Friday, December 16, 2016
SHAHRUM YUB MENINGGAL DUNIA
KUALA LUMPUR 16 Dis. – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Shahrum Yub, 82, meninggal dunia di kediamannya di Bukit Bandaraya pada pukul 1.30 petang semalam kerana sakit tua.
Shahrum Yub
Allahyarham yang merupakan anak Melayu pertama yang ditugaskan ke jawatan tersebut pada 1968 hingga 1991 selepas berkhidmat bersama Pengarah muzium yang pertama, Tan Sri Mubin Sheppard dan J.J Lowry.
Berkongsi perasaan sedih, Bekas Ketua Pengarah Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, Allahyarham merupakan seorang yang komited dengan kerja yang dilakukan dan sangat menepati masa.
“Pengalaman bekerja bersama ketika beliau menjadi penasihat adalah masa yang amat bermakna kerana saya dapat lihat seorang yang sangat cintakan apa yang dilakukannya.
“Beliau juga popular dengan pelbagai pameran menarik seperti pameran mumia serta penampilan menggunakan bow-tie memang diingati oleh semua orang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Allahyarham dilahirkan di Tanjung Malim, Perak mendapat pendidikan awal di Tepus dan Tanjung Malim sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Leeds, England dalam bidang antropologi.
Ibrahim berkata, negara kehilangan seorang tokoh pemuziuman yang paling lama berkhidmat dalam jawatan tersebut selain menghasilkan pelbagai pameran terkenal di peringkat antarabangsa.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Maureen Shakesby serta tiga orang anak dan lima cucu. Jenazah disembahyangkan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Asar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment