Sunday, December 11, 2016

ADA YANG IRI HATI LIHAT KEMESRAAN PM DENGAN TPM



KUALA LUMPUR 11 Dis. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak yang cuba melaga-lagakannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah mereka yang kecewa serta iri hati melihat kemesraan beliau dengan Perdana Menteri.


Kata Timbalan Perdana Menteri, pihak terbabit sedar jika tidak dirosakkan hubungan antara dua pemimpin utama kerajaan, Barisan Nasional (BN) serta UMNO mustahil dapat dilemahkan dan seterusnya impian untuk menawan Putrajaya juga bakal terkubur.

Namun kepada pihak terbabit beliau berpesan, hubungan peribadinya dengan Perdana Menteri bukan baru terjalin tetapi sudah bermula sejak 1987 lagi iaitu ketika dilantik menjadi Setiausaha Politik ketika Najib mengetuai Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya tidak mahu memberi reaksi yang panjang kerana saya amat yakin itu fitnah. Pihak yang bertanggungjawab sedar jika dua pemimpin utama dapat dipecahkan maka matlamat dan tujuan mereka akan tercapai kerana mereka amat cemburu dengan perpaduan yang wujud dalam UMNO serta BN.

“Tapi saya nampak orang tidak mempercayainya, tambahan kita tahu kepala surat yang digunakan adalah kepala surat yang diciplak daripada kepala surat kerajaan. Jawatan dise­butkan juga tidak mengikut garis panduan sedia ada, malah tandatangan saya juga ditiru,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF).

Semalam Perdana Menteri menyelar taktik kotor pembangkang yang cuba melaga-lagakannya dengan Ahmad Zahid melalui penyebaran surat layang palsu.

Ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Ne­geri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memburu pihak bertanggungjawab di sebalik surat tersebut.

Katanya, terdapat tiga kesa­lahan utama yang membolehkan pelakunya dihukum iaitu memalsukan tandatangan, menggunakan bahan rasmi Kerajaan Persekutuan dan menimbulkan perkara yang membawa kepada fitnah.

“Saya tidak mahu terlibat tetapi dimaklumkan PDRM dan SKMM sedang melakukan siasatan secara mendalam untuk melihat punca mana dan saya pasti mereka yang melakukannya akan menerima akibat,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Perdana Menteri menafikan tuduhan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya 700,000 warga China akan dibawa masuk ke negara ini untuk diberikan taraf kewarganegaraan bagi membolehkan mereka mengundi.

“Saya tidak tahu apa yang beliau lakukan semasa beliau mentadbir negara dan semasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawahnya tetapi saya nak beri keyakinan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa KDN tidak akan melakukan perkara itu dan tidak pernah melakukannya,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment