Thursday, December 29, 2016
S.M. SALIM MINTA RADIO JANGAN SIAR LAGUNYA SELEPAS MENINGGAL DUNIA
KUALA LUMPUR 29 Dis. – Seniman Tan Sri SM Salim pernah menitipkan amanat meminta stesen radio tidak menyiarkan lagu nyanyiannya selepas beliau menghembuskan nafas terakhir.
Amanat itu disampaikan Allahyarham dalam satu temu bual eksklusif dengan akhbar Mingguan Malaysia dan petikan amanat itu disiarkan akhbar berkenaan pada 6 Mei 2001.
“Janganlah mainkan lagu saya selama sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas saya meninggal dunia.
“Bukan apa, kita yang hidup di atas bumi tidak tahu apa yang berlaku kepada orang yang meninggal dunia, jadi berikan sedikit ruang kepada mereka. Itulah yang saya harapkan,” pesan SM Salim.
Dalam temu bual yang sama, Allahyarham mengharapkan amanat itu dilaksanakan oleh pihak berwajib selepas beliau tiada di muka bumi ini.
Keluarga Allahyarham turut memanjangkan harapan yang sama sejurus SM Salim menghembuskan nafas terakhir semalam pada usia 88 tahun.
Anak Allahyarham SM Salim, Sheikh Shamsul berkata, permintaan itu sebagai memenuhi amanat yang pernah ditinggalkan seniman itu semasa hayatnya supaya lagu nyanyiannya tidak disiarkan sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas beliau meninggal dunia.
“Oleh itu kami berharap media tidak memainkan lagu Allahyarham sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hingga 10 hari ini.
“(Namun) terpulang kepada budi bicara media untuk menyusun apa yang terbaik untuk arwah dan orang awam secara umum,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Sheikh Shamsul, perkara itu pernah dibincangkan bersama bapanya yang pernah berpesan supaya lagu beliau tidak dimainkan selepas pemergiannya.
Bagaimanapun, Sheikh Shamsul berkata, ia adalah perkara subjektif kerana kebanyakan hasil seni Allahyarham berada dalam simpanan media.-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment