Thursday, December 8, 2016

500 RIBU SUDAH TONTON VIDEO SYAMSUL DEBAT



KUALA LUMPUR : Gaya pe­nyampaian santai sambil diselitkan unsur humor membuatkan ramai terhibur dengan pembahasan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Seremban, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali dengan nama ‘Syamsul Debat’ sehingga video beliau ketika membahaskan Usul Agama dan Pendidikan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 baru-baru ini menjadi viral.


Syamsul Amri, 39, yang kini sedang mengerjakan ibadah umrah berkata, beliau tidak menyangka ramai yang tertarik dengan perbahasan yang disampaikan sehingga video yang dimuat naik oleh akaun UMNO Online di laman YouTube kini sudah mencecah lebih 500,000 tontonan, hanya dalam masa beberapa hari.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (Adam) memberitahu, ke­selesaannya menjadi diri sendiri ketika berkongsi pandangan setiap kali program ceramah atau tazkirah dan ‘populariti’ yang dikecapinya ke­tika ini semuanya hanyalah dengan izin Allah.

“Saya hanya bercakap dari hati untuk mengajak kepada perkara kebaikan me­ngikut kemampuan diri sendiri yang serba kekurangan.

“Hanya ucapan syukur kepada Allah mampu saya panjatkan seandainya segala ilmu yang dikongsi dapat memberi manfaat kepada orang lain,” kata anak kelahiran Kampung Ayer Dedali, Jempol, Negeri Sembilan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau yang lebih lima kali bergelar johan pidato pelbagai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan sejak tahun 2000 hingga 2006 mula mendapat perhatian umum apabila diundang oleh beberapa stesen penyiaran memberi tazkirah ilmu secara santai, namun popularitinya memuncak semasa mewakili Negeri Sembilan ketika membahaskan Usul Agama dan Pendidikan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu lalu.

Dalam pada itu, Syamsul Amri juga menegaskan, beliau tidak ambil kisah sekiranya ada pihak yang kurang senang dan tidak lagi mengikuti ceramahnya selepas ini setelah mengetahui beliau merupakan ahli UMNO kerana hanya mahu berkongsi ilmu dan menyebarkan kebaikan.

“Terpulang kepada setiap individu sama ada hendak menerima atau tidak kerana saya tahu perkara berkenaan adalah hak masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment