Thursday, December 15, 2016

VIDA DIDENDA RM80,000 KERANA GAGAL KEMUKA PENYATA GST

IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Hakim Murtazadi Amran juga mengarahkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika tertuduh yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, 45 gagal membayar denda itu.

Dia membayar denda itu.

Vida yang merupakan pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd didakwa melakukan kesemua 16 kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak di sini sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Semasa didakwa pada 30 Okt lalu, Vida mengaku tidak bersalah atas dakwaan gagal mengemukakan penyata GST mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.




Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Vida diwakili peguam Syed Ahmad Syed Abas.

Murtazadi dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah berat dan hukuman setimpal perlu dikenakan agar ia memberi pengajaran kepada masyarakat.

Terdahulu, Raja Rozela berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana pihak Kastam tidak dapat mengutip cukai GST dan ia menjejaskan pendapatan negara.

Sementara itu, Syed Ahmad memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh mempunyai 16 pertuduhan dan komitmen untuk menjelaskan GST sebanyak RM4.2 juta.

Syed Ahmad berkata pengakuan bersalah tertuduh telah dapat menjimatkan masa serta kos mahkamah dan tertuduh sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak.

"Sepanjang program Gegar Vaganza tertuduh kelihatan gembira tetapi sebenarnya beliau tertekan dengan apa yang berlaku. Perniagaannya juga terjejas," katanya.

Sementara itu, mahkamah hari ini turut menetapkan 30 Dis sebagai tarikh sebutan semula bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta.

Bagi pertuduhan itu, Vida didakwa mengikut Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Setelah selesai prosiding, Vida masih menunjukkan dirinya yang sentiasa gembira dengan memberi gaya tersendiri untuk dirakam jurugambar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment