BUTTERWORTH, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan komited untuk terus memajukan industri ikan tuna di negara ini kerana ia mampu menjana pendapatan negara dan dijangka memberi pulangan pendapatan RM1 bilion menjelang tahun 2020.
Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu industri itu dipandang serius dan buat masa ini dua pelabuhan telah didaftar sebagai 'designated tuna port' iaitu Dermaga Air Dalam Pelabuhan Pulau Pinang di sini dan Pelabuhan Tanjung Lembung di Langkawi, Kedah.
"Pihak kerajaan amat menggalakkan pendaratan tuna di pelabuhan yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC)," katanya kepada pemberita selepas majlis pendaratan ikan tuna oleh Vesel Kha Yang 333 di Dermaga Air Dalam di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata pada tahun ini kementerian menyasarkan 3,000 tan metrik ikan tuna dengan nilai RM60 juta didaratkan di Pelabuhan Pulau Pinang.
"Pulau Pinang lebih besar daripada Langkawi dan ia adalah yang utama, kemudahannya juga lebih baik daripada Langkawi maka kita mengharapkan sasaran pendaratan ikan tuna ini mampu tercapai. Sekarang ini (sehingga September 2017) sebanyak 1,100 tan metrik telah berjaya didaratkan di pelabuhan ini," katanya.
Ahmad Shabery berkata sekitar tahun 1980-an Pulau Pinang terkenal dengan pendaratan ikan tuna tetapi aktiviti itu semakin berkurangan apabila ramai pengusaha ikan tuna beralih ke negara lain.
"Sekarang kami mahu menarik mereka (pengusaha tuna) kembali ke negara kita terutama sekali mereka yang mendapat lesen ataupun kuota menangkap ikan tuna," katanya.
Ahmad Shabery berkata selain pendaratan ikan tuna, elemen lain juga perlu dilakukan di negara ini termasuk pemprosesan ikan itu agar ia memberi nilai tambah yang lebih besar kepada negara.
Beliau berkata tahun lepas, pendaratan ikan itu di negara ini ialah 76,500 tan metrik dan ia boleh ditingkatkan kepada 100,000 tan metrik tahun ini.
Sebahagian besar daripada tuna yang didaratkan di Malaysia ialah daripada spesies neritik atau perairan pantai seperti skipjack (tongkol/aya jalur) dan longtail (tongkol/aya itam).
Pada majlis itu Ahmad Shabery turut menyaksikan pendaratan ikan tuna berjumlah 520 tan metrik jenis spesies Albacore,Yellowfin tuna dan Bigeye tuna dengan nilai RM8 juta dari vesel milik syarikat Kha Yang Marine Sdn Bhd.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment