KOTA BELUD, 29 Sept (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan hanya parti untuk satu kaum tetapi untuk semua kaum di negara ini, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering menekankan UMNO dan BN adalah satu-satunya parti yang terbukti mampu menjaga kebajikan dan mensejahterakan rakyat.
"Oleh sebab itulah, sejak dahulu, UMNO dan BN terus disokong rakyat. (Jadi) Bagaimana (pembangkang) boleh mendakwa UMNO parti rasis sedangkan UMNO, sejak merdeka lagi, berkongsi kuasa dengan kaum lain dalam BN.
"Jika sudah sedia berkongsi kuasa dan berjaya mencipta kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara, di mana rasisnya? Inilah yang saya tidak faham dengan dakwaan pembangkang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Terdahulu Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengadakan pertemuan santai dengan pengguna media sosial yang menggunakan aplikasi WhatsApp di Restoran R and R di sini.
Salleh berkata demikian bagi mengulas pihak tertentu yang mendakwa UMNO sebuah parti bersifat perkauman yang kononnya menafikan hak kaum India dan hak kaum-kaum lain.
Beliau turut kesal dengan pihak tertentu termasuk pembangkang yang salah tafsir akan kenyataan Najib iaitu "walaupun bapa dan datuk saya bukan dari Kerala, saya digelar Bapa Pembangunan Kaum India" ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung MIC ke-71 pada 24 Sept lepas, sehingga mendakwa kenyataan Perdana Menteri itu sekadar gimik politik.
"Jika PM Najib digelar sebagai Bapa Pembangunan Kaum India, itu memang wajar pun. Misalnya, untuk menjaga kebajikan masyarakat India, kerajaan menubuhkan jawatankuasa kabinet mengenai hal ehwal orang India.
"Kerajaan juga telah mewujudkan sekretariat khas untuk memperkasa usahawan India, menyelesaikan masalah masyarakat India berkaitan kewarganegaraan dan juga menjaga keperluan sekolah aliran Tamil," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment