Friday, September 15, 2017

22 JENAZAH DIKEBUMI DI TANAH PERKUBURAN RAUDHATUL SAKINAH



KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pengebumian 22 jenazah daripada 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini, diselubungi suasana hiba dan pilu waris, kenalan serta serta ribuan orang ramai yang hadir mengiringi perjalanan terakhir mereka.

Pengebumian bermula kira-kira 6.30 petang selepas kesemua jenazah selesai disembahyangkan di surau kuarters Hospital Kuala Lumpur, lalu dibawa ke tanah perkuburan dan selesai sepenuhnya di kesemua sembilan lokasi pusara kira-kira pukul 9.30 malam.

Tumpuan terarah di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, dekat sini apabila 11 jenazah pelajar dikebumikan secara berperingkat di dalam 11 liang lahad, termasuk jenazah tiga beradik Muhammad Shafiq Haikal Sulaiman 13; Muhammad Hafiz Iskandar 11; dan Muhammad Haris Ikhwan 10.

Jenazah yang lain ialah Muhammad Taufik Hidayat Norazizan, 16; Muhammad Daniel Md Amin, 14; Muhammad Hazim Ahmad Nor, 13; Muhammad Nizammudin Nasron, 13; Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi, 12; Muhammad Zatullah Roslan, 11; Amiel Asyraaf Abd Rasid, 11; dan Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri,10 tahun.

Kesemua mangsa sepengajian dikebumikan dalam satu barisan panjang dan dengan papan tanda kecil tertera nama masing-masing bagi memudahkan waris dan kenalan mengenal pasti pusara mereka.






Urusan pengebumian kesemua 11 jenazah selesai sekitar 9 malam dalam penuh syahdu diiringi esakan dan linangan air mata anggota keluarga sewaktu menjirus air mawar dan menabur bunga, malah ada antara waris yang pengsan sewaktu jenazah diturunkan ke liang lahad.

Kebakaran 5.15 pagi semalam yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru itu mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang berkenan berangkat menziarahi lokasi kejadian malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sejurus tiba dari London selepas melakukan lawatan kerja di United Kingdom dan Amerika Syarikat, petang tadi bergegas ke pusat tahfiz itu mengiringi Seri Paduka Baginda.






Tragedi ngeri itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sejak semalam meninjau lokasi dan melawat mangsa di hospital bagi membantu menyegerakan urusan pengesahan identiti mangsa sehingga ke urusan pengebumian.

Suasana hiba juga menyelimuti Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, di mana empat jenazah pelajar iaitu dua beradik Azkar Abiedi F. Zaskar, 11 dan Azkar Dariemi, 8, serta sepupunya Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan, 11, dikebumikan bersama dalam satu liang lahad, manakala Nik Muhammad Ridzuan Nik Azalan, 12, dikebumikan berasingan.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada waris dan kenalan hadir untuk urusan pengebumian yang selesai pada 8.10 malam.

Kesayuan menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, yang hanya 500 meter dari lokasi kebakaran, apabila jenazah Muhammad Haikal Abdullah, 12, dikebumikan.

Ibu kepada Allahyarham, Hudah Abdul Ghani, 54, ketika ditemui tidak menyangka tiga kali pesanan supaya menjadi diri baik-baik dan pelukan erat anak bongsunya di pusat tahfiz Rabu lalu, menjadi perjumpaan terakhir mereka berdua.

Sementara itu, empat lagi jenazah pelajar iaitu Muhammad Hasrullah Ismail, 14; Ahmad Rijal Mohammad Rodzi, 13; Muhammad Aiman Ramzanudin, 12; dan Muhammad Fahmie Abdullah, 11; masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuari, Cheras; Taman Putra Perdana, Puchong ; Taman Medan, Jalan Klang Lama, dan Paroi Jaya, Negeri Sembilan.

Jenazah mangsa termuda, Umar Al-Khatab Helmi, 6, dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Jenazah seorang daripada dua warden yang juga guru iaitu Mohd Yusuf Md, 26, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Gunung Besout 4, Sungkai kira-kira 9.30 malam.

Urusan pengebumian jenazah seorang lagi warden iaitu Muhammad Amrul Nizam Sakarno, 25, yang masih dalam perjalanan ke kampung halamannya dijangka disempurnakan di tanah perkuburan Pengkalan Kubur, Kelantan, awal pagi esok.

Tragedi kebakaran terburuk dalam dekad melibatkan sekolah agama itu turut menyebabkan enam pelajar lain dan seorang awam cedera.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment