif, serta permuafakatan terpimpin bakal membawa BN menang selesa dalam PRU14," tegas Salleh.

-- BERNAMA

Tuesday, January 23, 2018

128 KERUSI PARLIMEN LUAR BANDAR TETAP SOKONG BN

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Usaha kerajaan yang sentiasa membantu masyarakat luar bandar dijangka boleh memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Anggota Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin percaya sokongan masyarakat luar bandar akan membolehkan UMNO dan BN terus kekal sebagai kerajaan yang memerintah negara ini.

Zahidi yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), berkata kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar terutama petani dan pekebun kecil dengan menyalurkan pelbagai kemudahan dan bantuan.

Daripada 222 kerusi Parlimen, 128 merupakan kerusi parlimen di luar bandar dan menurut pemerhatiannya masyarakat luar bandar pada kebiasaannya hanya menyokong sama ada UMNO atau PAS.

"Kita lihat BN akan terus memerintah sebab kalau PAS menang pun, mereka tidak akan menyokong Pakatan Harapan," katanya selepas menyampaikan taklimat mengenai ekonomi pertanian luar bandar kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zahidi berkata Risda telah mencadangkan kepada kerajaan supaya sistem kad kepada penduduk luar bandar diperkenalkan bagi membolehkan mereka membeli barang-barang keperluan pada harga lebih murah berbanding di pasaran.

"Kita tengah minta kepada kerajaan supaya beras, gula dan minyak masak harganya murah sikit kepada penduduk kawasan luar bandar," katanya.

Katanya sistem itu juga mampu mengurangkan beban sara hidup masyarakat luar bandar serta menghargai mereka kerana selama ini memberi sokongan yang kuat kepada kerajaan BN.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain dan Pengarang 1 Haji Khairdzir Md Yunus.

-- BERNAMA

Sunday, December 17, 2017

BN PERLUKAN 300,000 UNDI LAGI UNTUK TAWAN KELANTAN

KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya 300,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk kembali memerintah negeri ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata sebanyak satu juta pengundi layak mengundi pada PRU14 dengan 200,000 daripadanya merupakan anggota BN.

"Kalau nak menang sekurang-kurangnya kami perlukan 300,000 undi lagi...itu sebabnya kami (jentera BN) perlu dekati pengundi atas pagar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah orang PAS sendiri.

"Jentera BN perlu dekati kelompok ini kerana mereka mula menujukkan sikap yang lebih positif kepada BN dan saya dapat rasakan angin perubahan mula bertiup kencang di Kelantan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dan sesi soal jawab serta penerangan bersama kira-kira 1,000 penduduk Parlimen Kota Bharu yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Kota Bharu Tan Sri Muhammad Fatmi Che Salleh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata manifesto BN Kelantan untuk PRU14 kini hampir siap dirangka dan akan dibentangkan ke peringkat BN pusat dalam masa terdekat.

Beliau berkata manifesto berkenaan kini sedang dirangka Ketua UMNO bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Katanya antara perkara yang menjadi tumpuan dalam manisfesto berkenaan membabitkan peluang pekerjaan dan kemudahan riadah kepada anak muda, pelancongan dan pelaburan serta perumahan mampu milik.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira satu jam untuk berkunjung dan menyampaikan sumbangan kepada lima keluarga di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bunut Payong di sini.

-- BERNAMA

Saturday, December 2, 2017

NOH OMAR BUKAN MB SELANGOR KALAU BN MENANG

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- UMNO Selangor perlu memberikan fokus kepada usaha untuk memenangi semula negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebelum memikirkan tentang calon menteri besar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO itu berkata calon menteri besar hanya akan ditentukan jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula negeri itu.

"Lepaskan dahulu PRU14 baru fikir siapa jadi Menteri Besar. Malah Tan Sri Noh Omar sendiri sudah luahkan tidak berminat menjadi menteri besar, hanya tunjuk kepimpinan sahaja," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, timbalannya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan dua bekas Menteri Bekas Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ditanya mengenai usaha UMNO Selangor menggunakan khidmat bekas menteri besar ketika ini, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu berkata usaha tersebut dilakukan dalam memperkuat strategi bijak merampas semula negeri itu daripada pembangkang.

"Kita amat hargai usaha dan agenda yang pernah dilakukan tokoh-tokoh sebelum ini yang masing-masing mempunyai jasa dan pengorbanan tersendiri. Walaupun pernah berada dalam pentas berbeza, namun mereka pulang kepada UMNO," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan UMNO Selangor supaya lebih bijak dan tidak terperangkap dengan persepsi umum jika ingin merampas semula negeri tersebut daripada genggaman pembangkang.

Beliau berkata UMNO Selangor perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati dan minda pengundi Selangor yang pernah dihambat dengan permainan persepsi sewaktu pilihan raya umum (PRU) ke-13.

"Kita sedar ia tugas yang mencabar. Harus bekerja keras dan bijaksana. Kerana selama ini, atas beberapa isu yang berlaku terdahulu, maka kita terperangkap dengan keputusan yang terlalu mahal di mahkamah pendapat umum.

"Jadi, UMNO Selangor perlu fokus kepada mempertingkatkan keserasian dalam barisan kepimpinan yang digerakkan bersama-sama dengan jentera parti dan bersiapsiaga sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, October 22, 2017

JANGAN HARAP STATUS QUO PARTI KOMPONEN BN

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) :Parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengharapkan 'status quo' dalam agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu antara amanat yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN ​​​​dalam Pemukiman Jentera BN PRU ke-14 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Noh berkata Najib mahu parti komponen bersikap bertoleransi dalam soal kuota kerusi yang ditandingi dan memberi fokus kepada matlamat untuk memastikan kemenangan dua pertiga BN pada pilihan raya umum itu.

"Parti komponen BN mesti ada toleransi, jangan bertanding untuk mewakili kaum tapi mesti ada semangatBN iaitu mewakili semua kaum di Malaysia.

"BN harus menghentikan amalan 'status quo' yang telah diamalkan pada PRU lepas dan kini sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan," katanya ketika diminta mengulas mengenai pertemuan itu yang diadakan secara tertutup.

Anggota Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi pula berkata perkara lain yang turut dibangkitkan perdana menteri ialah sasaran untuk memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga pada PRU-14.

"Perdana menteri berkata kemenangan dua pertiga sangat penting kepada BN dan itu merupakan sasaran ditetapkan kepada semua parti komponen BN," katanya.

Dalam pada itu, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas berkata persediaan BN dalam menghadapi PRU ke-14 itu lebih sistematik dan mantap malah MyPPP telah membuat persediaan lebih baik berbanding PRU lepas.

"Saya melihat BN kali ini lebih bersedia. Jentera PRU MyPPP kini membuat persediaan lebih tersusun dan terancang dengan bantuan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus). Penubuhan JR Plus banyak memberi kesan positif di peringkat akar umbi," kata Kayveas.

JR Plus yang diwujudkan tahun ini berperanan sebagai perantara kerajaan dengan rakyat, dan ia menggabungkan jentera pilihan raya sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri selain turut melibatkan penyertaan parti komponen BN dan sayap masing-masing.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata pelbagai persediaan PRU telah dibuat dengan lancar sejak pemukiman diadakan di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) di Janda Baik, Pahang beberapa bulan lepas.

"Persediaan untuk menghadapi PRU telah pun siap, cuma menunggu arahan daripada pucuk pimpinan BN untuk menggerakkan jentera PRU semua parti komponen BN. Persediaan ​​​PRU-14 ini berbeza berbanding dahulu," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, September 30, 2017

UMNO DAN BN UNTUK SEMUA KAUM

KOTA BELUD, 29 Sept (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan hanya parti untuk satu kaum tetapi untuk semua kaum di negara ini, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering menekankan UMNO dan BN adalah satu-satunya parti yang terbukti mampu menjaga kebajikan dan mensejahterakan rakyat.

"Oleh sebab itulah, sejak dahulu, UMNO dan BN terus disokong rakyat. (Jadi) Bagaimana (pembangkang) boleh mendakwa UMNO parti rasis sedangkan UMNO, sejak merdeka lagi, berkongsi kuasa dengan kaum lain dalam BN.

"Jika sudah sedia berkongsi kuasa dan berjaya mencipta kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara, di mana rasisnya? Inilah yang saya tidak faham dengan dakwaan pembangkang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengadakan pertemuan santai dengan pengguna media sosial yang menggunakan aplikasi WhatsApp di Restoran R and R di sini.

Salleh berkata demikian bagi mengulas pihak tertentu yang mendakwa UMNO sebuah parti bersifat perkauman yang kononnya menafikan hak kaum India dan hak kaum-kaum lain.

Beliau turut kesal dengan pihak tertentu termasuk pembangkang yang salah tafsir akan kenyataan Najib iaitu "walaupun bapa dan datuk saya bukan dari Kerala, saya digelar Bapa Pembangunan Kaum India" ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung MIC ke-71 pada 24 Sept lepas, sehingga mendakwa kenyataan Perdana Menteri itu sekadar gimik politik.

"Jika PM Najib digelar sebagai Bapa Pembangunan Kaum India, itu memang wajar pun. Misalnya, untuk menjaga kebajikan masyarakat India, kerajaan menubuhkan jawatankuasa kabinet mengenai hal ehwal orang India.

"Kerajaan juga telah mewujudkan sekretariat khas untuk memperkasa usahawan India, menyelesaikan masalah masyarakat India berkaitan kewarganegaraan dan juga menjaga keperluan sekolah aliran Tamil," katanya.

-- BERNAMA

Monday, September 11, 2017

KEKALKAN BN UNTUK TERUS BANGUNKAN LUAR BANDAR

SUNGAI PETANI, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyat sekiranya kerajaan sedia ada dikekalkan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, fasa transformasi yang dilalui negara ini selepas zaman kemerdekaan jelas memperlihatkan betapa kerajaan serius mengisi perjuangan kemerdekaan itu dengan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan melalui pelbagai agensi di bawah KKLW misalnya.

Misalnya melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA, pembangunan kawasan luar bandar katanya dapat disusun dengan lebih teratur sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Beliau berkata demikian pada program 'Moh Ngeteh Merdeka KKLW 2017' di Institut Kemahiran Mara dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf dan kira-kira 2,000 pelajar IKM.

Ismail Sabri berkata, perkara itu dapat dibuktikan sendiri apabila kerajaan membelanjakan RM2.2 bilion untuk membiayai pelajar tempatan dan luar negara di bawah Mara setiap tahun, selain sudah ada lima juta pelajar lepasan Taman Bimbingan Kanak-Kanak Kemas sejak ia ditubuhkan sehingga kini.

Dari sudut ekonomi pula, Mara katanya telah melahirkan sejuta usahawan berjaya sehingga kini, FELCRA pula mempunyai 120,000 peserta dan terdapat 265,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung seluruh negara pada masa ini.

"Selain itu kami ada 115,637 pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di bawah Mara dan sebanyak 220,000 pelajar Tabika Kemas tahun ini," katanya.

Katanya bantuan kerajaan banyak membantu pelajar untuk berjaya dan melanjutkan pengajian sama ada di dalam ataupun luar negara, bukan hanya disebabkan kecerdikan mereka semata-mata.

"Misalnya kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta untuk seorang yang melanjutkan pelajaran bahagian perubatan di England...saya rasa keluarga pun payah juga nak hantar (belajar) kalau jumlah sebanyak ini...tapi kerajaan bantu," katanya.

Kira-kira satu juta komuniti KKLW dan orang ramai menyertai program 'Moh Ngeteh Merdeka KKLW 2017' yang diadakan serentak di 12,246 lokasi di seluruh negara hari ini.

Program itu yang merupakan kemuncak program sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan warga KKLW dan orang awam agar sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan negarawan terdahulu dalam usaha memerdekakan negara.

-- BERNAMA

Sunday, September 10, 2017

BN MENAWARKAN KESTABILAN, KEHARMONIAN DAN PEMBANGUNAN NEGARA

KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) menawarkan kepada rakyat kestabilan, keharmonian dan pembangunan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata BN bergantung kepada rekod baik dan perancangan masa depan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

"Itu yang kita (BN) ingin tawarkan kepada rakyat bahawa kita adalah parti yang bertanggungjawab yang akan menentukan kestabilan, keharmonian dan memilih jalan tengah untuk membangunkan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama portal berita, The Malaysian Insight ketika ditanya jangkaan penganalisis dan kajian yang menjangkakan BN akan menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika berlaku pertembungan tiga penjuru. Petikan wawancara itu disiarkan dalam blog https://sskeruak.blogspot.my/ hari ini.

Salleh berkata pertandingan dua atau tiga penjuru bukan menjadi pertimbangan pokok BN pada PRU akan datang.

Ditanya sama ada BN terkesan dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan mampu kekal di Putrajaya, beliau berkata perkembangan kem pembangkang tersebut tidak mengganggu rentak BN mendapatkan kemenangan dalam PRU.

Jelasnya BN telah berjaya memberikan penjelasan dalam isu-isu berbangkit oleh pembangkang dan akan meneruskan usaha melaksanakan dasar kerajaan dan mendekati semua lapisan rakyat.

"Menjelang PRU memanglah macam-macam isu akan dibangkitkan. Masing-masing ingin menarik minat pengundi untuk bersama mereka dan ia tidak salah dalam sistem demokrasi kita. Tetapi kita harus percaya rakyat sudah matang dan boleh menilai mana parti sepatutnya dipilih menjadi pemerintah.

"Pembangkang pun tidak boleh menentukan siapa perdana menteri mereka, tidak boleh susun sendiri struktur parti mereka, jadi bagaimana hendak memberi kepercayaan kepada mereka. Kita akan jelaskan kepada rakyat tentang isu-isu yang dibangkitkan. Kita yakin majoriti rakyat akan bersama kita, " katanya.

Mengenai andaian pembangkang bahawa Sabah bukan lagi deposit tetap BN, Salleh berkata: " Insya-Allah BN masih (boleh) menang besar di Sabah kerana umumnya rakyat puas hati dengan pencapaian BN, kerana kita mengamalkan politik pembangunan ".

-- BERNAMA

Thursday, March 30, 2017

SIAPA WAKILI DUN KIJAL?

KEMAMAN: Datuk Seri Ahmad Said telah menjadi ADUN Kijal sejak PRK 1990 lagi pada bulan Ogos. Inii bermakna sudah 22 tahun beliau mewakili rakyat Kijal (kecuali 1999-2004). Beliau dikatakan mahu berpindah ke kerusi parlimen Kemaman pula.

Beliau dikatakan mahu bekas Pengarah APMT, Cikgu Roshaili sebagai penggantinya, Cikgu Roslaili Taha adalah bekas Setiausaha Penyelaras DUN Kijal. Selain Cikgu Roslaili, beberapa nama turut disebut sebagai calon BN untuk DUN Kijal iaitu Kamarudin Ali, Haji Yahya Mohamad dan Haji Anuar Awang.

Kamarudin adalah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman pernah bertanding Ketua Pemuda bahagian pada tahun 2008 tetapi kalah kepada Hisham Zubir. Beliau kini adalah pegawai Seranta EPIC yang dikatakan bertugas untuk menjaga politik MB di Kemaman.

Haji Yahya Mohamad juga adalah ahli jawatankuasa bahagian juga. Beliau adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Terengganu dan Bendahari Koperasi Pembangunan Kemaman Berhad yang dikatakan membayar dividen tertinggi 20 peratus kepada ahli koperasi.


Jika Haji Yahya dipilih sebagai calon, beliau boleh diterima oleh Ahmad Said kerana beliau bukan tokoh kontroversi seperti Kamarudin Ali yang tidak boleh diterima oleh penyokong Ahmad Said. Manakala ramai yang mahu melihat pengganti Ahmad Said terdiri daripada pegawai TCS juga kerana Ahmad Said adalah bekas pegawai TCS.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Haji Anuar Awang disebut juga nama sebagai calon tetapi menantu bekas ADUN Kijal itu tidak berminat menjadi wakil rakyat. Malah nama Wan Hisham Wan Hamid pegawai khas ADUN Kijal turut disebut sebagai calon selain dari Cikgu Roshaili, Kamarudin Ali, Haji Yahya Mohamad dan Haji Anuar Awang.

Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa sebagai calon kerana kerusi DUN Kijal tetap jadi milik BN tak kira siapa calonnya.

Sunday, November 27, 2016

MACAM MANA BN MAHU MENANG KALAU 1 JUTA MELAYU BELUM DAFTAR PENGUNDI?

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- UMNO percaya lebih sejuta anak muda Melayu yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, meskipun jentera UMNO di peringkat akar umbi berusaha mengesan mereka, namun agak sukar kerana kebanyakan mereka berada di luar kawasan kerana bekerja.

"Banyak cabaran tetapi UMNO kena terus bekerja. Apa yang penting kini adalah untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan mereka yang belum berdaftar," katanya dalam temubual dengan Bernama menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2016 di pejabatnya, di sini Khamis.

Beliau berkata kesedaran itu penting kerana politik adalah satu-satunya kekuatan kaum Melayu, malah ia merupakan tuntutan fardu Kifayah dalam urusan membentuk kerajaan.

"Kita kena tahu orang Melayu tiada apa, tiada kekuatan ekonomi, tiada kekuatan lain kecuali kekuatan politik kerana kita ramai... tetapi sebenarnya yang ramai itu kini sudah berpecah-belah dan ditambah dengan yang tidak daftar mengundi, maka orang Melayu kena terima kalau kita hilang satu-satunya kekuatan," katanya.

Malah, kata Annuar, UMNO juga mengenal pasti ratus ribu anggota parti yang belum berdaftar sebagai pengundi.

Ulasan saya, macam mana BN mahu menang kalau 1 juta anak Melayu belum daftar sebagai pengundi? Oleh itu Umno perlu serius mengesan mereka yang belum daftar sebagai pemilih kerana seperti kata Perdana Menteri, PRU mungkin diadakan pada tahun 2018. 

Kesedaran mengundi perlu diberitahu kepada mereka kerana satu undi amat penting dalam menentukan kemenangan BN pada PRU yang akan datang. Anak muda China bersatu mendaftar diri mereka sebagai pengundi kerana mereka mahu lihat DAP menjadi parti teras kerajaan Pakatan Harapan. Oleh itu sama-samalah kita mengesan mereka yang belum daftar mengundi.