Sunday, September 10, 2017

BN MENAWARKAN KESTABILAN, KEHARMONIAN DAN PEMBANGUNAN NEGARA

KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) menawarkan kepada rakyat kestabilan, keharmonian dan pembangunan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata BN bergantung kepada rekod baik dan perancangan masa depan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

"Itu yang kita (BN) ingin tawarkan kepada rakyat bahawa kita adalah parti yang bertanggungjawab yang akan menentukan kestabilan, keharmonian dan memilih jalan tengah untuk membangunkan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama portal berita, The Malaysian Insight ketika ditanya jangkaan penganalisis dan kajian yang menjangkakan BN akan menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika berlaku pertembungan tiga penjuru. Petikan wawancara itu disiarkan dalam blog https://sskeruak.blogspot.my/ hari ini.

Salleh berkata pertandingan dua atau tiga penjuru bukan menjadi pertimbangan pokok BN pada PRU akan datang.

Ditanya sama ada BN terkesan dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan mampu kekal di Putrajaya, beliau berkata perkembangan kem pembangkang tersebut tidak mengganggu rentak BN mendapatkan kemenangan dalam PRU.

Jelasnya BN telah berjaya memberikan penjelasan dalam isu-isu berbangkit oleh pembangkang dan akan meneruskan usaha melaksanakan dasar kerajaan dan mendekati semua lapisan rakyat.

"Menjelang PRU memanglah macam-macam isu akan dibangkitkan. Masing-masing ingin menarik minat pengundi untuk bersama mereka dan ia tidak salah dalam sistem demokrasi kita. Tetapi kita harus percaya rakyat sudah matang dan boleh menilai mana parti sepatutnya dipilih menjadi pemerintah.

"Pembangkang pun tidak boleh menentukan siapa perdana menteri mereka, tidak boleh susun sendiri struktur parti mereka, jadi bagaimana hendak memberi kepercayaan kepada mereka. Kita akan jelaskan kepada rakyat tentang isu-isu yang dibangkitkan. Kita yakin majoriti rakyat akan bersama kita, " katanya.

Mengenai andaian pembangkang bahawa Sabah bukan lagi deposit tetap BN, Salleh berkata: " Insya-Allah BN masih (boleh) menang besar di Sabah kerana umumnya rakyat puas hati dengan pencapaian BN, kerana kita mengamalkan politik pembangunan ".

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment