BUTTERWORTH, 5 Sept (Bernama) -- Anggota perwakilan DAP yang layak mengundi dalam pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu mahu senarai penuh nama yang layak mengundi beserta nombor kad pengenalan mereka disiarkan dalam akhbar pelbagai bahasa.
Bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan berkata langkah itu untuk memastikan pemilihan semula yang dijangka pada 1 Okt dijalankan dengan telus menggunakan senarai nama 2,576 anggota perwakilan yang digunakan pada pemilihan 15 Dis 2012 supaya kesahihan pemilihan semula itu tidak lagi dipertikai.
"Kami tidak mahu sebarang unsur penipuan, pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula yang bakal diadakan. Langkah ini penting untuk mempertahankan maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula yang bersih, telus dan adil," katanya pada sidang media di sini Selasa.
Pada 21 Julai lepas, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok berkata parti itu akur dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan semula pemilihan CEC dan menggunakan senarai 2,576 anggota perwakilan itu serta melantik juruaudit bebas untuk memantau dan mengendalikan pemilihan semula berkenaan.
DAP juga difahamkan telah melantik sebuah firma audit bebas PKF Consulting untuk mengadakan pemilihan semula itu.
Asoghan berkata DAP juga perlu menyiarkan nama firma audit yang dilantik untuk memantau proses pemilihan semula parti berkenaan dalam akhbar.
"Kami bantah sekeras-kerasnya sekiranya firma-firma yang ada hubung kait dengan pimpinan tertentu DAP seperti PKF dan KPMG terpilih. Kami mahu pemilihan semula diadakan tanpa sebarang keraguan munasabah," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya pemerhati tidak dibenarkan masuk semasa pemilihan semula itu berlangsung dan pengiraan undi hendaklah dilakukan di hadapan anggota perwakilan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment