Friday, December 2, 2016

WAKIL SABAH GAMATKAN PWTC DENGAN KISAH PISANG

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Wakil UMNO Sabah hari ini menggamatkan suasana dalam Dewan Merdeka dengan kisah pisang, pantun dan teka-teki beliau yang menarik perhatian bukan sahaja anggota perwakilan tetapi juga pucuk pimpinan parti.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif ketika membahaskan ucapan dasar Presiden secara bersahaja menyelitkan topik 'pisang' yang dijadikan analogi kepada kekuatan UMNO.

"Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti; hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

"Kenapa pisang emas yang dibawa belayar, bukan pisang tanduk bukan pisang Sabah? Tahukah Tan Sri (Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin), buah yang paling berani di dunia adalah buah pisang?

"...kerana pisang jantungnya di luar," katanya yang disambut tepukan dan gelak tawa anggota perwakilan dan Majlis Tertinggi UMNO pada perhimpunan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Ariffin menyatakan orang dahulu mengangkat pisang sebagai makanan pilihan untuk belayar kerana sifatnya yang mampu bertahan lama dan ranum berperingkat selain menjadi penawar kepada 'mabuk laut'.

Beliau berkata penggunaan metafora dalam pantun itu menggambarkan tingginya kearifan dan sifat hormat Melayu terhadap rezeki yang diterima malah perlu diambil iktibar parti UMNO, begitu juga dengan kitaran hidup pokok pisang.

"Pokok pisang yang belum berbuah, jika ditebang berkali-kali akan bertunas semula kecuali jika ia pernah berbuah, ia akan mati bersama tanah...ini falsafah pisang, pantang mati sebelum berbuah.

"Pantang mengaku kalah selagi hidup...buah pisang ini kita jadikan rujukan kepada kekuatan kita (UMNO)," katanya disusuli tepukan gemuruh perwakilan.

Badruddin yang turut ketawa apabila sifat pisang menjadi pedoman kepada kekuatan UMNO sempat juga 'mengusik' perwakilan Sabah itu dengan berseloroh: "Tak habis-habis pisang," sambil bertepuk tangan.

Tidak berhenti di situ, Mohd Ariffin sekali lagi mencuit hati perwakilan apabila dengan sinis membandingkan sikap dengki antara individu dalam kerjaya lain dengan kalangan orang politik.

"Tapi biasanya dengki ini akan berakhir apabila kita bersara, guru tak akan dengki lagi dengan guru tapi hairan dalam politik...tidak mahu masih lagi berdengki (merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed)," katanya yang menyebabkan Dewan Merdeka sekali lagi gamat dengan tepukan dan gelak tawa perwakilan.

No comments:

Post a Comment