Showing posts with label vida. Show all posts
Showing posts with label vida. Show all posts

Friday, October 20, 2017

VIDA BERCINTA DENGAN PEGAWAINYA BERUSIA 23 TAHUN?



oleh HIDAYAT FANSYURI





KUALA LUMPUR: Usahawan selebriti, Datuk Seri Vida, tidak akan menolak jodoh andai ditemukan dengan lelaki bersesuaian dengan dirinya.

Beliau berkata, meskipun perkara itu bukan menjadi keutamaannya pada masa ini, namun sebagai manusia biasa, dirinya juga mempunyai keinginan untuk hidup berpasangan.

“Saya sentiasa berdoa moga dipertemukan jodoh yang sesuai dan dapat membimbing saya ke arah kebaikan.

“Paling utama, siapa juga lelaki itu, dia perlulah mendapat persetujuan daripada dua anak dan kakak saya,” dipetik sebagai berkata.

Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 46, berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan seorang wanita yang juga ibu kepada lelaki muda yang didakwa berhubungan dengan beliau.

Bercerita lanjut, Vida tertawa dan mengakui telefon bimbitnya sesak dengan panggilan dan pesanan yang dihantar oleh semua pihak, termasuk media bagi mendapatkan kenyataan berhubung berita berkenaan.

Sebuah portal berita online sebelum ini melaporkan, ibu kepada Ahmad Iqbal Zulkefli, 23, yang juga pekerja Vida, Maznuni Che Yusof, 49, tidak menghalang andainya anak lelakinya itu bertemu jodoh dengan pengasas produk Vida Beauty itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Iqbal adalah pekerja yang menguruskan media sosial saya dan tidak lebih daripada itu.

“Saya pun pening dan tergelak apabila kecoh mengenai hubungan saya dengan dirinya,” katanya.

Vida menambah, beliau berhak untuk bahagia, namun masih waras dan tahu apa yang terbaik serta sesuai buat dirinya.

Penyanyi lagu I Am Me itu kini berada di Makkah kerana mengerjakan umrah.

Ditanya mengenai anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen atau lebih dikenali dengan nama Cik B, yang meluahkan rasa tidak puas hati di laman Instagram miliknya, Vida berkata, puterinya itu antara yang paling tidak gemar sekiranya ada lelaki cuba merapati beliau.

“Cik B memang pantang kalau ada yang cuba rapat dan ambil kesempatan terhadap saya.

“Saya faham luahannya dan seperti saya katakan, Cik B selalu menasihatkan saya dan tidak mahu orang berniat tidak baik terhadap saya,” katanya.

Ulasan :

Nampaknya budak Iqbal ini mula hanyut dalam dunia glamor, mungkin sebab umurnya yang baru setahun jagung dan keinginan untuk menjadi seperti DSV tertalu tinggi menyebabkan budak ini hanyut dalam dunia glamor.

DSV yang saya kenali bukanlah seorang yang hanyut dalam dunia glamor, beliau punya misi dan visi.

Nasihat saya kepada budak ini, jika kamu sebagai seorang pekerja maka jalankanlah tugas kamu sebagai seorang pekerja dan bukan seorang romeo.

Jalinkanlah hubungan sebagai seorang pekerja dan seorang bos, jangan cuba mengambil kesempatan diatas kebaikan orang.

Ya, kamu punya rupa dan kecegasan sebagai anak muda seharusnya gunakanlah kearah kebaikan bukannya untuk memikat bos kamu.

Sebagai ‘Pegawai Media’ yang menguruskan media sosial bos kamu, sepatutnya kamu jangan lebih menonjol daripada bos kamu.

Gunakan media sosial untuk mengangkat bos kamu dan bukan diri kamu sendiri, sebab kamu dibayar gaji untuk mengangkat imej bos kamu itu.

Ada juga bisikan nakal dari rakan-rakan media yang saya dengar budak Iqbal ini seorang yang sombong, biasalah bila bekerja dengan vvip ni kita akan rasa diri kita sempurna, ada juga rakan yang bergosip katanya budak ini akan pakai ‘sut’ siang dan malam tanpa mengira majlis apa yang dihadiri..halloooo dik, lain kali kalau nak pakai ‘sut’ tengok-tengok lah majlis yer…jangan main bedal saja.

Nasib baik lah kamu ni tidak bekerja dengan pak menteri kalau tidak dah lama kena pecat…

Pssssst jangan marah ini cuma nasihat..

Wednesday, September 20, 2017

VIDA KATA NIATNYA BUKAN UNTUK BERLAGAK RIAK



KUALA LUMPUR 19 Sept. - Tindakan usahawan kosmetik ternama, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida duduk dalam tab mandi yang dipenuhi wang kertas RM100 dan RM50 berserta barangan kemas mewah koleksinya mengundang kritikan daripada netizen.


Menerusi foto yang dimuat naik personaliti berusia 46 tahun itu dalam laman sosial Instagram peribadinya @datoserivida lima jam lalu, netizen berpendapat, Dr. Vida tidak sewajarnya menunjukkan kekayaan sedemikian rupa.


Bagaimanapun, mempertahankan tindakannya itu, Dr. Vida berkata, niatnya berbuat demikian bukanlah untuk berlagak riak atau menunjukkan kekayaan, sebaliknya, keputusan memuatkan wang dan barangan kemas dalam tab mandi itu semata-mata kerana mahu memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bekerja keras untuk menjadi seperti beliau.

“Boleh dikatakan hampir 90 peratus netizen hentam saya kerana mereka tidak faham dengan konsep yang saya tonjolkan itu. Setiap kali saya buat sesuatu perkara mesti ada sasaran. Untuk klip video arahan Ghaz Abu Bakar itu saya mahu ianya capai taraf antarabangsa seperti penyanyi Taylor Swift.

“Sebenarnya saya rancang buat klip video sebegitu sejak dua bulan lalu sewaktu lagu I Am Me dilancarkan, tak sangka konsep yang saya fikir itu dah dipakai oleh Taylor Swift dulu. Kalau dia mandi berlian, saya pula mandi wang. Tak tahulah kalau dia juga dikecam seperti saya,” katanya kepada Utusan Online.

Jelas Dr. Vida lagi, jalan cerita untuk lagu ciptaan Edry Kru itu difikirkan olehnya sebelum diceritakan kepada pengarah untuk direalisasikan.

“Klip video saya ini bukan nak menunjuk atau riak dengan kekayaan tetapi untuk memberi inspirasi kepada orang ramai tentang wang dan kemewahan. Senang cakap apa yang ditonjolkan adalah satu cara kehidupan agar orang ramai berusaha untuk berjaya, tapi orang tak faham. Terkesima juga saya dengan komen-komen mereka itu.

“Untuk klip video itu saja saya telah membelanjakan kira-kira RM1 juta. Kos produksi saja menelan belanja RM180,000, untuk peralatan klip video itu saya telah membelanjakan kira-kira RM80,000 dan cincin rama-rama yang saya pakai itu berharga RM400,000. Disebabkan saya nak konsep rama-rama, cincin itu ditempah, nanti kalau siapa berminat saya akan lelong sebab itu bukan cincin biasa,” ceritanya yang turut menggunakan wang sebenar sebagai peralatan selain wang fotokopi.

Menurut Dr. Vida juga, sebelum merakamkan klip video itu, beliau juga berdoa dan bermohon kepada Allah agar memberikannya ilham untuk melakukan penggambaran klip video yang penuh dengan warna warni dan ceria itu.

Klip video tersebut kata beliau, akan dilancarkan secara rasmi pada 30 September ini.

Single I Am Me merupakan percubaan kali pertama Dr. Vida dalam bidang seni suara.

Beliau sebelum ini sangat masyhur dengan jenama Qu Puteh iaitu produk kecantikan dan kesihatan yang diasaskannya


Thursday, December 15, 2016

VIDA DIDENDA RM80,000 KERANA GAGAL KEMUKA PENYATA GST

IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Hakim Murtazadi Amran juga mengarahkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika tertuduh yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, 45 gagal membayar denda itu.

Dia membayar denda itu.

Vida yang merupakan pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd didakwa melakukan kesemua 16 kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak di sini sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Semasa didakwa pada 30 Okt lalu, Vida mengaku tidak bersalah atas dakwaan gagal mengemukakan penyata GST mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.




Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Vida diwakili peguam Syed Ahmad Syed Abas.

Murtazadi dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah berat dan hukuman setimpal perlu dikenakan agar ia memberi pengajaran kepada masyarakat.

Terdahulu, Raja Rozela berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana pihak Kastam tidak dapat mengutip cukai GST dan ia menjejaskan pendapatan negara.

Sementara itu, Syed Ahmad memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh mempunyai 16 pertuduhan dan komitmen untuk menjelaskan GST sebanyak RM4.2 juta.

Syed Ahmad berkata pengakuan bersalah tertuduh telah dapat menjimatkan masa serta kos mahkamah dan tertuduh sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak.

"Sepanjang program Gegar Vaganza tertuduh kelihatan gembira tetapi sebenarnya beliau tertekan dengan apa yang berlaku. Perniagaannya juga terjejas," katanya.

Sementara itu, mahkamah hari ini turut menetapkan 30 Dis sebagai tarikh sebutan semula bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta.

Bagi pertuduhan itu, Vida didakwa mengikut Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Setelah selesai prosiding, Vida masih menunjukkan dirinya yang sentiasa gembira dengan memberi gaya tersendiri untuk dirakam jurugambar.

-- BERNAMA