Thursday, December 22, 2016

UMNO SABAH MASIH KUAT





KUALA LUMPUR: Peranan Umno di Sabah masih kuat dan relevan dalam politik negeri Sabah kata bekas ADUN Bugaya, Datuk Basalie Abdul Hamid.

Katanya, walaupun pemimpin besar telah meninggalkan Umno Bahagian Semporna tetapi parti Melayu itu hanya melihat perubahan yang kecil.

Pemimpin besar merujuk kepada ahli parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal, ADUN Sulabayan, Jaujan Sambakong, Ketua Pemuda, Mohd Aziz Jamman dan Ketua Wanita, Manis Muka Dara.

Shafie meninggalkan Umno selepas beliau digantung keahliannya dan telah menubuhkan Parti Warisan sebuah parti tempatan.

Menurut Basalie, sejak Umno masuk ke Sabah pada tahun 1991, parti itu telah memberi kemakmuran kepada rakyat Sabah.

Katanya, Umno dan parti komponen BN yang lain telah menjadi pemangkin kepada pembangunan Sabah.

"Dana kerajaan pusat tidak boleh dinafikan dalam politik Sabah," katanya.

"Ia telah memberi faedah kepada pembangunan Sabah," katanya lagi yang juga penasihat undang-undang Umno Bahagian Semporna.

Namun demikian Basalie berharap lebih banyak lagi dapat dilakukan untuk rakyat Sabah.

Beliau memberi contoh, lebih banyak hak Sabah wajar diberikan dalam bidang minyak dan gas serta infrastruktur yang lebih baik.

Beliau yakin Umno di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat Sabah.



No comments:

Post a Comment