Wednesday, September 20, 2017

VIDA KATA NIATNYA BUKAN UNTUK BERLAGAK RIAK



KUALA LUMPUR 19 Sept. - Tindakan usahawan kosmetik ternama, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida duduk dalam tab mandi yang dipenuhi wang kertas RM100 dan RM50 berserta barangan kemas mewah koleksinya mengundang kritikan daripada netizen.


Menerusi foto yang dimuat naik personaliti berusia 46 tahun itu dalam laman sosial Instagram peribadinya @datoserivida lima jam lalu, netizen berpendapat, Dr. Vida tidak sewajarnya menunjukkan kekayaan sedemikian rupa.


Bagaimanapun, mempertahankan tindakannya itu, Dr. Vida berkata, niatnya berbuat demikian bukanlah untuk berlagak riak atau menunjukkan kekayaan, sebaliknya, keputusan memuatkan wang dan barangan kemas dalam tab mandi itu semata-mata kerana mahu memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bekerja keras untuk menjadi seperti beliau.

“Boleh dikatakan hampir 90 peratus netizen hentam saya kerana mereka tidak faham dengan konsep yang saya tonjolkan itu. Setiap kali saya buat sesuatu perkara mesti ada sasaran. Untuk klip video arahan Ghaz Abu Bakar itu saya mahu ianya capai taraf antarabangsa seperti penyanyi Taylor Swift.

“Sebenarnya saya rancang buat klip video sebegitu sejak dua bulan lalu sewaktu lagu I Am Me dilancarkan, tak sangka konsep yang saya fikir itu dah dipakai oleh Taylor Swift dulu. Kalau dia mandi berlian, saya pula mandi wang. Tak tahulah kalau dia juga dikecam seperti saya,” katanya kepada Utusan Online.

Jelas Dr. Vida lagi, jalan cerita untuk lagu ciptaan Edry Kru itu difikirkan olehnya sebelum diceritakan kepada pengarah untuk direalisasikan.

“Klip video saya ini bukan nak menunjuk atau riak dengan kekayaan tetapi untuk memberi inspirasi kepada orang ramai tentang wang dan kemewahan. Senang cakap apa yang ditonjolkan adalah satu cara kehidupan agar orang ramai berusaha untuk berjaya, tapi orang tak faham. Terkesima juga saya dengan komen-komen mereka itu.

“Untuk klip video itu saja saya telah membelanjakan kira-kira RM1 juta. Kos produksi saja menelan belanja RM180,000, untuk peralatan klip video itu saya telah membelanjakan kira-kira RM80,000 dan cincin rama-rama yang saya pakai itu berharga RM400,000. Disebabkan saya nak konsep rama-rama, cincin itu ditempah, nanti kalau siapa berminat saya akan lelong sebab itu bukan cincin biasa,” ceritanya yang turut menggunakan wang sebenar sebagai peralatan selain wang fotokopi.

Menurut Dr. Vida juga, sebelum merakamkan klip video itu, beliau juga berdoa dan bermohon kepada Allah agar memberikannya ilham untuk melakukan penggambaran klip video yang penuh dengan warna warni dan ceria itu.

Klip video tersebut kata beliau, akan dilancarkan secara rasmi pada 30 September ini.

Single I Am Me merupakan percubaan kali pertama Dr. Vida dalam bidang seni suara.

Beliau sebelum ini sangat masyhur dengan jenama Qu Puteh iaitu produk kecantikan dan kesihatan yang diasaskannya


No comments:

Post a Comment